Friday, January 7, 2011

Sungguh Kurang Sopan!!!


Pagi ini bermula dengan hati yang ceria. Hari ini merupakan hari kedua aku dan Abah melakukan aktiviti berjalan sekeliling taman perumahan ini. Beberapa hari lepas aktiviti ini terpaksa dibatalkan kerana hujan waktu pagi.

Kami menghantar Puteri Bongsu berjalan hingga ke depan pintu sekolahnya sebelum menyusuri deretan bangunan pejabat dan kedai yang masih sepi. Maklumlah jam baru pukul 7.30 pagi, semua pejabat masih belum dibuka, kereta pun belum banyak diletakkan di tempat letak kereta yang tersedia di kiri-kanan jalan.

Kami melakukan beberapa kali pusingan. Fuhhh ... kalau satu pusingan aku kira ada lebihkurang 700 langkah, dua pusingan dah 1,400 ... 3 pusingan dah ... wowww banyak tu. Kalau tiap-tiap hari macam ni, badan mesti slim, kolesterol pun boleh menangis ketakutan, lemak-lemak semua lari kesakitan. Hrmmm, aku harap aktiviti ini akan berterusan, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam aje.

Sedang kami melangkah untuk pusingan terakhir, tiba-tiba kedengaran dentuman yang agak kuat. Aku dan Abah terhenti melangkah dan mencari-cari arah bunyi tersebut. Kelihatan nun di seberang jalan sebuah motosikal tergolek di atas jalan. Seorang lelaki China keluar dari kereta jenis Vios. Oh ... motosikal tersebut melanggar belakang kereta. Beberapa kereta lain yang sedang dipandu agak laju membunyikan hon dan segera mengelak tempat kemalangan tersebut. Mungkin untuk mengelakkan keadaan yang lebih merbahaya, pemandu Vios tadi masuk semula ke dalam kereta dan mengalihkannya ke tepi jalan. Dengan sepantas kilat, aku lihat penunggang motosikal dan pemboncengnya (seorang perempuan bertudung) segera menaiki motosikal yang jatuh tadi dan memecut pergi. Aku perhatikan pemandu Vios tadi terkejut dengan tindakan pasangan tersebut. Dia menjerit-jerit memanggil mereka sambil menunjukkan penumbuk.

Sungguh kurang sopan. Sudahlah bersalah melanggar belakang kereta orang lain, kenapa perlu lari dari tanggungjawab?? Apa salahnya berbincang atau sekurang-kurangnya meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan. Sungguh memalukan apabila orang Islam (aku pasti berbangsa Melayu) menunjukkan keperibadian yang buruk begitu. Takkanlah mereka ini tak faham maksud pekerti atau moral yang baik?? Sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia, rasanya semua kita telah ditanam sifat-sifat tersebut sejak di bangku sekolah rendah lagi. Tapi, apalah daya kalau diri sendiri tidak mahu mempraktikkannya. Hrmmm...

No comments: