Laluan ke Alor Setar
Laluan ke Tasek Beris
Musim luruh yang panasss.
Sepanjang laluan ke Alor Setar dan Tasek Beris baru-baru ini, kelihatannya suasana bertukar warna. Kalau dulu penuh kehijauan, kini bertukar kepada kuning dan merah. Malah banyak juga dahan dan ranting yang gondol.
Apabila angin bertiup, berguguranlah daun-daun memenuhi permukaan bumi. Waktu ini, tiba-tiba aje aku teringat lagu nyanyian Allahyarhamah Rafeah Buang.
Apabila teringat lagu ini, aku boleh tersenyum tanpa henti. Peristiwa tersebut masih segar dalam ingatan walaupun telah beberapa dekad berlalu. Semasa di Tingkatan 1, aku belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Minggu pertama merupakan minggu suaikenal. Satu malam dalam minggu pertama tersebut, semasa kelas prep bermula, warden asrama kami Cikgu Ishak Othman telah meminta kami semua memperkenalkan diri di depan kelas. Kelas 1M1 mempunyai seramai 25 pelajar, 10 daripadanya adalah pelajar perempuan.
Apabila tiba giliran aku memperkenalkan diri, Cikgu Ark Man (nama glamor cikgu) meminta aku menyanyi. Tanpa teragak-agak aku bersetuju dan terus menyanyi. Lagu yang terlintas di kepala ketika itu adalah lagu Sayang Disayang nyanyian Allahyarhamah Datin Rafeah Buang. Cikgu mengusik dengan mengeluarkan saputangan dan berpura-pura mengesatkan airmata semasa aku menyanyi. Apa lagi riuh rendah ketawa teman-teman baru ku.
Sebenarnya aku pun hairan dari mana datangnya keberanianku untuk menyanyi. Maklumlah aku ni sejak azalinya agak pemalu dan tidak pernah didedahkan untuk berdepan dengan khalayak. Yang pastinya, aku patuh pesanan Arwah Apak dan Emak supaya memberanikan diri bila berada di tempat orang. Jangan biar diri dibuli. Jadilah manusia yang ada jatidiri dan paling penting jangan bantah perintah cikgu.
Kini semua itu merupakan nostalgia manis yang sering aku kenang. Dan kini baru aku menghargai keindahan sebenar lagu Sayang Disayang ini yang mempunyai irama keroncong yang indah serta suara Allahyarhamah yang sememangnya sangat merdu. AlFatihah buat Allahyarhamah.
No comments:
Post a Comment