Friday, March 18, 2011

Awat Ceq Ni

Puteri Bongsu paling banyak sejarah semasa kecilnya. Sebagai anak ynag bongsu, dia amat manja dengan aku, Abah dan kakak-kakaknya. Cuma kadangkala Kak Ngah menunjukkan rasa cemburu dan sering membuli adiknya, menyebabkan mereka sering bergaduh. Perangai tersebut kadangkala terbawa-bawa sampai sekarang. Cuma aku amat bertuah kerana mereka hanya sering 'berjawab' aja, tak pernah lagi melibatkan fizikal, baling-baling barang atau sampai ada yang menangis. Cuma hang kata aku, aku kata hang!!!! Bagaimanapun kini keadaan makin terkawal, agaknya masing-masing sudah matang. Kalau seorang marah, seorang lagi berdiam diri. Aman satu rumah.

Bagaimanapun aku tahu Kak Ngah amat sayangkan adiknya. Setiap kali membeli-belah, mesti tidak lupa dia membeli makanan atau minuman kegemaran adiknya itu. Kak Long memang 'favourite sister'. Mereka bertiga boleh duduk berjam-jam dalam bilik bersembang dan bergelak ketawa. Kadang-kadang aku menjadi sayu memikirkan apabila tiba masanya mereka perlu membawa haluan masing-masing membina keluarga. Ahhh ... tak sanggup aku memikirkan saat itu. Rasanya aku hendak kepung dan peluk ketiga-tiga mereka sampai semua tua.

Puteri Bongsu dimasukkan ke Tadika "A" semasa berumur 5 tahun. Dari hari pertama dia sudah buat drama. Aku tidak boleh berganjak lnagsung dari sisinya. Pernah aku kuatkan hati meninggalkannya semasa dia sedang ralit mewarna. Tidak sampai 5 minit tiba di rumah, guru tadika menelefon meminta aku membawa pakaian baru kerana Puteri Bongsu menangis sampai termuntah-muntah. Aduhhhh ... awat ceq ni!!!1

Masuk minggu kedua, Arwah Mak Midah pula menunggunya di tadika kerana aku tidak mampu lagi mengambil cuti tahunan yang banyak di awal tahun. Tetapi masalah timbul bila Mak Midah tidak dapat pulang menyediakan makan tengahari untuk kak Long dan Kak Ngah pulang dari sekolah. Akhirnya aku dan Abah sepakat memberhentikannya dari Tadika "A". Aku dapati guru-guru tadika tersebut tidak mengambil inisiatif untuk menarik perhatian anak-anak yang sama masalah dengan Puteri Bongsu. Mungkin mereka pun gembira apabila 'problem student' ni berhenti. hrmmmm ..... duit pun banyak melayang apabila buku dan uniform yang dibeli tidak dapat digunakan lagi dan yuran hangus begitu saja.

Aku daftarkan pula dia di Tadika "B". Alhamdulillah Cikgu Aini memahami masalah anak manja ini. Cara percakapan yang lembut memujuk serta senyuman dan sentuhan sayang Cikgu Aini menyebabkan Puteri Bongsu tidak menghadapi masalah untuk berada di Tadika "B". Aku cuma perlu menunggunya selama 3 hari sahaja. Dan berterusanlah dia belajar di tadika tersebut selama 2 tahun tanpa ada masalah.

Tetapi rupanya masalah tersebut berulang semula apabila dia masuk ke Tahun 1. Aku benar-benar pening kepala apabila terpaksa mengambil cuti selama 2 minggu menunggunya di sekolah. 3 hari pertama kami dibenarkan berlegar berhampiran kelas, selepas itu kami hanya dibenarkan menunggu di kantin. Apabila dia tidak melihat aku di kantin, dia akan menangis. Walaupun Kak Ngah yang berada di tahun 6 cuba memujuknya, tetapi tidak berjaya. Keesukan harinya aku akan menghadapi masalah untuk menghantarnya ke sekolah. Aduhai ... awat la ceq ni!!!!

Aku berbincang dengan guru kelasnya, Cikgu Agnes dan guru kaunseling, Cikgu Fauzi. Aku ceritakan bahawa Puteri Bongsu ini anak yang manja dan cukup takut melihat cikgu marah dan memegang rotan. Maklumlah rotan tak pernah singgah ke tubuhnya. Cikgu Fauzi berjanji akan berjumpa dengan Puteri Bongsu dan membantunya.

Alhamdulillah, aku tidak pasti apa pendekatan Cikgu Fauzi. Selepas 2 kali bertemu guru kaunseling tersebut, Puteri Bongsu bertukar menjadi murid yang tidak ada masaalah langsung untuk ke sekolah sehinggalah ke hari ini. Alhamdulillah.

Sesungguhnya aku benar-benar terhutang budi kepada semua guru yang telah banyak bersabar dengan kerenah anakku dan murid-murid lain. Semoga Allah membalas jsabaik mereka. Ameen

No comments: