Monday, December 27, 2010

Perlis Indera Kayangan

Sudah 2 tahun aku tidak menjejakkan kaki ke Perlis Indera Kayangan. Terasa rindu hati ini. Perlis umpama kampung halaman ku juga. 5 tahun bermastautin di sana sebagai pelajar menyebabkan aku jatuh sayang kepada negeri paling utara di Semenanjung Malaysia ini.

Aku pun tidak pasti apa yang menyebabkan hati ku tersangkut kepada negeri ini. Mungkin keindahan alam semulajadinya (Gua Kelam, Tasek Timah Tasoh, Tasek Melati, Kuala Perlis), kedamaian kehidupannya, makanan yang enak (mempelam pelbagai jenis, laksa, nasi ganja), penduduk yang peramah, tempat shopping barangan murah (Padang Besar dan Wang Kelian) atau mungkin juga nostalgia kenangan manis aku di sana dahulu. Tetapi yang amat pasti, setiap selang setahun .. aku akan ke sana semula.

Semalam aku ke sana bersama Abah dan Puteri Tengah. Cuaca amat baik, panas tetapi tidak begitu terik. Perjalanan kami melalui Lebuhraya Utara Selatan. Kami singgah di Changlon untuk minum cendul pulut dan makan cucur jagung. Nak makan tengah hari, masih terlalu awal .. baru jam 11 pagi.

Dari Changlon kami masuk pula ke Lebuhraya Changlon-Kuala Perlis. Di pertengahan jalan, kami kemudiannya mengambil laluan ke arah Padang Besar. Di sebelah kanan kelihatan kampus utama Universiti Malaysia Perlis yang sedang dalam pembinaan. Kampusnya kelihatan luas sekali. Banyak bangunan yang telah siap dan mungkin akan diduduki tidak lama lagi.

Jalan ini merupakan laluan yang paling aku sukai. Pemandangannya begitu indah. Dari kejauhan kelihatan bukit-bukit batu kapur yang berceracak membentuk lanskap yang sangat indah. Di satu bahagian lagi kelihatan ladang tebu Chuping yang menghijau saujana mata memandang. Tiba-tiba aku teringat drama bersiri "Little House On Prairie".

bukit batu kapur melatari bumi Perlis

panaih lit-lit - mata pun tak boleh nak buka

umpama kawasan prairie .. saujana mata memandang

Tiba di Padang Besar kami membelok ke arah Kangar. Kali ini kami tidak singgah di Padang Besar, kerana kebiasaannya semasa cuti sekolah begini pengunjung yang datang begitu ramai. Bersesak-sesak dan menyukarkan untuk membeli-belah. Kami menggunakan laluan Jalan Abi untuk ke Kangar. Di sepanjang jalan kami terpaksa memperlahankan kenderaan kerana terdapat lebihkurang 6 kenduri kahwin. Begitu meriah kenduri pada musim sekolah begini.

Kami singgah di Masjid Padang Melangit untuk solat. Kenapa namanya "Padang Melangit"? Aku akan cuba mencari jawapannya ... mesti ada cerita istimewa di sebalik nama tersebut. Masjidnya cantik dan bersih sekali.

Seterusnya kami menuju ke sekolah lamaku yang terletak di Behur Pulai (satu lagi nama yang agak pelik dan akan aku cari asal-usul nama ini). Kami berhenti di pintu masuk sekolah ini untuk bergambar. Di sekolah inilah dulu aku bermastautin selama 5 tahun menuntut ilmu. Sudah bagitu jauh berubahnya sekolah ini. Semasa aku mula belajar dulu, umur sekolah ini baru 3 tahun. Setelah 3 dekad, berbagai perubahan dapat dilihat. Tetapi aku masih kenal padang sekolah tempat kami bersukan, dewan tempat perhimpunan, bangunan sekolah tempat kami belajar dan makmal tempat kami menjalankan kajian sains. Ohhhh ... kenangan itu. Hampir saja gugur air mata aku bila terkenang semula perjalanan hidupku di sini. Memang indah!!!

Seterusnya kami mula mencari tempat makan. Hajat hati hendak bersantap di Anjung Keli yang terkenal dengan keenakan masakan ala kampungnya. Malang sekali restoran ini ditutup pada hari ini. Kami kemudiannya singgah makan di salah sebuah kedai yang terletak berhampiran kawasan tersebut. Memandangkan jam sudah pukul 3 petang, semua lauk yang enak telah habis. Jadi kami makan sahaja apa-apa lauk yang masih terdapat di situ.

tempat melahirkan anakbangsa cemerlang di bumi bertuah

Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis. Trafik ke arah pekan dan jeti Kuala Perlis begitu sesak dengan kenderaan. Tidak mahu mengambil risiko tersangkut dalam kesesakan tersebut, kami beredar memasuki jalan pantai ke arah Kuala Sanglang. Di sebelah kiri adalah kampung nelayan dan di sebelah kanan adalah lautan yang luas. Sungguh nyaman melalui jalan ini dengan memandu perlahan sambil menjamu mata.

pemandangan damai di Kuala Perlis

ketenangan jalanraya dari Kangar menuju Alor Setar

Dari Kuala Sanglang, kami bertolak ke arah Alor Setar. Di pertengahan jalan kami terlihat anak panah menunjuk ke arah Muzium Padi dan Pusat Sains Negara Wilayah Utara yang terletak di kawasan pelancongan Gunung Keriang, Kedah. Kami menuju ke Pusar Sains dahulu. Tidak begitu banyak barang dipamerkan dan masih banyak ruang kosong yang belum diisi. Pusat ini baru sahaja dirasmikan pembukaannya pada 1 Mac 2010.

beraksi dengan mural yang cantik - konon duduk dalam hutan

saintis dengan ujikajinya

Cadangan kami untuk ke Muzium Padi terbantut kerana waktu lawatan telahpun berakhir. Insyaallah, kami akan ke sini lagi pada masa akan datang ... banyak lagi tempat menarik yang belum sempat dilawati.

No comments: