Thursday, September 29, 2011

Masih Ada Yang Sayang .....

Semalam hari terakhir Syawal tahun ini.  Tak aku sangka pulak masih ada yang mengadakan rumah terbuka.  "Last kopek" kata mereka.

Aku terharu sangat apabila dijemput hadir ke majlis yang dianjurkan oleh bekas bos dan anakbuah ku dulu.  Walaupun setelah 2 tahun aku menamatkan perkhidmatan dan meninggalkan pejabat tersebut, tetapi aku masih dijemput setiap kali ada majlis rumah terbuka.  sob sob sob ... memang rasa terharu sangat.

Terima kasih buat bos dan sahabat semua. Memang sedap semua makanan yang dihidangkan. tetapi rasanya lebih enak menikmati penghargaan dari kalian. Lebih terharu semasa aku balik, dibekalkan pulak ketupat rendang, roti jala kari ayam dan bihun lada. Syukran syukran.  Semoga ikatan persahabatan kita terus berkekalan.  Ameen.

Sunday, September 25, 2011

Orang Berbudi Kita Berbahasa

Semalam Kak Normah kembali ke Singapura setelah beberapa hari berada di Pulau Pinang.  Sebenarnya aku tidak mengenali Kak Normah.  Dia adalah sahabat kepada keluarga Abah.  Sepanjang 24 tahun perkahwinan aku dan Abah, namanya selalu disebut dalam perbualan. Kak Normah dan keluarga Abah masih saling berhubungan.  Malah beberapa kali saling mengunjungi antara satu sama lain.  Begitu akrabnya sebuah  persahabatan yang terjalin semenjak 30 tahun lalu ... yang kadangkalanya mengatasi kemesraan ikatan persaudaraan.  Tetapi kunjungan kali ini merupakan pertama kalinya aku bertemu beliau.

Kak Normah datang bersama anak perempuan, 2 cucu perempuan dan seorang bibik.  Walaupun dah berusia 62 tahun, beliau kelihatan sangat cergas dan bergaya.  Mereka masih fasih berbahasa Melayu walaupun kelihatannya lebih selesa berbicara dalam bahasa Inggeris.

Pada hari kedua beliau di Pulau Pinang, semua ahli keluarga Abah (termasuk anak, menantu dan cucu) dijemput untuk makan malam bagi mengenali secara lebih dekat semua anggota keluarga ini.  Daripada 39 anggota keluarga, 26 dapat berkumpul bersama keluarga Kak Normah dijamuan yang diadakan di Restoran Pen Mutiara (milik Jabatan Perikanan Puau Pinang) di Batu Maung.  Hidangan istimewa malam tersebut ialah kari kepala ikan, butter prawn, kailan ikan masin, sambal sotong. telur dadar, kerabu, sambal dan ulaman serta ikan masin goreng dan minuman pula air asam boi.

Kak Normah meriba 2 cucunya. Di belakang 2 dari kanan, anaknya Naz dan kanan sekali bibiknya
Bergambar di hadapan Pen Mutiara Batu Maung
Sambil mendengar dendangan lagu dari resident artist restoran tersebut, kami berbual dengan Kak Normah yang sememangnya amat peramah. Cucu-cucunya yang berumur 5 dan 3 tahun juga sangat peramah bertanya itu dan ini.  Kamera tidak berhenti-henti menyalakan flashnya mengabadikan kenangan pertemuan malam tersebut. Setelah menikmati teh tarik sebagai penutup jamuan malam tersebut, kami bertolak ke tepi pantai berhampiran pusat membeli-belah Queenbay untuk menyambung cerita-ceriti yang belum habis.  Setelah jam menunjukkan 11.30 malam kami beredar pulang kerana keesukan harinya ada anak-anak yang perlu ke sekolah.

Malam berikutnya giliran kami pula meraikan Kak Normah dan keluarga.  Kali ini tiga keluarga Abah yang tinggal di Alor Setar tidak dapat hadir atas alasan jauh dan masih keletihan. Maklumlah selepas perjumpaan semalam, ada yang tiba di rumah mereka jam 1 pagi. Walau bagaimanapun seramai 13 orang masih berusaha meraikan Kak Normah.

Destinasi kali ini ialah Puncak Mutiara Cafe yang terletak di Kampung Pelet, Bukit Mertajam.  Tempatnya sangat cantik dan luas.  Malam ini kami memesan makan secara ala carte sahaja. Ada yang memesan beriyani kambing, sate, chicken chop, fish and chip, fried mushroom dan sebagainya.  Makan malam di sini sungguh nyaman dengan udara yang segar dan alunan  lembut dari muzik yang dimainkan.  Selesai makan kami berjalan ke sekitar kawasan cafe tersebut sambil bergambar.  Akhirnya pada jam 11.00 malam  kami berpisah sambil mengucapkan selamat jalan buat Kak Normah dan keluarga yang akan bertolak pulang ke Singapura pada pagi Jumaat.

Posing di Puncak Mutiara, Kampung Pelet
 Walaupun pertemuan tersebut singkat, tetapi kemesraan yang terjalin telah terpahat di hati.  Malah hati aku terasa sebak membaca mesej yang dihantar oleh Kak Normah setibanya beliau di Singapura. "I missing u all already. TQ for everything. I hv no words gud enough 2 express how touched I was 2 see all of u there on Wed evening. I luv u all".

Tuesday, September 20, 2011

Kalau Melentur Buluh ....


Semasa kunjungan saudara-mara baru-baru ni, suasana meriah sungguh. Macam-macam topik keluar.  Sambil tu mulut rancak menjamah baki kuih raya serta mi kuah dan soun goreng yang aku masak.  Walaupun penat, tapi aku gembira sekali menerima tetamu yang tak henti datang mulai jam 2 petang hingga 10 malam. Tetamu datang membawa berkat.

Tetapi topik paling hangat dibincangkan ialah etika pergi rumah terbuka. Ipar-biras ku membawa cerita masing-masing betapa terkejutnya mereka melihat 'parenting skills' ibu-bapa moden sekarang ini.  Di beberapa rumah terbuka yang mereka hadir, semua terkedu melihat reaksi ibu-bapa yang buat-buat muka bodoh, buat pekak dan buat buta dengan kerenah anak-anak mereka.

Memang kanak-kanak tersebut tidak bersalah. Mereka belum mumayiz, tak dapat berfikir buruk dan baik. Wajarkah atas alasan tersebut ibu-bapa membiarkan mereka berlari sesuka hati di dalam rumah penganjur rumah terbuka. Ada yang bergomol dan melompat-lompat atas sofa baru tanpa menghirau tetamu lain yang sedang duduk berbual, ada membuka tutup balang kuih dengan kuat dan menghentak atas meja juga dengan kuat, ada yang duduk atas meja kaca, yang membaling batu-batu hiasan di taman,  membaling pelbagai benda dalam kolam ikan kesayangan tuan-rumah.  Memang itu fitrah kanak-kanak, bermain dan bermain dengan riang dan penuh gelak ketawa.

Tetapi bekukah hati ibu-bapa mereka ni.  Tidak terfikirkah perasaan tuanrumah yang tepaksa membersih kolam ikan, macamana kalau ikan-ikan mahal tu mati? Mengapa hanya biarkan anak-anak melompat atas sofa baru dan meja kaca tuanrumah. Mereka mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli sofa baru. Macamana kalau meja kaca tu pecah?  Nanti anak awak yang cedera parah? Nauzubillah.  Kenapa biarkan mereka main baling-baling batu. Macamana kalau pecah cermin pintu dan tingkap tuanrumah atau rumah jiran yang berhampiran? Macamana kalau pecah cermin kereta tetamu yang datang malam tu? Atau lebih teruk macamana kalau batu mencederakan kepala atau mata kanak-kanak tersebut? Nauzubillah.

Memang berbeza dengan zaman kami dulu. Ibu-bapa akan menegur, menjegil, menjentik atau mencubit anak-anak yang nakal semasa pergi berziarah.  Sebelum masuk ke rumah yang dilawat emak akan memberi amaran keras, "Jangan nakal-nakal, duduk diam-diam, salam tuanrumah, cium tangan,  jangan usik apa benda pun, tengok saja ... blablabla..." Macam-macam pesanan mereka. Mereka malu teramat apabila anak-anak mereka tidak bersopan-santun semasa berziarah.  Takut dianggap tidak pandai mengajar anak!!

Tetapi apa jadi dengan ibubapa zaman sekarang. Walhal semua mereka berpendidikan tinggi, berjawatan besar?  Adakah mereka ini mengamalkan sikap keterbukaan atau sporting yang melampau tanpa ada batas-batas yang perlu dipatuhi. Adakah terlalu sayangkan anak sehingga tak tergamak untuk menegur perangai buruk mereka. Perlukah merosakkan pekerti anak-anak tersebut dengan membenarkan mereka melakukan perkara yang menyebabkan tuanrumah senak perut?  Silap haribulan, mereka tak akan dijemput lagi pada tahun depan. Atau mungkin tanpa sedar tuanrumah supaya ibubapa dengan anak nakal ini segera beredar pulang!!!  Siapa tahu.

Wahai ibu-bapa moden, bentuklah peribadi anak-anak semasa mereka masih kecil.  Itulah sebabnya orang tua-tua yang banyak pengalaman mencipta peribahasa "melentur buluh biarlah semasa ia masih rebung".... bila dah tua tak boleh buat apa dah ... dah keras dan miang!!!  Boleh buat buluh lemang aje, kena bakar!!!

Friday, September 16, 2011

Fazidah Joned Selamat Hari Raya



Mood raya hampir habis dah. Tapi minat aku terhadap lagu di atas belum habis lagi. Tadi masih terdengar lagu tersebut di radio. Sedap lagunya. Iramanya pun sangat ceria. Liriknya pun mudah difahami.

Mungkin ramai yang tak setuju dengan aku. Tapi aku betul-betul kurang senang mendengar lagu raya yang sedih-sedih mendayu-dayu. Potong stim je. Macam tu juga drama TV, asyik ulang jalan cerita yang sama. Anak lupa diri tak mau balik kampung. Insaf bila tiba hariraya. Dah tu, penonton yang emak-emak, kakak-kakak pakat-pakat menangis depan TV. Habis banjir, mata bengkak belaka.

Memanglah niatnya baik, untuk mendidik penonton supaya jangan abaikan ibubapa di kampung yang mengharap kepulangan anak-anak semasa raya. Tapi perlu pulang semasa raya aje ke? Entahlah. Selama 2 minggu bila buka TV je, kebanyakan stesen tayangkan drama yang punya jalan cerita hampir sama, cuma berbeza pelakon dan lokasi .... aku jadi muak.

Bagi ku hariraya hari untuk kita bergembira meraikan hadiah dari Allah SWT untuk umat Islam yang taat menyempurnakan perintahNya untuk berpuasa sebulan Ramdhan. Kita diharamkan berpuasa pada 1 Syawal. Kita dituntut bersolat di masjid dengan memakai pakaian yang baru. Dituntut menunaikan fitrah supaya saudara kita yang kurang berkemampuan juga dapat menyambut Aidilfitri.

Dah tu, kenapa perlu bersedih.

Monday, September 12, 2011

Rumah Terbuka .... Penat

Dah pertengahan Syawal.  Memang tahun ini terasa masa berjalan begitu pantas.  Anak-anak merengek minta buat rumah terbuka, nak jemput kawan-kawan datang ke rumah, sementara mood raya masih ada.

Aku bukanlah rajin sangat buat rumah terbuka ni. Pertama aku tak cekap memasak untuk tetamu yang ramai.  Kedua aku tak punya kelengkapan dapur yang banyak.  Semua periuk belanga ku comel-comel belaka, sesuai untuk menampung seisi rumah saja.  Pinggan-mangkuk tak banyak.  Semuanya kerana rumah ini tidak mempunyai stor yang boleh menyimpan perkakas tersebut. Ketiganya ruang rumahku kecil sahaja, tak mampu memuat tetamu yang ramai.  Keempat .... cukup-cukup, jangan bagi alasan lagi.

Akhirnya aku bersetuju untuk mengadakan rumah terbuka pada Sabtu lepas dengan nawaitu untuk bersedekah makan sempena Syawal yang mulia ini.  Aku memasak menu yang ringkas sahaja. Persiapan bermula sejak hari Jumaat lagi dengan memasak rendang dan kuah kacang. Abah dan anak-anak berkerjasama membantu aku di dapur.  Akhirnya dapatlah ku siapkan lontong, mi kari dan spaghetti bersama ketupat dan rendang.

Memandangkan perkakas yang terhad, aku menggunakan cawan dan mangkuk kertas sahaja.  Seronok le ketiga-tiga tuan puteri kerana tidak perlu membasuh banyak pinggan-mangkuk.  Hrmmmmm!!!

Memandangkan ruang yang terhad, tetamu dibahagi dalam 3 fasa masa. Tetamu Puteri Bongsu mulai jam 2 petang, tetamu Puteri Tengah mulai 4 petang sementara tetamu aku dan Abah selepas 6 petang.

Lontong
Kek Lapis Cadbury dan Moist Chocolate Cake

Chef bersama spaghetti dan mi karinya
Puteri Bongsu dan sebahagian tetamunya
 Alhamdulillah, semua makanan habis dimakan.  Semua perkakas siap disimpan semula ke tempat asalnya.  Cuma .... sakit belakangku masih terasa.  Penat agaknya.

Monday, September 5, 2011

Kenduri Hari Raya

Hari raya yang baru je berlalu memang menggembirakan.   Setelah hampir seminggu hujan turun tanpa henti siang dan malam mulai 23 Ramadhan, dengan sifat Nya Yang Maha Pengasih lagi Penyayang, Allah SWT memberikan hari-hari yang cerah pada hari pertama hingga ke-4 Syawal. Alhamdulillah.  Dapatlah aku dan keluarga saling menziarahi tanpa risau tersangkut dalam hujan. 

Pada Syawal ke-4 juga Emak menunaikan hajatnya untuk mengadakan majlis kenduri kahwin cucunya Angah Firdaus. Ini merupakan kenduri kali ke-3 bagi Angah setelah kenduri pertama di rumah keluarga perempuan pada 25 Jun dan kenduri pihak lelaki pada 4 Julai lalu.  Hahh ... kenduri kali ni Opah sponsor 100%.  Bertuah engkau Angah. Walaupun mulanya majlis dirancang sebagai kenduri kesyukuran berskala sederhana sahaja, tetapi akhirnya ia menjadi majlis yang sangat meriah. Maklumlah ramai saudara-mara yang masih berkumpul di kampung sempena cuti hari raya. Dapatlah aku berjumpa sepupu sepapat yang sudah bertahun tak ditemui.

Majlis yang bermula pada jam 11 pagi dan berakhir pada jam 4 petang menghidangkan menu berupa nasi  minyak dan nasi putih, ayam goreng dengan air asam, kurma kambing, dalca, daging masak kicap, gulai nangka, sambal tempoyak dan ikan masin goreng.  Yang larisnya lauk-pauk kampung. Agaknya semua sudah jemu berhari-hari makan rendang dan gulai daging dan ayam.


Gadis-gadis pemberi bunga telur dan cenderahati kepada tetamu.  Tema kenduri kali ini adalah warna ungu. Ada sipi-sipi ungu pun, kira okay je.


Angah Firdaus bersama isteri, Ijat dan ibunya (kakak sulong ku).  Semua kusyuk makan cendul Parit.  Cendul tu sedap kuahnya tetapi isi cendul tu masin sikit. Spoilt betul.


Adik-beradik Abah turut datang memeriahkan kenduri kali ini.  Terima kasih semua kerana sudi datang dari jauh (dari Penang dan Kedah).