Thursday, October 6, 2011

Datsun 120Y

Datsun 120Y - model seperti inilah yang aku bawa semasa belajar memandu dulu
Patang tadi aku dah perbaharui lesen  memandu.  Dah 27 tahun memegang lesen ni.  Kiranya dah mahirlah bab pulas stereng, tukar gear, tekan hon, signal kiri-kanan.  Kehkehkeh.  Silap tu.  Walaupun ada lesen selama 27 tahun, sebetulnya aku mula memandu 5 tahun yang lepas, itupun kerana kes terpaksa.

Sebaik sahaja aku masuk kerja, perkara pertama yang aku nak buat ialah dapatkan lesen memandu.  Waktu tu tahun 1985 kos belajar memandu lebihkurang RM500. Kira tersangat mahallah masa tu. Tetapi keinginan yang berkobar-kobar menyebabkan aku nekad mengenepikan separuh gaji bulanan untuk belajar memandu.

Jurulatihku Pak Man, seorang leaki pertengahan umur yang sangat penyabar.  Cuma sesekali kedengaran dia mendengus tatkala aku gagal mengawal clutch dan minyak, menyebabkan enjin selalu mati di persimpangan atau semasa menunggu lampu isyarat. Hehehe ... maafkan saya Pak Man.  Kereta yang aku gunakan waktu itu ialah Datsun 120Y berwarna biru.  Kereta tu punyalah panjang, steringnya teramat berat, jenuh nak pulas bila nak membelok. Tetapi waktu itu mana ada Kancil atau Viva macam sekarang ni. Kiranya belajar memandu waktu itu memang mencabar kudrat.

Aku lulus setelah sekali sahaja mengambil ujian memandu JPJ.  Pada masa ujian trsebut, aku cuma melakukan satu kesilapan semasa side parking, satu tiang jatuh. Cubaan kedua berjaya. Alhamdulillah.  Seronoknya aku ada lesen memandu. Tetapi sayangnya aku tak berkesempatan memandu kerana tidak mempunyai kereta sendiri.  Sehiggalah aku berkahwin, aku terus jadi malas dan takut nak memandu sebaliknya lebih selesa jadi mem yang tak berhenti mengomel .... kononnya untuk mengelakkan Abah mengantuk semasa memandu.  

Pada tahun 2006, aku ditukarkan ke Pejabat Ketua Pegawai Operasi. Tugas baruku memerlukan aku sentiasa bergerak mengiringi bos mengadakan lawatan ke sekitar kawasan kerja. Mulanya aku terpaksa menumpang bos. Lama kelamaan aku jadi malu sendiri, kerana kadang-kadang menyebabkan bos terpaksa mengatur laluan perjalanannya semata-mata untuk menghantar aku pulang ke pejabat.

Aku segera membeli si comel Kelisa Ezi warna biru tua.  Dengan membayar RM30 sejam, aku belajar memandu semula.  Sudah tentu lebih mudah kerana dengan kereta jenis auto aku tak perlu bimbang untuk menukar gear atau menjaga clutch.  Setelah belajar selama 4 jam, aku jadi yakin untuk memandu sendiri.  Abah duduk di sebelahku selama 5 hari aku ke pejabat. Dia 'terpaksa' menutup mulut untuk tidak memberi banyak komen setelah mendapat amaran dari aku. "Kalau Abah komen banyak-banyak, saya tak mau bawa kereta".  Amboi,  garangnya!!! Maafkan saya, ye Abah.

Masuk minggu ke-dua aku mula memandu sendiri. Tanpa disangka-sangka hari itu berlaku kemalangan. Semasa aku reverse, aku tidak nampak terdapat sebatang tiang besi yang kecil berwarna kelabu.  Apalagi, kemek sedikit bahagian kanan kereta tersebut yang baru saja berumur 5 minggu. Huhuhuhu .... sedihnya.  Mujurnya impak perlanggaran itu tidak menyebabkan gudang tempat letak kereta itu roboh (untuk makluman, struktur gudang itu telah berusia lebih 50 tahun).  Kalau terjadi begitu, ohhh famouslah aku dengan cerita yang memalukan.

Selepas kejadian itu, hinggalah sekarang aku lebih berhati-hati setiap kali melakukan reverse parking.

No comments: