Thursday, November 22, 2012

Mee Udang Kuala Sepetang

Dah lama aku mengidam nak makan mee udang Kuala Sepetang, tapi memang tak pernah menjadi rancangannya. Ada saja halangan.

Hari ni kebetulan kami melawat sepupu Abah yang sakit di Kampong Boyan Taiping.  Sebelum masuk ke simpang ke arah Taiping, aku ternampak papan tanda arah menunjuk ke Kuala Sepetang. Ahhh dah dekat sangat rupanya, kali ni mesti menjadi.  Tak ada alasan lagi.

Selepas solat Zohor, kami menuju ke arah Kuala Sepetang. Kami terjumpa beberapa gerai menjual mee udang, Gerai Mak Teh, Gerai Mak Jah, Gerai Salleh dan beberapa lagi.  Sebelum singgah di gerai-gerai tersebut, kami masuk ke pekan Kuala Sepetang (dulunya dikenali sebagai Port Weld).  Landasan keretapi pertama di Tanah Melayu telah dibina oleh Inggeris dari Port Weld ke Taiping ... ingat lagi ke fakta dari buku Sejarah ni ... hehehhhe!!

Ok, Pekan Kuala Sepetang merupakan pekan nelayan di pinggir Sungai Sangga. Ia kelihatan seperti sebuah pekan koboi yang didiami oleh kebanyakannya kaum Cina.  Terdapat beberpa deret kedai di kiri-kanan jalan utama yang sempit. Sumber pekerjaan utama penduduk di sini ialah sebagai nelayan. Patutlah bercambah restoran Cina dan Melayu yang menjual makanan berasakan sumber laut.

Mee banjir. Kenapa panggil mee banjir, bukan mee kuah atau mee sup ekk?

Kami mengambil keputusan singgah di Gerai Mee Banjir Mak Teh. Ada bermacam menu seperti mee, bihun dan nasi yang dimasak secara goreng atau berkuah dengan bahan utamanya ialah udang. Setelah membelek-belek menu, kami akhirnya memesan mee udang banjir dan mee goreng udang. Harga setiap pinggan ialah RM10 yang dipenuhi kira-kira 8 ekor udang bersaiz besar.

Mee goreng udang ... yummy

Mee kuahnya sedap, manis dan pedas. Kuahnya cair seperti sup.  Puas menghirup kuahnya serta meratah isi udang yang pejal.  Mee gorengnya memang sedap, cukup pedas dan masinnya.  Puas makan dan berbaloi dengan harga yang dibayar.  Cuma aku kurang selesa dengan kehadiran lalat yang begitu banyak. Terasa selera terganggu apabila lalat-lalat tu membuat lalu-lintas udara tak berhenti-henti di sekitar pinggan kami.  Hrmmm dugaan!!!  

Friday, November 16, 2012

MAAL HIJRAH

Semalam Maal Hijrah.  Anak-anak seronok, bermakna cuti sehari lagi.  Belum dapat menghayati kepentingan Maal Hijrah atau Awal Muharram dalam kehidupan seorang Muslim.  Puas aku bersyarah panjang, jangan hanya khatam tarikh-tarikh penting tahun Masihi tetapi kalendar tahun Islam diabaikan.

Begitu indahnya kehidupan kita hari ini kalaulah kita mahu mengambil perhatian.  Maal Hijrah diraikan, diwarwarkan. tidak seperti masa aku kecik-kecik dulu. Masa kecik dulu, aku cuma perasan tentang ketibaan 10 Muharram apabila adanya bubur asyura.  Pada hari 10 Muharram, surau atau masjid di kampung ku akan memasak bubur asyura. Kalau di kampungku di Perak bubur asyuranya dari tepung beras yang dimasak berperisa pedas, ada daging, bawang goreng, santan, daun sup dan daun bawang.  Ala-ala bubur lambuk.

Di Pulau Pinang pula, bubur asyuranya manis, penuh berisi bermacam kekacang seperti kacang hijau, kacang merah, jagung serta keledek, pisang, santan dll.  

bubur asyura versi utara (kredit gambar kamsiah-yusof.blogspot)

Kedua-dua versi ini disebut bubur tetapi dimasak hingga keras dan boleh dipotong seperti kuih lapis atau bengkang.  

Tetapi sekarang pengisian Maal Hijrah lebih meluas. Buka sahaja akhbar, TV1, TV3, TV9, Astro 106, Alhijrah ... pelbagai rancangan yang mengisahkan tentang kebesaran Maal Hijrah dalam kalendar Islam dipaparkan.  Malah dalam FB, Twitter dan blog, para kenalan tak henti-henti saling mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah, siap dengan petikan hadis yang menceritakan kemuliaan bulan Muharram. 

Subhanallah ... jadi kenapa kita masih tak mau ambil tahu. Ilmu ada di merata-rata sekeliling kita, yang perlu bertindak kita sendiri.  Lebih penting kalau tiba 1 Januari setiap tahun, kita kononnya menanam azam baru (walaupun ramai yang azam tinggal azam).  Kenapa sempena 1 Muharram kita tidak menanam azam juga? Jom!! Aku sendiri berazam untuk jadi lebih dari semalam, cuba meninggalkan perkara-perkara yang membawa dosa ... terutama dosa hati dan dosa mulut. Semoga Allah SWT memberi aku kekuatan untuk menjadikan azam ku ini satu kenyataan. Amiin

Thursday, November 8, 2012

Bila Tiba Masanya .....

Bermula 5 November 2012, Kak Long perlu menjalani kehidupan yang baru.  Setelah tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) pada bulan Jun lalu, ini merupakan pekerjaan kedua Kak Long.  Tugas pertama di firma audit di Pulau Pinang hanya bertahan beberapa bulan sahaja. Demi mengejar cintanya kepada bidang perakaunan di persekitaran yang lebih mencabar, dia menerima tawaran kerja yang baru sebagai Account Officer di sebuah firma kewangan di Damansara Utama.

Kak Long bersama rakan karibnya di hari konvokesyen

Yang tak tahannya adalah aku ibunya .... yang terpaksa berpisah dengan anak keletah ini. Memang sebelum ini pun aku telah biasa terpisah dengannya. Masa Form 1 sampai Form 5 dia duduk di asrama.  Setiap minggu aku tak pernah gagal untuk melawatnya di asrama.  Semasa umur 18 tahun dia melanjutkan pelajaran peringkat diploma di Melaka dan menyambung pengajian ijazah pula di Cyberjaya. Bermakna sudah lebih 10 tahun dia on and off aje berada dengan keluarga.  Jadi apa bezanya sekarang?

Memang berbeza!!! Dulu aku tahu dia sangat bergantung pada aku dan Abah. Apa-apa sikit akan cari kami berdua. Sentiasa tidak sabar untuk pulang ke rumah semasa cuti semester. Paling best cuti semesternya panjang. Puas aku bergelak ketawa dan bergaduh dengan dia. Malah yang paling aku ingat ialah tentang kesedihannya apabila akan berpisah dengan kami setelah cuti semester berakhir. Seharian sebelum bertolak pulang, karektor nya akan bertukar menjadi pendiam, tidak berselera makan dan tidak suka bergurau.  Hehehe anak manja.

Tapi kini tak ada lagi cuti smester panjang. Cutinya pun perlu bercatu mengikut keperluan tugas pejabat.  Tentu sukar untuk kami merancang aktiviti percutian mengejut seperti sebelum ini.  Ohhhh,  I'll miss that precious moments bersama Kak Long.

Aku juga bimbang dengan kehidupan di dunia pekerjaan yang mencabar. Ibukota yang penuh dengan pancaroba. Di alam kampus dan asrama dulu,  hidupnya penuh peraturan dan dalam lengkungan yang terjaga dan selamat. Kini tak ada sapa yang nak menjaganya melainkan dirinya sendiri.  Ohhh betapa bimbangnya hati seorang ibu!!!

Tapi apa daya aku. Apabila tiba masanya, aku perlu melepaskan burung keluar dari sangkarnya. Takkan aku nak kepit dia hingga ke tua?  Dia perlukan kebebasan mencorak masa depan sendiri. Dia perlu belajar berdikari.  Dia perlu belajar menghadapi cabaran dan dugaan.

Walaupun hati ini penuh risau, tapi aku sentiasa yakin Kak Long mampu manghadapi semua dugaan itu. Insyaallah dengan semua ilmu dan tunjukajar yang dibekalkan sebelum ini, dia mampu menangkis semua perkara negatif dari menghampirinya. aku dan Abah hanya mampu memanjatkan doa. Setiap lepas solat, tidak putus doa ku untuk Kak Long. Aku yakin Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang mendengar doaku, memelihara anakku dari segala musibah dan gangguan manusia dan syaitan.  Ameen

Monday, November 5, 2012

Gud Luck!! Doa Mama Mengiringi Perjuangan

Duk dak .. duk dak ... duk dak.

Macam tu debar jantung aku pagi-pagi ni.  Hari ni bermulalah perjuangan Puteri Bongsu dan beribu-ribu anak Malaysia yang lain menghadapi SPM, bermula dengan Bahasa Malaysia Kertas Satu (Karangan). Minggu ini peperiksaan dijalankan setiap hari sehingga Khamis. Setiap hari satu matapelajaran. Kertas terakhir pada 28 November nanti.

Aku benar-benar berharap Puteri Bongsu telah bersedia sepenuhnya.  SPM lah yang nak menentukan anak ini akan melanjutkan pelajarannya di mana, .....  universiti, kolej, politeknik atau Tingkatan 6.

Aku dan Abah telah sediakan apa yang sepatutnya.  Kemudahan belajar di sekolah, tuisyen, buku latihan, seminar ... semuanya demi menyediakan anak-anak menghadapi cabaran peperiksaan di sekolah. Dah juga kami bekalkan ilmu akhirat supaya mereka bersedia menghadapi cabaran hidup yang lebih besar, supaya tidak tewas dengan gangguan syaitan.

Puteri Bongsu .... gunakanlah peperiksaan ini sebagai landasan untuk mencorakkan masa depan adik. Jangan persiakan peluang ini untuk menjadi anak remaja yang cemerlang.  Abah dan Mama tidak pernah berhenti mendoakan kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat untuk adik.  Kami maukan yang terbaik untuk adik.  Best of Luck my dear.