Monday, December 18, 2017

Selamat Tinggal (Pamit) - Broery Marantika



Lirik lagu: Selamat Tinggal (Pamit)
Ijinkan aku pergi
Apalagi yang engkau tangisi
Semogalah pengganti ku
Dapat lebih mengerti hati mu

Memang berat ku rasa
Meninggalkan kasih yang ku cinta
Namun bagaimana lagi
Semuanya harus ku jalani

Selamat tinggal ku doakan
Kau selalu bahagia
Hanya pesan ku
Jangan lupa kirimkan kabar mu
Bila suatu hari
Dia membuat kecewa di hati
Batin ini takkan rela
Mendengar mu hidup menderita

Dialog : Sayang walau kemesraan kita sesaat cuma
Namun kau tetap di hati
Ku iringi kepergian mu dengan ikhlas hati
Semoga kelak kita kan bersatu lagi

Dialog : Selamt tinggal... kasih
Selamat jalan... sayang

*************************************************

Entah kenapa hari ni hati aku tiba2 jadi rindu apabila mengingati penyanyi kesayangan ku... Broery Marantika. Sejak dari zaman gadis ku semasa di sekolah menengah, nyanyian Broery sentiasa aku nyanyikan.  Dan kini aku berkongsi meminati lagu2 nyanyian Broery ini bersama2 Abah. Hrmmm Abah boleh melalak sorang2 menyanyi lagu Widuri dengan nada sumbangnya. Hahaha ... tak kisah lah Abah, asalkan sayang bahagia 💖💖💖💖

Zaman anak dara dulu2 .. biasalah kalau jatuh hati pada penyanyi pujaannya. Kenapa aku minat sangat dengan Broery?  Dia bukanlah penyanyi yang kacak. Tapi kemerduan suaranya dan auranya yang sukar ditepis.

Dan aku antara yang menangisi pemergiannya pada tahun 2000.  

Untuk generasi baru yang kurang mengenali Broery,  BACA di sini untuk cerita ringkasnya.


Lumut Tempat Menarik (9 -10 Disember 2017)

Baru2 ni aku dan Abah bermalam di Lumut. Sebenarnya Lumut dekat jer dengan kampung asal ku... lebihkurang 30 ke 45 minit perjalanan jer. Tetapi sebab dekatlah aku tak pernah beri perhatian kepada keistimewaan Lumut. Bagi aku Lumut cuma sebuah pekan kecil tempat pelancong menaiki feri untuk ke Pulau Pangkor.

Bila sebut Lumut juga, aku pasti teringat kepada Pangkalan TLDM, ikan bilis mata biru serta limbungan tempat feri Pulau Pinang dibina. Hihihihi ...

Kesempatan bermalam di pekan pelancongan kali ini memberi aku peluang untuk meninjau pesisiran Lumut yang sangat indah. Memandangkan sekarang cuti sekolah, aku memang menghadapi masalah untuk mendapatkan hotel. Cari punya cari akhirnya dapatlah sebuah bilik double bed di Ritz Hotel Lumut. Hotel ni cantik dengan kelengkapan yang bersesuaian dengan harga bajetnya. Setiap bilik ada peti sejuk, peralatan membancuh kopi, safety box, hair dyer dan lain2 kelengkapan asas. Harga termasuk makan pagi untuk 2 orang. Hidangan nasi goreng, bihun goreng, roti bakar, kacang panggang, bubur nasi, cereals, minuman panas dan sejuk serta buah tembikai cukup untuk membuat pelanggan hotel berpuashati. Kalau nak komplen pun ialah tentang ruang bilik yang sangat terhad, hingga amat sukar untuk menunaikan solat.

Nak certa panjang tentang Lumut  ... jom kita tengok gambar.

Petang 9.12.2017 (dalam 6 petang sampai malam)

Lumut waterfont ... ramai yang ambil angin. Cuaca redup jer

Ada live band lagi... hiburkan pengunjung dengan lagu2 pop yeye ... hihihihi

Sunset ... awan hujan pun dah penuh di langit. Guruh pun dah menderum2

Lumut  pekan kecil yang penuh dengan pelancong tempatan di musim cuti sekolah ni

Ikan bilis pelbagai gred.. mak aii mahal2 belaka, apalagi bilis mata biru

Pagi 10.12.2017 (dalam pukul 8 pagi)

Ketam beso, kerang beso ... di jeti nelayan bersebelahan jeti bot ke Pulau Pangkor

Cantik imej hidupan laut disusun sedemikian rupa


Bahagian tepi bangunan pejabat pelancongan

Bot2 nelayan banyak berlabuh di sini

Tumpang posing yer tokei ... jejambat dari daratan ke bot

Lantai dataran waterfront dihias dengan pelbagai imej... menyebabkan kita berjalan jauh pun
tak terasa erana asyiknya memandang keindahan  imej2 tersebut. My favourite .. imej ikan  lumba2

Friday, December 8, 2017

Soun Goreng aka Bihun Siam

Resipi yang nak aku kongsi kali ini adalah resipi warisan keluarga Abah.  Aku diperkenalkan dengan resipi ni kira2 20 tahun yang lalu.  Sayangnya aku tak pernah menulis di mana2 pun tentang resipi ini. Apa bahan diguna, berapa banyak bahan diguna dan cara2 memasaknya tak pernah direkodkan. Cuma aku perhati macamana cara ianya dimasak dan ikut membantu semasa makanan sedap ni dimasak Main ingat2 gitu je.

Sadisnya aku seorang jer yang sering memasak resipi bihun siam ni.  Adikberadik Abah semua tak tau macamana cara nak memasaknya, sebalik bertanya aku.. menantu dalam keluarga ni.

Lebih sedihnya orang2 tua yang mahir memasak resipi ni semua dah meninggal dunia atau tua dan hilang ingatan. Al Fatihah untuk Allahyarham Tok Ayah Haji Hasbullah, Allahyarhamah Tokcak Hajjah Sofiah dan Toksu Hajjah Maimunah yang kini mengalami sakit lupa. Halalkan ilmu ini dan semoga menjadi sedekah jariah buat kalian.

Sebelum aku pun pergi ke "alam sana", elok aku catatkan resipinya di sini. Semoga jika ada anak2 yang merindui masakan ni kelak, ambillah di sini sebagai panduan. Cuma kena pandai2 adjust lah, sebab tak dapat nak beri sukatan yang jelas.

BAHAN

1 paket Souun  500 gram direndam hingga lembut
15 tangkai Cili kering (*) - buang biji dan rendam (kalau tak suka pedas boleh kurangkan, kami semua suka pedas hihihi)
10 biji Bawang kecil (*)  - hiris kasar
5 ulas Bawang putih (*)   - hiris kasar
Halia (*)   -   sebesar ibu jari hiris kasar
3 sudu makan Udang kering (*)  -  direndam
Santan segar  -  RM5 (wajib guna santan segar supaya dapat menghasilkan tahi minyak)
1 mangkok Lauk samada ayam atau daging dipotong kecil2 atau udang kecil. Aku lebih suka udang dan daging sebab rasanya agak istimewa. Nak guna banyak mana ikut suka.
Pes asam jawa
Kicap manis pekat
Garam
Daun kucai   -  segenggam dihiris sepanjang 1 inci

HIASAN

Telur dadar dihiris nipis2
Limau kasturi
Cili merah atau cili padi dihiris halus
Daun salad dihiris halus

CARA MEMASAK

Semua bahan bertanda (*) disatukan dan disagai (goreng tanpa minyak) hingga berwarna coklat. Selepas itu ditumbuk hingga lumat. Atau guna food processor jer. Tapi tumbuk lagilah sedap sebati. Tak boleh guna blender sebab blender perlukan air untuk melumatkan bahan2 tersebut

Masukkan santan dalam kuali dan gunakan api yang kecil. Kacau santan sekali sekala. Proses ini mengambil masa yang sangat lama. Santan dijerang sehingga bertukar menjadi minyak dan membentuk tahi minyak. Bersabar banyak2 yer 😃😃😃😃

Biarkan sehingga tahi minyak garing. Selepas itu masukkan semua benda yang dilumatkan tadi. Kacau lagi sehingga garing. Masukkan lauk2 yang dipilih. kacau sehingga lembut. Kalau gunakan daging muda dan lembut, tak perlu direbus terlebih dahulu

Tambahkan kicap manis dalam 4 sudu besar, pes asam jawa sesudu besar dan garam ikut kesesuaian. Masukkan sooun dan kacau tanpa henti.  Pastikan semua sambal tadi rata meliputi sooun.  Gunakan api sederhana besarnya. Kacau sehingga sooun bertukar warna menjadi jernih. Masukkan daun kucai, kacau hingga rata.



Setelah mendapat rasa dan tekstur yang diinginkan boleh tutup api dan hidangkan bersama bahan hiasan.

Yang pastinya sooun ini akan lebih meresap mesra sambal tersebut setelah beberapa jam. Kalau masak malam ni, pagi esuk lagi sedap rasanya.

Monday, November 27, 2017

Perjalanan ke Selatan (4)

Seawal 5 pagi aku dah bangun. Selepas solat, aku bergegas ke dapur. Hrmmm lengkap ada kuali non-stick, sudip, pinggan mangkuk dan minyak masak. So menu pagi ni scramble egg dgn mayonis dan nescafe 3in1.  Hrmmm lapar2 ni jadi sedaplah sangat.

Pukul 7.15 kami bergerak ke PICC. Kakngah tak ikut sama sebab kad masuk ke dewan konvokesyen cuma untuk aku dan Abah saja. Kami berebut2 bersama2 orang yang nak masuk kerja di pejabat2 kerajaan sekitar Putrajaya. Pagi ni sistem waze ni baik, terus ditunjukkan kami ke PICC.  Aku bimbang kalaulah jadi macam kelmarin, jenuh dibawanya kami sesat meraban ke mana hala.

Sebelum masuk ke dewan kami singgah di gerai yang menjual flower bouquet.  Mahal2 juga bunga yang dijual, paling murah pun RM60.  Setelah memilih bouquet yang berkenan di hati, kami terus bergerak menuju ke dewan konvokesyen. Rupa2nya kami dah terlambat.. bahagian tempat duduk hadapan sudah penuh belaka.  Duduklah kami di kerusi bahagian atas. Tapi okaylah juga kedudukan ni, kerana perarakan masuk graduan, tenaga pengajar dan VIP semua lalu betul2 di hadapan tempat duduk kami.

Acara bermula tepat jam 8.00 pagi.  Yang menariknya permainan muzik cakelempungnya berbeza dengan irama yang biasa aku dengar semasa konvokesyen universiti Kaklong dan Kakngah dulu. Muziknya dimainkan secara rancak dan bukan mendayu2 walaupun lagu2 traditional saperti sekapur sireh, ala canggung, nina bobo dsbnya.  Tidaklah terasa bosan menunggu lama sehingga majlis selesai.

Perarakan masuk .. tersenyum riang jer cik puteri ni

Tahniah sayang

Selesai satu tahap.. harap teruskan lagi pengajian

Skrol diploma disampaikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Dato Seri Ismail Sabri bin Yaakob.  Kadang2 aku merasa sebab melihat ramainya anak2 kita beratur dengan wajah kegirangan meraikan kejayaan menggenggam diploma dan ijazah. Hati aku berdoa semoga mereka semua jadi insan berguna yang bukan saja bahagia dalam kehidupan mereka sendiri tetapi juga tidak lupa untuk membahagiakan ibubapa masing2. Aku benar2 sebak semasa 3 situasi ini :
  • penyerahan skrol diploma kepada seorang graduan yang meninggal dunia pada bulan Julai lepas. Betapa tabah ayahnya naik ke pentas menerima skrol bagi pihak anaknya.  Semoga roh Allahyarham tenang di alam barzah. Al Fatihah.
  • upacara tunduk hormat graduan kepada para pensyarah yang telah mencurahkan ilmu sepanjang 3 tahun pengajian mereka
  • upacara tunduk hormat graduan kepada semua ibubapa yang hadir di majlis konvokesyen ke-34 ini. Ramai ibu2 terutamanya mengesat airmata terharu kerana diberi penghormatan sebegitu

Majlis tamat pada pukul 12.45. Hrmm mujur aku dah minta izin keluar pukul 2 petang dari pemilik homestay tu.  Selepas sesi bergambar dengan Puteri Bongsu, aku dan Abah pun turun ke tempat parking. Allah hu Akbar.  Aku dengan Abah sama2 tak cam di mana kami park kereta kami semasa datang tadi.  Memanglah kami tau kami park di bay 3G.  Masalahnya kami tak jumpa tiang2 bertulis G. Tiang2 D,E,F, H jumpa pulok.  Nak tanya orang pun mereka semuanya baru kali pertama datang ke sini.  Aku cuba bertenang, tarik nafas panjang2 dan berselawat 3 kali serta berdoa memohon bantuan Allah. Dengan izin Allah diilhamkan kami menuju terus ke satu kawasan agak terlindung di belakang tangga... yesss nampak tiang2 bertanda G.  Alhamdulillah. Bepeluh2 basah seluruh badan kami.  Fuhhhhhh!!!

Di homestay kami mandi sepuaas2nya dan solat. Barang2 telahpun disusun di depan pintu oleh Kakngah.  Destinasi seterusnya ialah mencari tempat makan. Dah pukul 2.30 petang... perut dah menyanyi macam2 lagu keroncong.  Kami singgah di foodcourt dan makan nasi ayam, teh ais limau dan apom balik... baru lega rasanya. Alhamdulillah.

Kami bergerak semula ke PICC untuk menjemput Puteri Bongsu. Dia sudah selesai bergambar dengan kawan2 nya serta memulangkan jubah. Dalam perjalanan dari Putrajaya ke utara,  hujan turun dengan lebatnya. Kakngah terpaksa memandu perlahan2.  Memandangkan Puteri Bongsu belum makan, kami singgah di RnR Sungai Buluh untuk makan Satay Kajang pulak.  Kami berehat hampir sejam di sini sebelum meneruskan perjalanan.

Sepanjang perjalanan hujan masih turun. Sekejap lebat sekejap renyai.  Persinggahan seterusnya di RnR Bukit Merah untuk makan malam dan solat. Berhenti lagi satu jam di sini.  Kiranya perjalanan kali ini memang santai ... jalan2 untuk konvokesyen sambil berziarah dan makan2 ajer.  Hihihihi

Alhamdulillah kami selamat tiba di rumah kami di Perai tepat jam 10 malam. 

Tahniah anak mama si Puteri Bongsu.

Thursday, November 16, 2017

Jalan-jalan ke Selatan (3)

Selepas puas bersarapan dengan nasi goreng sedap dan cucur jagung enak serta bersembang2 dengan Makuda dan Adeel, kami bertolak dari rumah Makuda. Terima kasih Makuda atas layanan istimewa buat kami. Makan mewah, semua benda Makuda nak sumbat kami makan hihihi... mesti dah naik banyak kilo ni walaupun duduk semalam jer di sini. Alhamdulillah. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya buat Makuda sekeluarga. Aamiin.

Kami menuju ke TTDI Jaya sebab nak mencari Retoran Nasi Kak Wok.  Punya tersorok kedainya, kami nyaris2 tak jumpa. Mungkin sebab masih awal pagi, pelanggan pun belum ramai di sini. Cepat aje lah kami beli 3 bungkus untuk dikongsi berempat.

Selepas tu kami meneruskan perjalanan menuju ke Putrajaya. Hari ni hari Ahad, orang semua bercuti. Lebuhraya agak lengang. Hihihi semua dok merekot atas katil lagi gamaknya. Sekejap je kami dah tiba ke Putrajaya. Kami terus menuju ke Astaka Morocco.  Di sini ramainya orang berkumpul. Ramai graduan yang baru selesai menerima ijazah semasa konvo mengabadikan gambar kenangan manis bersama keluarga masing2 di sekitar kawasan ini.

Kami dah lapar. Apa lagi, terus cari port yang sesuai dan buka bungkusan Nasi Kak Wok. Waduhh nikmatnya makan waktu lapar dengan hembusan angin yang kuat. Angin petanda hujan akan turun sebentar lagi.  Jommm makan cepat!!

Pekena nasi Kak Wok yang viral tu

Nasi Kak Wok merupakan nasi putih yang dimakan bersama gulai ayam, ayam goreng dan sambal pedas.  Memang pedas pun.

Ada gulai ayam +sayuran, ayam goreng dan sambal

Selesai makan kami bergegas ke kereta. Hujan mula turun. Guruh berdentum2. Sementara nak sampai ke kereta sempat lagi bergambar di beberapa lokasi. Elok aja sampai ke kereta hujan turun mencurah2 dengan lebatnya. Kami pun berehat jer dalam kereta kekenyangan. Nak memandu pun tak berani, sebab jarak pandangan sangat terhad sebab hujan memang  lebat sangat.

Pintu berukir indah...kesenian Morocco

Sebahagian pemandangan indah di Astaka Morocco

Setengah jam kemudian barulah hujan reda sedikit. Berpandukan waze kami bergerak ke Presint 9 untuk check-in di Homestay Awedee. Dua kali pusing la juga baru jumpa 😏😏😏 Ketibaan kami disambut pemilik homestay sebelum dibawa ke penginapan yang terletak di Tingkat 6. Dengan RM170 untuk 3 bilik yang semuanya dilengkapi aircond serta kelengkapan memasak, peti sejuk dan washing machine... memang berbaloi la. Yang pentingnya homestay ni bersih. Aku dan anak2 amat menitikberatkan bab kebersihan ni terutama sekali di tandas.

Alhamdulillah..lega rasanya boleh berehat santai. Dengan perut kenyang, cuaca masih hujan dan tak ada aktiviti petang ni.. kami pun booom,.. pakat melelapkan mata. Tapi hampeh betoi la.. tak sampai sejam tidur, kami dikejutkan dengan orang membuat kerja drilling di rumah sebelah. Bingit betul bunyinya. Hrmmm apa nak buat!!

Pukul 6 petang barulah kami meronda2 pusing Putrajaya. melihat pemandangan di malam hari. Memandangkan masih hujan, kami hanya berpusing2 dengan kereta saja. Nak bergambar pun tak boleh.  Selepas makan malam, kami shopping di mini market berhampiran homestay tu. Kami beli telor, roti, susu dan mayonis., Aku perhatikan kawasan perumahan ni dipenuhi warga Bangladesh dan Nepal. Kedai runcit tu pun depalah tokehnya. Aku pun naik riau pulak, depa ni lebih ramai dari orang tempatan.

Malam ni kami semua tidor lambat, baru nak gosok baju dan tudung. Lepas tu terus berkemas barang siap2. Pagi besuk pastilah kalut.

Friday, November 10, 2017

Jalan-jalan ke Selatan (2)

28 Okt 2017

Selepas makan pagi dan puas bersembang dengan family Pakcor, kami mengucapkan selamat tinggal. Semoga Allah melimpahkan rezeki buat Pakcor sekeluarga. Aamiin.

Anak2 dara aku ni memang pemakan orangnya. Mulalah depa merengek2 mengajak try Nasi Kak Wok atau Nasi Wong Solo. Kedua2 makanan ni viral kat FB dan Insta tapi tak ada cawangannya di Pulau Pinang. Alang2 dah terlepas ke sini, kami pun pergi menuju Restoran Wong Solo di Seksyen 7 Shah Alam.

Maklum kali pertama ke sini, jadi kami minta pendapat pekerja Restoran tu... apa yang special di sini. Katanya nasi ayam penyet. Memandangkan dah tengah hari.. kami terus pesan nasi ayam penyet. Air pulak jus buah2an termasuk jus alpukat (avocado). Mak aihhh, pedas sambalnya tapi sedap.  Kena pesan air kosong sebagai tambahan untuk hilangkan kepedasan.

Ada ayam goreng, sambal pedas, timun, terung goreng, tempe goreng dan tauhu goreng

Setelah keluar dari restoran tu, barulah kami perasan bersebelahannya terletak kedai milik penyanyi kesayangan ramai.. Siti Norhaliza. Patutlah sepanjang kami makan di situ, asyik mendengar lagu Siti jer... hehehehhe.

Seterusnya kami menuju ke Morib. Aduhhh sesak dengan kenderaan sepanjang jalan. Barulah kami terperasan hari ni Sabtu. Orang2 yang bekerja half day hari ni pun sedang dalam perjalanan pulang ke rumah masing2. Tapi kami redah juga. Heheheh degil!!! Kami menggunakan waze jer. Dibawanya kami masuk ke jalan persekutuan, jalan kampung keluar kampung, aduhhh. Akhirnya setelah beberapa lama perjalanan, kami pun sampai ke Banting dan seterusnya ke Morib. Berpeluh Kakngah memandu hari ni.

Pesisiran Pantai Morib. Ke mana hilangnya seekor helang tu?? Dah terbang ke hahahha

Cuaca panas terik ketika ni. Nak bergambar pun tak syo, kena tutup mata. Tapi angin memang sepoi2 bahasa membuatkan mata memberat, rasa mengantuk. Laut dan langit pun cantik sangat... sayup mata memandang.  Kami bersantai2 sambil minum air kelapa dan makan sate dan mee goreng. Alamak mee gorengnya!!! Hrmmm tiba2 teringat mee mamak Penang yang sedap kawkaw.

Setelah puas menghirup udara laut Morib, kami bergerak ke rumah Makuda di Puncak Alam. Makuda adalah anak ke-5 dalam keluarga aku.  Leganya dapat berehat, mandi dan minum kopi O keras. Lebih membahagiakan, dapat memeluk dan bertemu adik sedarah sedaging yang jarang2 dapat bertemu. Padahalnya dulu2 kami ni tidur satu tilam, satu kelambu, satu selimut. Huhuhuu .. tiba2 aku jadi sentimental pulok... sebak mengenang zaman yang berlalu pergi 😭😭😭

Malam ni Makuda jamu kami dengan steamboat homemade. Anaknya Asyraf pulak memasak spaghetti aglio olio.  Asyraf ni pelajar culinary. Ni la masa dia nak tunjuk skills kat Makngah dia. Good job son. Sedappp!!

Bahan2 untuk steamboat


Adeel sedang membaca doa makan.. Alhamdulillah

Dah kenyang, dah wangi satu badan, dah puas bergosip... apalagi, jom melabuhkan badan di rumah Makuda malam ni. 

Wednesday, November 8, 2017

Jalan-jalan ke Selatan (1)

27 Okt 2017


Kami memulakan perjalanan selepas solat Subuh. Cuaca redup sepanjang jalan. Kenderaan  pun tak banyak, maklum hari ni hari Jumaat, semua masih bekerja dan bersekolah. Kira memang selesa sangatlah perjalanan 400 km buat penumpang dan pemandu khas kami ... Kakngah!! Jangan marah yer yang😉😉

Kami tiba di PICC Putrajaya pukul 10.40 pagi. Kami tinggalkan Puteri Bongsu di sini untuk mengambil jubah dan seterusnya raptai petang ni.  Hrmm... apa lagi terus jer kami ke next destination, IKEA Cheras. Kiranya kena berpatah balik ke belakang le. Tak kisah le.... sebab jalan tak sibuk, lebihkurang 20 minit jer kami dah sampai. Sesampai je di Ikea, hujan turun dengan lebatnya. Syukur sangat. Kami yang bukan orang Kl ni tak suka sangkut dalam hujan... takut sangkut dalam jam dan banjir kilat. Agak2 orang belah2 KL suka ker sangkut dalam hujan?? hahahahah

Tamak ... semua nak order ... lepas tu penat nak habiskan

Burger salmon

Memandangkan perut dah lapar, kami terus ke restaurant nya untuk makan. Dah lapar, nafsu pun membuak2. Kami order macam2, nak makan bertiga jer.  Aduhhh!! Angkut ke meja fried chicken wings, swedish meatball, muffin,  pegedil sayuran, burger salmon dan meatball pasta. Itu belum campur cold and hot drinks yang free flow.  Melantak betul.

Memandangkan makanan banyak memang tak habis la. Jadinya Abah dan Kakngah ambil keputusan pergi meronda dalam Ikea sementara aku jaga makanan kat meja... hahahhah.  Waktu ni la ku isikan masa dengan menjawab whatsapp, update FB dan kemaskini gambar2 kat gallery. Mana gambar2 lama yang tak perlu terus delete. Sedar2 bateri dah nak habis. Aku stop bila bateri dah tinggal 30%. Bahaya!!

Mokcik duduk sorang2 ...boring!! So update whatsapp dan FB (perasan
 femes sangat le tu),  selfie  sambil sumbat makanan ke mulut.
Tak makan nanti membazir pulok

Selepas 1 jam lebih meronda, Abah dan Kakngah datang semula ke meja menghabiskan baki makanan. Jam dah pukul 3.30 petang dan hujan pun dah berhenti. Kami terus bertolak ke Kajang. Nanti kalau lambat tertembung dengan orang nak balik kerja pulak. Parahhh.

Berpandukan waze aku menuju ke rumah Pakcor di Sungai Merab. Pakcor ni anak ke-4 dalam keluarga aku. Dah lama sungguh aku tak pergi ke rumahnya. Malam ni kami nak bermalam kat rumah dia. Dah berpuluh2 kali dia menjemput kami, malam ni kami tunaikan jemputan tu. Chewwahh. Dia tak masuk office petang ni sebab nak tunggu kakaknya tiba dari penang. Thank you Pakcor,  rasa terharu sangat.

Lega rasanya dapat mandi dan berehat dengan selesa.  

Malamnya Pakchor meraikan kami di sebuah restoran masakan Thai. Hrm macam2 lauk dipesannya sampai termengah2 kami nak habiskan. Terimakasih Pakcor dan Makcor kerana berbesar hati meraikan kunjungan kami.  

Hahaha lapar sangat. Lauk tak sempat sampai lagi, kitaorang dah makan dulu

Puteri Bongsu dihantar ke rumah Pakcor pukul 10 malam. Aduhhh anak dara. Mama dah risau ke manalah kamu pergi dengan kawan2. Katanya jumpa kawan2 yang dah lama tak jumpa sambil makan2. Hrmmm hati ibu memang le macam tu. Bimbang sokmo!!

Monday, October 16, 2017

#23 Episod Kunci Pak Beruang | Didi & Friends



Anda semua pernah ke menonton series Didi & Friends ni. Kalau belum, cubalah tonton. Best sangat tau.  Comel2 je watak tu. Colorful lagi. Dan setiap episod ada lagu2 klasik kanak2 yang diubahsuai mengikut keadaan dan keperluan masakini.

Ada lagu Anak Itik Tok Wi, Buai Laju2, Nenek Si Bongkok Tiga, Bongkah Dah Runtuh (saduran dari London Bridge Is Falling Down) dan macam2 lagi.

Series ini diusahakan oleh kakitangan Digital Durian, iaitu sekumpulan anak2 muda Melayu yang kreatif dan berinovatif.  Usaha mereka mengulangi kejayaan cemerlang group Les Copaque Production yang memperkenalkan siri animasi Upin dan Ipin. Ya Allah... rasa hati ni bangga sangat2 tengok hasil kerja anak bangsa ku. Syabas!!  Bagi aku,  watak2 kartun dalam Didi & Friends serta Upin & Ipin jauh lebih menarik dari kartun luarnegara yang ditayangkan di TV.

Sebenarnya aku dan keluarga secara tak sengaja bersua dengan series ni. Maklumlah sebelum ni tak ada anak kecil di rumah ni, kami tak pernah ambil tau langsung pasal kartun2 animasi ni. Satu hari cucu kami Zulaikha menangis terjerit2. Puas pujuk ... tak mau juga diamnya.  Aku buka TV dan kebetulan waktu tu ditayangkan episod BINGO.  Zulaikha terus jer terdiam. Matanya fokus ke skrin TV. Tiba2 mood nye berubah. Terus dia ketawa dan melonjak2 kegirangan.  Hrmmm baby 4 bulan pun dah pandai appreciate idea yang kreatif dan pintar.

Sejak itulah setiap hari ibunya akan merakam siri2 Didi & Friends dan beri Zulaikha menonton. Dia mungkin tak faham apa cerita yang ditayangkan, tapi kecomelan watak2, warna2 ceria dan lagu2 rakyat yang merdu sudah cukup untuk membuatnya girang.  Ohhh Zulaikha.

Selain siri Didi & Friends, Zulaikha kami dedahkan juga kepada siaran TV Al Hijrah pada waktu Maghrib yang dilengkapi dengan pelbagai zikir, azan dan bacaan ayat2 suci. Dia akan fokus sepenuhnya. Alhamdulillah.  Semoga ceq jadi insan solehah dan berjaya dunia akhirat. Aamiin.

Bukan minat hak duniawi aje, tapi pentingkan juga bekalan akhirat na!!


Monday, July 10, 2017

Bizi bizi bizi

Tak mampu la Opah nak update blog ni selalu. Dulu masa tak ada apa2 hal pun memanjang aje blog ni tak terisi. Alasan yang selalu diberi ... tak ada mood, idea tak mai, tak dak cerita menarik nak dikongsi dan macam2 lagi lah. Apalagi sejak dah bercucu nih. Semakin menjadi2 sibuknya, hingga nak buka blog pun dah tak sempat.

Tapi aku akan pastikan FB aku sentiasa bernyawa.. so aku masih boleh berhubung dengan sahabat2 yang jarang bertemu. Masih boleh update info terkini. Sebab FB ni simple jer .. tak perlu nak tulis panjang2.  Sepatah dua kata pun dah memadai.

Sepanjang bulan Ramadhan adalah sangat mencabar. Aku bangun seawal 4.30 pagi untuk persediaan memasak sahur, tahajud, mengaji, bersahur dan solat subuh.  Selepas tu siap membakar tungku dan menjerang air herba untuk mandian Kak Long.

Untuk makan pagi Kak Long cuma makan roti dibakar sapu butter, secawan horlick dan beberapa biji anggor. Pukul 10 pulak dia makan biskut dan minum horlick. Tengahari aku pelbagaikan menu. Ikan bakar, ikan stim, ikan masak asam, sup ikan, bilis lada hitam, dan sayur tumis air atau kerabu ulaman.  Selepas sebulan berpantang aku tambahkan lagi menu dengan ayam bakar, sup ayam, daging goreng lada itam, sup daging dan kari ayam tanpa santan. 

Baby pulak aku mandikan dua kali sehari. Cuaca di bulan Ramadhan kali ini terlalu lah panas, hingga naik ruam2 di tepi muka mulus baby.

Memang aku terlepek keletihan. Apalagi aku kurang berselera langsung untuk bersahur dan berbuka kali ni.  Dalam seminggu aku memasak 5 hari Yang lagi 2 hari tu aku minta Kak Ngah dan Puteri Bongsu beli je di Bazar Ramadhan.  Mahalnya harga semua makanan yg dijual.  Boleh pokai!!! Untuk bersahur tetap aku memasak. Payah apabila selera sendiri yang cerewet... cili padi tak boleh, cili boh tak boleh, cuka tak boleh .. sebab aku ada gastrik yg teruk juga.

Mujurnya Abah banyak membantu. Menantuku Apit pun rajin membasuh sendiri pakaian baby. Kak Long sangat berdikari.  Semua faham dengan keadaan kesihatanku yang kurang memuaskan.

Dugaan paling hebat ialah seminggu sebelum hari raya.  Gigi geraham ku sakit berdenyut2. Pipi pun mula membengkak. Dalam kalut jadual ketat di rumah, aku pergi juga berjumpa doctor. Harapan ku tuan doctor tu ada sentuhan ajaib nak hilangkan sakit gigi ni. Tak tahan sangat2 ni!!! Aduh gigi tu dah retak rupanya dan tak boleh diselamatkan lagi .. tak ada pilihan lain, memang kena cabut huhuhu. Tetapi memandangkan gusi tengah terlalu bengkak dan sakit, aku diberikan antibiotik dan painkiller untuk 5 hari. Kena habiskan dulu antibiotik tu sebelum gigi tu dapat dicabut.

Feveret tapi tak berani nak makan .. kot retak abih gigi Opah kehkehkeh
Blueberry tart .. manih leting, tapi ramai peminatnya

Kemuncaknya aku demam pada pagi hari raya.  Segala persiapan pun aku buat ala kadar sahaja. Dengan bantuan Kak Ngah dan Puteri Bongsu, kami masak rendang ayam, daging masak kicap, kuah kacang, lodeh, sambal sotong dan nasi impit. Ketupat aku tempah jer. Memang tetamu ramai kali ni. Kebanyakannya datang nak bertemu orang baru ... Zulaikha Azzahra.

Tahun 2015 dan sebelumnya - 5 orang
Tahun 2016 - dah jadi 6 orang
Tahun 2017 - dah 7 orang
Tahun 2027 - ??

Saturday, June 17, 2017

Masa Berlalu Pantas Sekali

Assalamualaikum

Selamat pagi cucu Opah .. Zulaikha Azzahra. Hrmmm ... hari ni dah hari ke-12.  Cepatnya masa berlalu. Semalam tali pusat Zara dah gugur.  Lega rasanya.  Sebelum ni nak mandikan Zara pun kami takut, nak salin pampers pun takut, nak sapu balm pun takut.  Takut terlanggar tali pusat tu.. sakit!!! Zara mesti nangis terjerit2 bila terkena tali pusat tu.

Lima hari pertama Zara tidor je. Kena kejut untuk bagi susu. Kalau terberak pun mata pejam jer bila Opah tukarkan pempers. Tidur pun berbedung jer. Alhamdulillah sempatlah Ibu nya, Kaklong berehat lama sikit. Maklumlah bersalin secara cesarean ni perlu lebih banyak rehat... lukanya lebih besar.

Masuk hari keenam, Zara dah mula berubah karektor. Dia mesti menangis setiap kali dibedung. Meronta2 dia keluarkan tangan dari bedung tu. Kenmain lagi dia 😆😆😆

Setiap kali lapar pulak terus jer dia menjerit2 sampailah susu masuk ke mulut. Naik kelamkabut semua orang. Aduhhh Zara.

Saturday, June 10, 2017

Buah Hati Opah

At last.

5 Jun 2017 bersamaan 10 Ramadhan 1438 jam 2138 lahirlah seorang puteri yang ditunggu2.


Sehingga hari ni puteri ini belum diberi nama... nak tunggu hari ke-7.  So untuk sementara ni Opah panggil Puteri aje lah.

Puteri sepatutnya lahir pada 27 Mei.  Tetapi perancangan Allah sebaliknya. Memandangkan sudah overdue 9 hari doktor mencadangkan pembedahan sebagai alternatif terbaik. Air ketuban semakin kurang, laluan peranakan tidak terbuka langsung dan contraction pun tak ada walau telah 3 kali dimasukkan ubat untuk membantu kelahiran secara normal.

Kami terima saranan doktor dan berdoa memohon pertolongan Allah.  Alhamduliilah dalam tempoh setengah jam Puteri selamat keluar dari rahim ibunya. Alhamdulillah Kaklong pun selamat menghadapi saat2 indah bergelar ibu dan kini sedang dalam proses berpantang. Kaklong ni sejak azalinya sangat independent ... dia cergas dan ceria jer, takder manja2 ngada2 hihihi!!.

Tahniah Kaklong... anak Mama dah jadi ibu ꛯ💚💚💚

Tuesday, May 30, 2017

Kelantan - Trengganu Di Hati (2 Mei 2017)

Bangun pagi terus mencari di mana letaknya Kopitiam Kita. Terletak di Jalan Pangkalan Chepa tapi kedudukannya agak tersembunyi. Dari jalan utama kami terlepas arah, minta la bantuan pada Cik Waze .. dia bawa kami ikut laluan pintas menyusuri jalan kecik satu lorong tepi sungai dan celah2 rumah orang sebelum tiba ke kopitiam tersebut.

Wah ramainya orang di sini. Rasanya 95% pelanggannya adalah Melayu. Kopitiam milik seorang lelaki Cina bernama Mr Wong yang memperkenalkan Roti Titab. Sebetulnya roti bakar biasa jer tapi diletakkan telor separuh masak dan sekaya di atasnya. Sesuatu yang menarik untuk dicuba. Nampak macam sikit je.. tapi sebetulnya mengenyangkan bagi kami yang perut kecik ni kehkehkeh!! Jadi kami tapau nasi dagang, nasi minyak dan nasi berlauk air dingin. Kalau ikut nafsu nak tapau juga nasi tumpang, nasi kerabu, nasi kakwok dan macam2 jenis nasi dan kuih lagi.. sabar sabar jangan ikut nafsu syaitan.


Roti titab (Tkasih ehsan kedaimakankelantan.blogspot.my).
 Kami terlupa nak ambik gambar sebab teruja nak makan .. perut lapar sangat masa tu hihihihi

Yang menariknya semua pekerja adalah Melayu. Makanan pula dibekalkan oleh orang2 Melayu. Itu sebab pelanggan pun ramai Melayu sebab yakin dengan makanan halal di sini. Lebih menarik dinding kedai ni penuh gambar pelanggan yang terdiri dari pembesar negara dan selebriti terkenal tanahair. Kiranya femes sangat kopitiam ni.

Tengok gambar2 kat belakang tu .. pegawai polis ada, ahli politik ada, artis ada

Selesai makan kami pergi ke Pasar Siti Khadijah.  Memandangkan masih awal pagi, senang ja dapat parking di tepi pasar tu. Kedai pun banyak yang baru nak buka, Semua pekedai menjemput kami masuk ke kedai masing2. Kiranya kami ni antara pengunjung terawal ke pasar ni.

Dah singgah wajib kena membeli hihihi. Tersambarlah beberapa helai kain corak batik untuk keluarga kami, dengan serunding daging tempatan, buah2an dan tudung. Aduhhh boleh pokai ni. Kalau kaki shopping memang boleh duduk berjam2 kat sini, tapi aku ni tak tahan suasana panas... mudah rasa nak pitam. Kami segera keluar mencari tempat untuk berehat sambil menghirup air kelapa yang dingin. Alhamdulillah.

Pasar Siti Khadijah di waktu pagi ... nampak bersih, kemas dan colorful

Kembali ke apartment kami mula mengemas barang untuk bertolak pulang. Setelah mandi manda dan menukar pakaian, kami makan nasi yang kami tapau tadi. MasyaAllah punyalah sedap2. Rasa rugi sangat sebab beli sebungkus sorang jer kihkihkih.

Tepat pukui 1.00 petang kami memulakan perjalanan pulang merentasi Banjaran Titiwangsa menuju ke Pulau Pinang. Amat bahagia dengan percutian kali ini. Begitu santai sekali. Tentu lebih indah kalau Kaklong dan Puteri Bongsu pun ikut serta.

Tuesday, May 23, 2017

Kelantan - Trengganu Di Hati (1 Mei 2017)

Happy birthday to you!!!  Bertalu2 ucapan dan doa yang indah2 masuk ke dalam handset aku... samada melalui FB, SMS atau whatsapp. Allah hu Akbar syukur atas nikmat Mu Ya Robb, memberikan aku kesempatan mencecah umur yang banyak ini.. dengan pelbagai nikmat yang tak ternilai. Segala puji-pujian buat Yang Maha Esa.

Kami mulakan pagi yang indah ini dengan makan pagi ... di Pantai Batu Buruk lagi.  Tapi kali ni bukan di Foodcourt semalam tapi di sebuah kedai berdepan dengan foodcourt tu. Nasi dagangnya sedap sangat... pakai beras panjang2. Macam2 kuih traditional Trengganu ada di sini, tak ingat la namanya. Yang aku kenal akok jer 😆😆😆

Nasi dagang kali ni memang best ,,, puashati
Pada masa yang sama adik ku Mak Yang dan keluarga pun bercuti di Trengganu. Kami bertemu untuk makan pagi sama2 kat sini.  Kuasa Allah ... satu keluarga dari Perai, satu lagi dari Selayang .. bertemu di Pantai Batu Buruk hihihi.  Macam2 cerita.. maklum lama tak jumpa face to face walau di whatsapp setiap hari ada jer sembangnya. Sejam bersembang sambil makan2... kami berpisah pun untuk program masing2. Mungkin jumpa pulak semasa Aidil Fitri nanti.

Seronok jumpa adik yang disayang

Pukul 10 pagi kami checkout dari hotel menuju ke Bukit Tok Beng yang terletak di Seberang Takir. Apa yang femesnya di sini?? Tentunya keropok lekornya yang sedap dan lembut.. penuh isi ikan. Memang ramai sungguh orang singgah di sini. Plet kereta semua dari luar Trengganu berderet2 di kiri dan kanan jalan. Aku memborong keropok lekor, keropok keping, makanan frozen seperti sata dan lekor ball lava.  Sebab takde icebox dalam kereta, aku pun bungkus makanan frozen dalam suratkhabar, berlapis2 untuk elakkan dia cair dan rosak. Lepas tu letak kat sebelah aku... ada aircond.

Keropok lekor dan cheese lava balls ... sedappp wehhh.
Sempat makan sebagai pelapik perut untuk perjalanan seterusnya

Seterusnya kami singgah di Pantai Tok Jembal yang terletak di belakang kampus Universiti Malaysia Trengganu. Cantik sungguh pantai ni,  Walau bagaimanapun pantainya dipenuhi deretan batu2 besar sebagai penambak hakisan laut. Nak tau sejarah pantai ni, sila baca SINI


Lagoon di Pantai Tok Jembal .. airnya jernih
Kami seterusnya singgah sekali lagi di Pantai Penarik.  Sesuai dengan namanya "Penarik", keindahan kawasan pantai yang dipenuhi pokok2 rhu membuat hati aku tertarik nak singgah berkali2. Walaupun cuaca panas terik, tiupan bayu laut yang kuat membantu mendinginkan tubuh. Seterusnya kami singgah sekali lagi makan sotong dan ikan celup tepung kemegahan Trengganu sebelum meninggalkan negeri indah ini

Makan celup2 tepung di sini
Perjalanan ke Kota Baru masih mengikut jalan pantai yang indah. Kami melalui beberapa tempat menarik di Besut dan Tok Bali. Memandangkan cuaca sangat panas dan badan pun dah teramat letih, kami tidak mau singgah di mana2 lagi melainkan terus ke Kota Bharu.

Peta perjalanan menyusuri pantai dari Kuala Trengganu ke Kota Bharu

Kami tiba di Apartment Studio untuk 3 orang tepat jam 2 petang. Alhamdulillah, leganya dapat mandi, tukar pakaian dan melelapkan mata sekejap. Tapi pukul 5 petang Abah dah ajak kami meronda lagi.  Apa ni jalan jauh2... untuk tidor je, leternya.  Dengan lemah longlai, kami bergerak ke Pantai Cahaya Bulan.  Kali ni tak begitu ramai pengunjung di sini. Angin pun tak kuat tiupannya menyebabkan udara terasa berbahang.  Mungkin sebab matahari masih bersinar terik, tak ada orang bermain wau ketika ini. Bosan pulak rasanya.

Pantai Cahaya Bulan .. panas litlit

Kami bergerak kembali ke Kota Bharu. Pusing sana pusing sini sangkut dalam jam. Ohhh bosannya. Kami bercadang nak beli makanan siap2 dan berehat terus di apartment. Kak Ngah nak simpan tenaga untuk memandu 6 jam ke Penang besuk hihihi.

Untuk makan malam kami pergi ke Yati Ayam Percik yang terletak di Jalan Long Yunus. Hrmm pilih2 nak ayam percik, nak daging bakar, nak gulai kawah, nak nasi kerabu.  Hrmmm ni le masa nak memanjakan perut hihihihi


Sunday, May 14, 2017

Kelantan - Trengganu Dekat Di hati (30.4.2017)

Hari ke-2 kami mulakan dengan mencari sarapan yang sedap2. Biasalah menggunakan khidmat Mr Google untuk cari tempat makan yang recommended.  Kami jumpa Nasi Dagang Kak Pah di gerai No 30, Food Court Pantai Batu Buruk. Punya lah ramai manusia beratur.  Hrmmmm ... rasanya bolehlah tahan.  Ikannya banyak.. kuah pun banyak.  Tapi aku yakin banyak lagi kedai menjual nasi dagang  yang lebih sedap. Di mana yer??

Berator berator ... lewat sikit nasi habis

Selesai sarapan kami bersantai di tepi Pantai Batu Buruk.  Sayang sekali hari ini cuaca tidak begitu baik. Langit dan laut berwarna kelabu... tidak dapat aku mengabadikan  gambar pemandangan matahari pagi yang cantik. 

cuaca kelabu jer pagi ni

Seterusnya kami menuju ke kawasan rekreasi di belakang Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai. Disebut juga sebagai Masjid Terapung ... masjid ini sangat cantik. Paling aku berkenan tandas berbayarnya yang cantik macam di hotel 5 bintang.

Cantik nya masjid ni 

Setelah puas posing2 dan merenung laut kami meneruskan perjalanan ke Dungun. Hati ku berombak2 gembira.  Maklumlah 3 tahun menuntut ilmu di sana, tentulah membawa seribu kenangan. Kenangan kampus lama, kampus baru, pantai Teluk Lipat, pasar malam Dungun, pekan koboi Kuala Dungun,  Blue Lagoon Sura Hujung dan macam2 lagi.

Sepanjang perjalanan banyak gerai2 menjual air tuak, keropok lekor dan lemang di gerai2 tepi jalan. Keropok basah dan kering serta sata dan otak2 banyak dijual di tepi jalan di Marang.  Tapi kami tak singgah pun. Kenyang akibat makan nasi dagang tadi masih belum surut.

Tiba di Dungun ku perhatikan pekan koboi dulu telah bertukar menjadi pekan yang maju. Banyak bangunan kedai2 baru. Tak jumpa dah di mana letak nya kedai makan yang sering aku kunjungi dulu. Tapi bangunan Pejabat2 Kerajaan masih kelihatan sama saperti dulu juga. Tapi terus terang aku merasa kecewa kerana pantai yang dulunya sangat cantik sudahpun hilang. Yang tinggal kini hanya pantai yang ditambak dengan batu2 besar akibat hakisan dan menyebabkan hilang kecantikan aslinya.

Di sepanjang jalan tepi pantai  Teluk Lipat ini
kami sering melakukan latihan kawad Kesatria ...
 kiri kanan, kiri kanan

Kampus lama di Sura Gate pun sudah hampir hilang ditelan arus pembangunan. Hanya tinggal beberapa bangunan lama yang kini digunakan ileh Sekolah Menengah Imtiaz. Dahulunya kampus ini sungguh cantik, dipenuhi rumah banglo papan dalam kawasan yang dipenuhi pohon2 rhu. Umpamanya kami dulu belajar dalam kampus bersuasana resort.  Udara sungguh dingin dan nyaman ketika itu. Sempat aku berada di kampus ni selama setahun sebelum berpindah ke kampus baru.  Untuk keterangan tentang sejarah UiTM Dungun sila klik SINI.

sayu mengintai kampus lama Sura Gate
Kami juga pergi ke kampus baru tempat aku menamatkan pengajian 3 tahun ku. Kampus Sura Hujung ni memang lengkap dengan pelbagai kemudahan moden. Kalau dulu bangunan nya sangat teratur... kini nampaknya begitu padat bagi menampung jumlah siswa yang kian bertambah.

pintu masuk kampus baru Sura Hujung

dulu disebut Blue Lagoon kat belakang tu. tempat pasangan bercinta berdating.
Macam2 kisah mistik pun ada di sini

Aku tinggalkan Dungun dengan hati yang sayu, Tak pasti lah samada masih ada kesempatan untuk aku ke sini lagi. Ya Allah kurniakan aku kesihatan tubuh badan, rezeki yang banyak, waktu yang lapang untuk kembali ke sini lagi. Aamiin.

Dalam perjalanan pulang kami singgah di pantai Marang membeli sata panas2. Kami sekali lagi singgah makan tengahari di Foodcourt Pantai Batu Buruk sebelum pergi ke Pasar Payang. 


Pasar Payang yang happening .. gambar ehsan Travelholic Lily Riani. TQ

Waduh ramainya orang di Pasar Payang.  Jenuh bergelut menyelit2 nak membeli kain batik untuk Kaklong. Hihihi nak beranak baru pandai nak pakai kain batik. Selepas tu kami membeli keropok, gula nisan (macam gula melaka) dan sosnya sekali.  Selesai tu dah lewat petang sangat... kami bergegas pulang ke hotel. Tak sabar tak sabar, nak mandi... nak basuh rambut !!!!