Perbincangan mengenai reunion ini dah bermula sejak tahun lepas lagi tetapi persiapannya hanya mulai rancak semenjak bulan April lepas. Memandangkan kebanyakan teman-teman ku tinggal di luar Perlis, kawan-kawan yang menetap di Perlis perlu memainkan peranan penting. Merekalah berurusan dengan pihak sekolah untuk meminjam dewan makan dan asrama, menguruskan jamuan dengan pihak katerer, membeli hadiah, menghias dewan dan mengaturkan jemputan.
Kesian melihat mereka bertungkus-lumus, aku selaku warga pencen menawarkan diri sebagai jawatankuasa jemputan. Rasanya mudah aje tugas ini, sebab semua kawan-kawan dah ada FB, email dan handset. Semua jemputan dibuat secara maya, cuma duit bil telefonku bulan ini pastinya berlipatganda. Tapi aku tak kisah, sekali sekala aje begini. Selebihnya aku gembira dapat memainkan peranan penting menghimpunkan teman-teman di bawah satu bumbung.
Tetapi rupa-rupanya tugas ini tak semudah yang aku sangka. Daripada 120 teman-temanku, 10 orang tidak dapat dikesan. Daripada 110 yang dijemput, hanya lebihkurang 80 orang sahaja yang memberi maklumbalas. Daripada 80 orang itu pula, hanya 50 akan hadir, 30 lagi tidak dapat hadir atas alasan tugas, menunaikan umrah, mendaftar pengajian anak, menghadiri walimatulurus ahli keluarga dan kesihatan tidak mengizinkan. Terimakasih kerana memberi maklumbalas.
Yang sedihnya 30 orang lagi sepi tanpa berita walaupun telah dihubungi sebanyak 3 kali. Ingat aku hantar SMS free ajer ker? Memang aku marah, kerana mereka ini bagi aku tidak menghargai usaha kami jawatankuasa yang berniat baik. Hanya kesabaran aje yang membentengkan aku dari menghantar SMS "jahat" kepada mereka. Sabar ... sabar ... sabar!!!
Aku berhubung dengan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha melalui SMS dan FB ajer. Selang sehari aku akan kemaskini maklumat kehadiran. Mereka juga akan memaklumkan sebarang perkembangan atau perubahan program setiap kali selepas bermesyuarat. Alhamdulillah, inilah nikmat kemajuan teknologi.
Akhirnya hari yang dinanti-nanti tiba. Kami berkumpul di dewan makan sekolah pada pukul 5.00 petang 26 Mei 2012. Perjumpaan selepas 33 tahun ini bermula dengan peluk-cium, gelak ketawa, usik mengusik dan linangan airmata kegembiraan. Syukur atas nikmatMu Ya Allah, memberi kesempatan untuk kami bertemu semula dalam usia emas ini.