Monday, October 31, 2011

Musim Tengkujuh

Lempeng/Tepek pisang
Malam begini suasana terasa dingin. Tengok suhunya 29C .... nanti dekat nak pagi boleh turun lagi sampai 26C.  Itulah berkat hujan yang turun sepanjang petang, memberi keselesaan berehat pada waktu malam.  Alhamdulillah.

Sehingga kini cuaca harian amatlah menggembirakan aku. Dari pagi hingga awal petang, matahari memancar cahaya dengan teriknya. Sempatlah membasuh kain sampai 2 round, sekali sidai pukul 8, sekali lagi sidai pukul 1. Insyaallah kering dan garing.  Kebiasaannya mulai pukul 3 atau 4 petang cuaca mula mendung dan tak lama lepas itu hujan akan turun.

Hujan yang turun biasanya lebat mencurah-curah. Selalunya ada kilat dan guruh lagi.  Waktu ini semua aktiviti terhenti.  Menonton tengok TV tak boleh, buka komputer tak boleh, sebab takut ada petir.  Jadi  waktu ini terpulanglah kepada kita melakukan perkara lain,  samada tidor, membaca atau duduk di atas sejadah bermunajat kepada Allah SWT.

Bila hujan begini banyak yang terlintas dalam fikiran.  Teringat kenangan main hujan masa kecil dahulu. Kami akan mandi sepuas hati di bawah cucuran. Arwah Apak selalu berkata, "mandi dalam hujan lebat tak apa, mandi hujan rintik tak boleh, nanti sakit kepala dan demam". Betul agaknya sebab kami tak pernah pun  demam waktu tu. Hujan di kampong berbeza dengan hujan di bandar. Air yang turun bersih dari segala pencemaran, malah boleh ditakung dan diguna untuk mandi atau mengambil wuduk di madrasah kampung.  Hujan di bandar bercampur asid dari bahan tercemar di udara akibat asap kenderaan dan kilang-kilang.

Bila hujan juga aku teringat kuih tepek atau lempeng Emak. Ada tepek pisang berinti kelapa, balut dengan daun pisang, lepas tu dibakar garing. Fullamak sedapnyaaaa makan panas-panas.  Atau tepek tepung campur kelapa dan air garam. Tepek atas kuali ala-ala roti canai, makan panas-panas dengan kari ikan atau sambal tumis. Huhhh ... kecur air liur.  Sayu teringat kemeriahan zaman tersebut yang begitu indah, kami adik-beradik berebut-rebut makan,  maklumlah bila hujan perut jadi lapar.

Bila hujan juga aku teringat kenangan di asrama.  Waktu macam ni kegiatan bersukan dibatalkan. Pelajar boleh relak di dorm masing-masing. Mulalah perut lapar. Apalagi rebus air menggunakan heater. Bila menggelagak rendamkan maggi. Campur sikit sos cili (waktu itu paling terkenal ialah sos Lingam).  Satu mangkuk share ramai-ramai.  Atau bancuh teh o, cicah dengan biskut kering yang kami beli secara timbang kati.  Cicah punya cicah, stok seminggu habis dalam masa 1 jam aje.  Indahnya kenangan kemesraan itu.

Cuma aku paling takut kepada banjir.  Bencana banjir bukan saja menyebabkan aktiviti harian terganggu, tetapi beban selepas banjir begitu teruk. Banyak barang yang rosak,  terpaksa diganti baru.  Penatnya badan mencuci lumpur atau selut pekat melekat yang bertakung dalam rumah serta menyalut  semua perabut.  Semoga Allah SWT melindungi kami dari bencana tersebut.

No comments: