Sunday, July 18, 2010

Kenduri Muafakat

Kenduri muafakat atau gotong-royong sesama penduduk suatu budaya yang asing di kawasan bandar. Selama ini semua kenduri menggunakan khidmat katering. Justeru itu apabila jiranku, Haji Hashim bercadang untuk mengadakan kenduri muafakat meraikan perkahwinan 2 anak lelakinya semalam, kami semua terkedu. Biar betul!!!

Tapi itulah yang kami lakukan. Mulai petang hari Khamis kami telah berkumpul di rumah Kak Ros untuk bergotong-royong mengupas bawang besar, halia dan bawang putih. rasanya 30 kilo bawang besar, 8 kilo halia dan entah berapa kilo bawang putih. Kami semua bermandi air mata dan kepedihan tangan menahan pijar bawang dan halia. Haji Hashim menyediakan jamuan bihun dan kuih-muih buat kami semua. Sengaja kami memilih rumah Kak Ros kerana kawasan tepinya rumahnya yang luas dan selesa. Tiada kerja dapat dibuat di dalam rumah Haji Hashim yang penuh sesak dengan pelbagai barangan kenduri-kendara.

Pada malamnya pula kami bergotong-royong membungkus gula-gula, maruku dan jeli sebagai buah-tangan kepada tetamu yang akan hadir.

Sementara bergotong-royong kami bergurau-senda dan usik-mengusik sesama kaum ibu. Baru aku dapat merasakan nikmat eratnya hubungan kejiranan ini. Selama ini aku begitu sibuk dengan urusan pejabat sehingga aku selalu kehilangan peluang seperti ini.

Esuknya pagi Jumaat, kami berkumpul di rumah Mak Yam pula untuk merebus telur dan membuat bunga telur. Memandangkan hari ini Jumaat, kami terpaksa berhenti awal kerana masing-masing perlu pulang untuk menyambut anak-anak yang pulang dari sekolah. Gotong-royong tersebut hanya disambung semula pada pukul 4 petang dengan menyiang sayur-sayuran seperti kacang buncis, terung biru, karot dan kentang. Petang ini Mak Yam bermurah hati menyediakan jamuan mee udang yang lazat untuk kami.

Apabila tiba waktu maghrib kami terpaksa berhenti. Memandangkan tubuh ku letih, rasanya tidak mampu untuk menyediakan hidangan makan malam. Aku dan Puteri Tengah bergegas membeli kueteow kerang untuk makan malam. Sebenarnya, aku sendiri sudah kenyang setelah makan mee udang Mak Yam petang tadi.

Besuknya tepat pukul 7 pagi, kerja-kerja memasak dimulakan oleh 3 chef Taman Inderawasih ini. Mak Yam memasak daging masak hitam, kalia buncis, hati goreng berlada dan bubur pulut hitam. Mak Jah pula menyediakan dalca manakala tuan rumah sendiri memasak nasi minyak. Aku dan jiran-jiran wanita yang lain membantu memotong bahan-bahan yang hendak dimasak. Setelah itu kami membantu Kak Nab menyediakan lauk pengantin seperti bawang 3 rasa dan udang goreng. Kaum lelaki pula membantu menyusun kerusi-meja di bawah 4 buah khemah yang didirikan di atas jalan-raya.

Semuanya selesai pada pukul 11 pagi dan tetamu mula tiba pada jam 12 tengah hari. Hidangan disediakan secara buffet dan para petugas hanya perlu memastikan semua makanan sentiasa ada dalam bekas-bekas hidangan yang disediakan. Syukur Alhamdulillah, cuaca hari ini begitu baik, walaupun sebelum ini hampir setiap hari hujan akan turun pada sebelah tengah hari.

Majlis kenduri tamat pada pukul 5 petang. Sekali lagi kami bergotong-royong mengemas barang-barang yang digunakan, menyimpan semula kerusi meja dan membersihkan kawasan sekitar. Kami menyapu dan mengutip sampah-sarap beramai-ramai. Pada pukul 6 petang hujan turun dengan lebatnya. Maha Suci Allah, yang memudahkan urusan kami.

No comments: