Monday, March 7, 2011

Kelahiran Yang Dinantikan

Puteri Bongsu memang suka posing semasa kecil,
tapi kini sudah bertukar jadi amat pemalu


Setelah kehilangan cahayamata ke-3, Kak Long dan Kak Ngah sentiasa merenget meminta seorang adik baru. Mereka memang terasa kehilangan baby tempoh hari. Setiap hari akan kedengaran suara mereka bertanya bila boleh dapat baby baru. Alhamdulillah, aku tidak perlu menunggu lama. 6 bulan setelah kehilangan tersebut, aku disahkan mengandung sekali lagi.

Seperti ketiga-tiga kandungan sebelum ini, aku mengalami alahan untuk 3 bulan pertama. Tetapi kali ini aku lebih bersedia. Semangat ku lebih kuat untuk mendapat baby yang sihat. Setiap kali selepas solat Maghrib, aku mengamalkan membaca Surah-surah Maryam, Yusuf dan Lokman di samping melakukan solat hajat. Aku panjatkan doa kepada Allah Yang Maha Kuasa, kurniakanlah zuriat yang sihat dan sempurna kepada ku, zuriat yang akan membahagiakan kehidupan aku di dunia dan akhirat.

Doktor di hospital begitu menjaga kandunganku kali ini. Pantang aku mengadu masalah sakit pada tubuhku atau terdapat tanda-tanda ganjil pada kandungan, terus aku ditahan di wad selama beberapa hari bagi tujuan observataion. Sehingga aku menjadi malu kepada boss akibat begitu kerap bercuti sakit.

Yang pasti sepanjang tempoh mengandung kali ini, aku dan ahli keluarga yang lain begitu ceria. Aku juga begitu cergas bergerak ke sana ke mari. Kak Long dan Kak Ngah sering menemani Abah meneliti senarai nama untuk adik mereka. Kalau lelaki ... ada 3 nama pilihan. Kalau perempuan pun, ada 3 nama pilihan. Sengaja aku tidak mahu mengetahui jantina anakku terlebih awal. Aku sukakan 'surprise'.

Setelah kandungan ku 'overdue' selama 8 hari, aku mula mengalami pendarahan ringan tanda akan bersalin. Aku segera dikejarkan ke hospital walaupun tidak merasa sebarang kesakitan. Di hospital aku tidak mahu duduk diam di katil. Setiap masa aku berjalan dari katil ke katil berbual dengan pesakit yang lain. Sebenarnya aku layak untuk tinggal di Wad Kelas 1 dengan 2 katil. Tetapi aku meminta di tempat di Wad Kelas 1 dengan 4 katil .. maklumlah aku ini penakut. Aku merasa seram apabila katil bersebelahan ku kosong tanpa penghuni ... mulalah berbagai bayangan ngeri mengganggu fikiranku. Eeeeeeeeee!!!!!!!

Pada pukul 10 malam 22 Ogos itu, aku mula merasakan 'contraction' tanda saat bersalin telah hampir. Aku membiarkan masa berlalu dan merasakan 'contraction' semakin kerap. Aku semakin rajin berjalan. Para jururawat yang sememangnya telah mengenali aku memberikan aku galakan untuk banyak bergerak. "Bila dah rasa dekat bersalin, cepat-cepat masuk bilik bersalin ye, jangan meronda jauh-jauh", pesan mereka.

Mataku sebenarnya amat mengantuk, tetapi aku tidak boleh tidor. Tepat jam 4 pagi aku memasuki bilik bersalin dan diarah berbaring di salah sebuah katil. Jururawat meminta aku bersabar sementara menunggu doktor yang bertugas malam tersebut tiba. Jenuh aku menahan 'contraction' yang begitu kuat kerana bayiku benar-benar tidak sabar untuk melihat dunia.

Tepat jam 4.40 pagi, 23 Ogos 1995 aku selamat bersalin dengan mudahnya. Tangisan Puteri Bongsu menyebabkan aku tersenyum kegembiraan. Tamatlah sudah penantian kami selama ini. Doktor mengucapkan tahniah kerana mendapat seorang lagi bayi perempuan yang sihat dan sangat comel. Alhamdulillah.

No comments: