Monday, December 31, 2012

Kebahgiaan Seorang Ibu

Setiap kali aku melambai Emak, mata aku jadi kabur menahan tangis. Airmata bertakung tunggu masa jer nak gugur. Aku pasti Emak pun macam tu.  Kesian Emak, kesepian lagi ditinggalkan anak-anak.

Aku dan Emak
Begitulah juga petang semalam. Setelah 2 malam kami berkampung beramai-ramai di rumah Emak, kami terpaksa pulang ke rumah masing-masing. Hari ni ada yang perlu bekerja sebab cuti tak di luluskan.  Ada yang nak buat persiapan anak nak masuk sekolah.  Semua ada urusan sendiri. Tapi percayalah Emak, anak-anak Emak tak pernah melupakan Emak. Kami selalu mendambakan suasana begini, berhimpun beramai-ramai bergelak ketawa, bercerita  pelbagai kisah, makan tak henti-henti, suasana penuh hiruk-pikuk.  Tetapi kami tak dapat mengubah keperluan diri, mencari rezeki untuk keperluan keluarga dan menuntut ilmu bagi cucu-cucu Emak.

Sebenarnya kami semua pulang ke kampung kerana meraikan perkahwinan anak sepupu kami di Ipoh.  Semasa kenduri memanglah seronok dapat berjumpa ramai sepupu, ibu saudara dan kenalan jauh dan dekat. Selepas kenduri kami berkumpul di rumah Emak.  Semua ada kecuali 2 adik lelaki ku yang terpaksa bekerja pada hari minggu dan seorang lagi bercuti ke rumah mertua di Kelantan. Lebih meriah kerana kakak aku Yong membawa 2 menantu perempuan dan cucunya pulang bersama.

Bayangkan betapa riuhnya dari siang membawa ke malam.  Semua ruang dipenuhi anak cucu.  Bila malam semua bilik, ruang tamu, ruang keluarga di bahagian atas rumah penuh anak cucu bergelimpangan tidur. Bunyi dengkur bersahut-sahutan, macam-macam irama ......  hahahaha

Putu Perak - rasanya memang sedap dan unik.  Hanya terdapat di Perak
 (gambar putu yang cantik terima kasih dan kredit kpd blogger Cendana Kasih)
Pagi-pagi kami sudah bangun menyediakan sarapan pagi.  Tak cukup dengan nasi goreng yang dimasak, ada pula yang membeli kuih-muih yang hanya ada dijual di kampung aku di Perak.  Selepas sarapan dah masuk dapur semula untuk sediakan masakan tengah hari. Pada hari Sabtu, kami semua pergi kenduri, jadi kami cuma makan tengah hari bersama pada hari Ahad. Semua anak dan cucu perempuan bekerjasama di dapur. Tak ada yang curi tulang.  Emak dengan gagahnya memasak gulai tempoyak dan kari telur untuk anak cucunya.  Kalau berseorangan di kampung, Emak memang jarang memasak. Hanya Bibik Kiah yang akan menggoreng ikan, menumbuk sambal dan merebus samada pucuk ubi, jantung pisang atau terung untuk Emak. Tetapi hari ni tenaga Emak tiba-tiba datang, tentunya kehadiran anak cucu menyuntik semangatnya.

Sambil potpet-potpet, kami kaum ibu dapat menyediakan pelbagai menu dengan pantas :-

1.  gulai tempoyak ikan dengan taugeh kasar
2.  kari telur dengan kentang
3.  sambal tumis ikan bilis dengan petai
4.  ayam goreng
5.  ikan sardin goreng
6.  ikan masin gelama dan bulus ayam
7.  sambal tempoyak, sambal belacan, cencalok
8.  pucuk salang rebus
9.  ulam timun, kacang panjang, petai dan daun salad
10. sirap limau

Kaum bapa pun tak kalah asyik bersembang dengan gelak ketawa sambil makan rambutan yang dah sampai penghujung musimnya.

Keriuhan ditambah oleh cucu-cucu yang berlari ke atas dan ke bawah. Berdegum-degum bunyi lantai dipijak kaki-kaki kecik dan besar.  Ada juga yang bergaduh dan menjerit-jerit. Terpaksa ada referee pula supaya gaduh tak berpanjangan ... hehehhehhe.

Selepas zohor, semua mula berangkat pulang ke destinasi masing-masing kecuali adik ku Nita yang akan bermalam sehari lagi.  Jelas kelihatan wajah Emak sayu melepaskan anak-anak pulang.  

Emak ... kami semua sayangkan Emak. Kami semua menghargai kasih sayang Emak. Kami semua doakan semoga Emak mendapat kesejahteraan hidup.  Kami semua juga mengharapkan doa dan restu Emak untuk kami meneruskan kehidupan kami.  Ya Allah, Engkau sempurnakan kehidupan kedua ibubapa kami di dunia dan di akhirat dan kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mengasihani kami. Ameen

Gambar sebahagian keluarga besar kami.  Gambar ni diambil
7 tahun yang lalu, sekarang jumlah ahli keluarga dah
bertambah-tambah.  Kena plan ambil gambar terbaru

Friday, December 28, 2012

Selamat Pengantin Baru Izni - Aida

Majlis perkahwinan Izni berlapis-lapis.  Pada hari kedua Aidil Adha dilangsungkan majlis pernikahan. 22 Disember pula walimatulurus pihak perempuan.  23 Disember pula di sebelah lelaki. Jenuh kami pergi kenduri tak henti-henti. Mujurlah le dekat ajer.

Izni adalah anak kedua kakak ipar ku.  Abang sulungnya, Am telah pun berkahwin 8 tahun yang lalu.  Anak sulong Am akan masuk ke darjah 1 bulan Januari ni. Nak buat macamana jodoh Izni  lambat sampai, walaupun aku difahamkan Izni dan Aida dah berkawan sejak dari sekolah menengah lagi. Memang sungguh teguh cinta mereka.

Tak banyak yang aku nak ceritakan melainkan kegembiraan dapat berkumpul bersama keluarga yang hadir dalam majlis tersebut.

Buat Izni dan Aida, selamat pengantin baru, selamat melayari bahtera berumahtangga, semoga jodoh kalian berkekalan hingga ke syurga.  Ameen

Gulai ayam kampung, daging cincang dengan ubi kentang, ayam goreng kicap, acar buah,
nasi 3 jenis,  bubur kacang, buah limau, sirap, airkrim ... semua ada
Saudara-mara dari Kelantan turut meraikan pengantin
Amboi ... tersenyum riang pengantin
Kak Ngah diberi mandat mengedar "goodies"

Friday, December 21, 2012

End of The World!!!!

hahahahah .... memandai-mandai jer mereka letak tarikh 21.12.2012 sebagai tarikh mati dunia, atau lebih tepat tarikh KIAMAT. Percaya sangat pada kiraan Mayan bahawa dunia akan hancur pada tarikh tersebut.  Atau bangsa Mayan tak kata pun macam tu, oranglain yang memandai reka cerita macam tu.  At last ramai yang panik, ramai yang ditimpa sindrom kemurungan, dan ramai juga yang dah bunuh diri sebab takut menghadapi kiamat tu. 


Tapi masih ramai yang waras, malah ramai yang tak percaya pada ramalan tu buat lawak gila. Kalender Mayan terhenti pada 21.12.2012 kerana ruang atas batu tu dah penuh, tak der tempat nak tulis lagi.  Ada yang kata orang yang menulis kat batu tu dah penat, dia dah merungut ... bila mahu habis daaa!!!  hehehhe ... logik juga lawak tu.

Apa pun kita sebagai orang Islam memang wajib percaya kiamat itu memang akan terjadi.  Kita wajib percaya, bila tiba saatnya malaikat Israfil akan menjalankan tugasnya meniup sangkala. Pada waktu itu akan hancurlah bumi dan seluruh cakrawala. Tak ada siapa yang akan terselamat.  Siapa yang mampu menentang kekuasaan Allah SWT.

Cuma kita tidak tahu bila kiamat itu nak berlaku. Nabi Muhammad SAW sendiri tidak tahu, apalagi kita manusia biasa.  Cuma kita sedar semua tanda awal kiamat telah hampir lengkap. Kini kita menanti tanda-tanda besar pula seperti kemunculan dajal serta yakjud dan makjud yang menimbulkan kacaubilau menghasud manusia menentang Allah. Kita juga percaya akan muncul Imam Mahadi dan Nabi Isa AS untuk menyelamatkan manusia di jalan Allah. Dan tanda-tanda akhir yang utama apabila terbitnya matahari dari sebelah barat. Waktu itu kiamat telah begitu hampir sekali.

Sebenarnya kita bukannya perlu menyediakan diri menghadapi kiamat semata-mata, tak kiralah berlaku tahun ini atau tahun depan atau 10 tahun lagi, atau 100 tahun lagi.  Yang utamanya kita perlu menyiapkan diri menghadapi mati ... kiamat bagi setiap individu yang bernyawa. Kita boleh mati bila-bila masa sahaja, sejam dari sekarang, esuk, minggu depan, tahun depan atau bertahun-tahun lagi. Apa persiapan kita? Cukupkah amalan dan bekalan kita?  Subhanallah ... Maha Suci Allah yang menjadikan alam semesta beserta makhlukNya.  Semoga kita semua mati dalam iman, mati dalam  keredhoaanNya. ameeen

Friday, December 14, 2012

M BAKRI - MANIS MANJA.avi



Sedap kan lagu ni?  Tak tau kenapa aku minat lagu-lagu M Bakri .... samada suara machonya yang menambat kalbu (cewahh), atau melodi lagu yang catchy, atau liriknya yang indah. Hrmmm, semua-semua sebab di atas ler kut.

Lagu ni ada juga dinyanyikan oleh Jamal Abdillah, dinyanyikan dalam versi rancak. Tapi maaflah, aku rasa original melodi lagi menangkap.  Walaupun aku ni peminat Jamal Abdillah, tapi rasanya apabila lagu ni dinyanyikan oleh Jamal, feel tu kurang sangat, sebab rancaklah kut!!

M Bakri adalah biduan yang sangat diminati Arwah Apak. Selalu aku dengar Arwah Apak menyanyi dengan meniru suara besar M Bakri.  Mungkin sebab itu akupun minat M Bakri.  Aku mahu berkongsi sesuatu yang dekat dengan Apak suatu masa dulu. Ohh ... setiap kali teringat Apak, airmata tak dapat dibendung. Aku rindu pada Apak. Tak puas mendapat kasih sayangnya. Walaupun Apak meninggal semasa aku berumur 22 tahun, aku sebenarnya selalu berjauhan dari Apak. Mulai umur 12 tahun sehingga ke saat kematiannya, masa aku banyak dihabiskan di asrama sekolah, asrama kolej dan merantau ke Pulau Pinang untuk bekerja.  Sebab itu aku sering merasa tidak puas bermanja dengan Apak, aku rasa kehilangan masa dewasa dengan Apak.  Pertemuan kami hanya setiap kali cuti penggal atau semester ... 3 kali setahun.  yang menghubungkan kami semasa berjauhan hanya surat-surat yang ditulis tangan dengan cantik oleh Apak.

Ok ... tak dapat nak teruskan lagi,  airmata makin lebat. Elok aku berhenti di sini, ambil wuduk dan membaca surah Yaasin untuk aku hadiahkan buat Apak.  Walaupun doa untuk Apak tidak pernah susut setiap kali selepas solat fardhu atau sunat, atau menghadiahkan pahala bacaan Quran untuk Apak, tapi aku tidak pernah merasa sumbangan aku sebagai anak sudah cukup.  Memang tak akan cukup. Aku tak mampu nak membalasnya.  Hanya aku mohon dari Allah Ya Rahman Ya Rahim untuk memberikan yang terbaik buat Apak. Al Fatihah.

Thursday, December 13, 2012

Selamat Pengantin Baru Along!!!

Dah basi dah cerita ni.  Tapi aku kena tulis juga, sebagai rujukan kemudian hari ... heheheh.  1 Disember 2012 kakak sulong ku, Yong mengadakan walimatul-urus untuk anak sulongnya, Along Mukhriz.  Sebenarnya Along dah selamat diijabkabul pada 23 Ogos lalu (3 Syawal).  Cuma majlis kenduri aje yang baru dijalankan.  Majlis resepsi keluarga perempuan telah diadakan di Kajang seminggu sebelum ini.

Penyambut tetamu ni ... 5 jam berdiri rasa nak tercabut lutut, tapi seronok dapat jumpa saudara-mara semua
Mau goodies ... kena ngorat anak dara ni ... huhuhuhu

Majlis pihak lelaki diadakan di Dewan Komuniti Bukit Damansara.  Dewannya besar dan cantik.  Tempat letak kereta pun banyak.  Yang bestnya ada Bilik VIP untuk pengantin mandi, berehat dan bersolek.  Luas biliknya.  Ramai juga yang tumpang solat di situ.

Keluarga pengantin lelaki

Aku memang seronok bila ada majlis kenduri macam ni. Inilah peluang bertemu semula dengan saudara-mara yang dah bertahun tak berjumpa. Ramai yang datang dari Perak (ibu-bapa pengantin lelaki berasal dari Perak).  Apa lagi, sembang tak berhenti-henti.  Dah habis makan, buka pulak satu corner untuk sambung sembang-sembang.  Gelak ketawa sentiasa kedengaran.
Sebahagian dari saudara-mara dari Perak ... ada ramai lagi !!!

Majlis yang sederhana ini berjalan dengan sempurna.  Aku dan adik ku Nita diberi tugas menjadi penyambut tetamu.  Puteri Bongsu dan sepupunya Dalilah pulak bertugas menyerahkan goodies kepada tetamu.  Majlis tamat pukul 5.00 petang. Sebaik majlis tamat, hujan turun dengan lebatnya. Syukur Alhamdulillah.

Tuesday, December 4, 2012

Seronokkk .... Tapi Semputtt

Aku dah dengar pasal MAHA ni punyalah lama. Mula-mula dulu tak teringin pun nak pergi, aku punya persepsi MAHA ni samalah kut macam ekspo pertanian yang ada kat Penang ni. What so special?

Apa MAHA tu?  Baca kat SINI tentang MAHA.  

Tetapi Abah beria-ia sangat nak pergi.  So, pada 30 November lalu aku, Abah dan Puteri Bongsu pun pergi ke sana. Kami tiba pukul 9.40 pagi, padahal MAHA hanya dibuka untuk pelawat mulai jam 10 pagi. Walaupun masih awal, tempat letak kereta dah mulai penuh. Terpaksalah kami berjalan agak jauh juga dari kereta ke tempat lawatan pertama, sebuah dewan yang menempatkan produk industri kecil (IKS).  Dah nama pun sampai awal, memang tak boleh nak komplen kalau banyak gerai belum dibuka.  Dok berselimut lagi kebanyakan produknya.

ohhh macam ni rupa pokok "nasi" aka padi!!!
Seterusnya kami menaiki trem untuk ke Laman Padi.  Walaupun dibesarkan di negeri yang mempunyai banyak sawah padi, Puteri Bongsu tak pernah pun masuk bendang dan pegang pokok padi.  Di sinilah kali pertama dia memegang anak padi, padi dah masak menguning dan memijak batas bendang.  Heheheh kesian anakku.  Kami terbuai mendengar irama rancak kumpulan muzik traditional Kelantan yang mengadakan persembahan di laman ini.  Irama muzik ala-ala siam ni menyebabkan ramai pengunjuk yang seronok nak menari ... kakakakah!!!

aksi nelayan moden ... dok belek bubu

Lepas tu kami singgah di laman yang lain pulak seperti Perikanan, Ternakan, Sayur-sayuran, galeri pameran, gerai-gerai makanan dan rumah-rumah negeri di Malaysia.  Pergerakan dari satu laman ke laman atau galeri yang lain sangat jauh. Mujurlah perkhidmatan tremnya agak efisyen.  Di setiap stesyen ada petugas yang memberi petunjuk trem yang mana harus dinaiki untuk menuju ke laman-laman berkenaan.

Inilah kebun kami!! Petik jer ... petola, labu, kundur, timun ... macam-macam ada
Ini baru betul-betul segar dari ladang

Tempat yang paling menarik perhatian kami ialah Laman Sayur-sayuran.  Seronoknya duduk di kawasan dingin dengan dikleilingi sayur-sayuran segar bersaiz besar.  Kami berlama-lama di sini. Semburan air dingin (mist) menyebabkan kami lupa cuaca panas menggigit di luar kawasan ini.  Tengok sayur salad serta ulam-ulaman yang segar dan crispy menyebabkan aku rasa teringin sangat nak mencicah dengan sambal belacan ... hehehhe.

Laksa sarawak

Di rumah negeri-negeri Malaysia kami singgah makan di rumah Sarawak. Sempat makan laksa sarawak dan beli perencahnya sekali.  Kalau ikut hati teringin nak cuba juga makan mee kolok, nasi dabai, umai dan macam-macam lagi, tapi perut dah penuh.  Persinggahan di rumah Kelantan,Johor dan Perak hanya sekadar melihat pameran saja.  Perut dah kenyang.

Cendul durian dengan nasi kukus

Cuma setelah puas berjalan, sejam kemudian kami singgah pula di gerai makanan berhampiran Dewan Utama.  Kali ini kami mencuba ais krim goreng, cendol durian, nasi kukus ayam berempah dan air kelapa laut. Selepas itu kami masuk pula ke Dewan Utama melihat pameran bunga-bungaan, buah-buahan dan beranika produk industri tani.  Keluar dari Dewan kami terkejut melihat cuaca tiba-tiba gelap.  Mendung ... bila-bila masa ajer boleh hujan. 

Erkkk??? gadis dan bunga?? kwang kwang

Lebih malang lagi kami lupa pula di kawasan mana kami meletakkan kereta.  waduhhhh!!!!  Jenuh kami berpusing-pusing mengingatkan tempat permulaan kami tadi (harap maklum, bukan naik trem yer, tapi berjalan kaki!!!!).  Akhirnya selepas puas berpusing dan berpeluh-peluh, barulah kami terjumpa laluan yang betul.  Waktu itu hujan sudah mula turun. Apa lagi, bagaikan Usain Bolt kami memecut meredah hujan menuju kereta yang nun jauh di hujung kawasan parking.  Fuhhhh ... penat campur kebasahan. 

Moralnya .... kalau pergi ke tempat yang luas begini, pastikan kita cam jalan masuk untuk memudahkan kita keluar kelak.  Apapun, puaslah kami berada di sana dari pukul 9.40 pagi sampai pukul 4.30 petang.   Hari ini dalam sejarah, aku berjalan tak henti-henti selama 7 jam.