Monday, November 22, 2010

Selamat Jalan Sayang

Saat sebelum berpisah

Kehilangan atau perpisahan dengan orang tersayang memang menyedihkan. Apa lagi sekiranya orang itu begitu rapat dengan kita, terlalu baik dan tidak menyakiti hati kita. Itu perasaan yang normal sesama insan .... fitrah hidup.

Tetapi macamana kasih-sayang dengan benda tidak bernyawa. Sama juga. Cuma kita tidak akan mendapat respon dari benda yang kita sayang itu. Begitu juga aku. Pada 16 November 2010 yang lalu, aku berpisah secara rasmi dengan kereta kesayangan ku ... sebuah Proton Waja. Kereta ini aku beli pada tahun 2001. Aku merupakan antara kumpulan pertama pemilik kereta ini. Dan setelah 9 tahun digunakan, aku terpaksa mengucapkan selamat jalan kepadanya. Dan aku agak emosional semasa memandangnya kali terakhir semasa Waja dibawa pergi dari rumahku. Perasaan sedih yang bukan dibuat-buat.

Kenapa aku sayang sangat dengan Waja ini. Banyak sebabnya. Pertama sekali jasanya begitu banyak membawa aku 5 beranak ke seluruh pelusuk negara tanpa meragam. Dari Pulau Pinang kami telah dibawanya sehingga ke Perlis di utara dan di Johor di selatan dan Kelantan serta Trengganu di Timur. Sepanjang tempoh 9 tahun ini tidak pernah sekali pun enjinnya meragam. Seingat aku wang ku belanjakan hanya untuk tujuan "wear and tear" sahaja seperti menukar bateri, servis berkala, menukar absorber dan mengecat semula tubuhnya pada tahun 2007.

Macamana tidak timbul sayang ku kepadanya. Dia begitu baik untuk kami sekeluarga dan tentu sekali poket kami. Aku berharap pemilik baru kereta ini akan menjaga Waja dengan sebaik mungkin sebagaimana kami menjaganya selama 9 tahun yang lalu.

Tuesday, November 16, 2010

Al Fatihah - Jasa Cikgu Tetap Dikenang


Di atas ialah surat yang dikirimkan oleh Allahyarham Cikgu Md Hashim yang tidak dapat menghadirkan diri untuk Majlis Makan Malam SMTSP pada akhir tahun lepas. Airmata aku mengalir membaca setiap baris surat tersebut. Sayu sekali.

Allahyarham Cikgu Md Hashim lebih dikenali sebagai Mr Cannon di kalangan kami semasa bersekolah di SMTSP dulu. Mr Cannon tidak pernah mengajarku, justeru tidak banyak kenangan antara aku dengan Arwah.

Walau bagaimanapun, kehidupan kami di asrama cukup akrab samada sesama rakan sekelas atau sebilik ataupun dengan guru-guru. Bagi kami pelajar sekolah berasrama, guru adalah pengganti watak ibu-bapa kami. Maklumlah pada tahun 70an dulu, ketiadaan media hubungan yang canggih menyebababkan hubungan dengan ibu-bapa kandung agak renggang. Kami hanya dapat berhubung melalui surat atau bertemu apabila tiba cuti penggal sahaja (3 kali setahun). Dengan itu, kepada gurulah tempat kami bermanja dan mengadu masalah, mereka jugalah yang mendisiplinkan kami sehingga menjadi insan berguna.

Penderitaan Arwah hanya diketahui pada tahun lepas. Di sinilah facebook menjadi penyambung silaturrahim kami bekas pelajar. Beberapa pelajar yang tinggal di sekitar Kelantan dan Trengganu telah mengunjungi beliau untuk bertanya khabar. Menurut mereka, Arwah masih kekal dengan sikap cerianya walaupun sedang menanggung penderitaan. Daya ingatannya juga masih kuat, malah boleh mengingati nama bekas pelajarnya. Album kenangan semasa mengajar di SMTSP masih disimpan oleh Arwah dengan rapi.

Pada tahun ini penyakit Arwah semakin kritikal dan Persatuan Bekas Pelajar telah menubuhkan tabung untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga arwah. Namun, janji Arwah telah tiba, bila tiba masa yang ditetapkan, dia kembali mengadap Penciptanya. Arwah kembali ke Rahmatullah pada bulan Oktober yang lepas. Semoga roh Arwah bahagia di alam barzah. Segala ilmu yang dicurahkan kepada kami bekas pelajar adalah amal jariah yang tidak terhitung nilainya.

Al Fatihah buat cikgu.

Sunday, November 14, 2010

Biskut Raya Wajib

Kuih ini rangup dan manis - manis kurma dan chocolate chips

Dua hari lagi umat Islam akan menyambut Aidil Adha. Walaupun ramai orang tidak begitu membuat persiapan untuk hari raya ini, keluarga kami tetap meraikannya. Keluarga sebelah Abah di Pulau Pinang kebiasaannya tidak menyediakan sebarang juadah untuk Aidil Adha kecuali nasi tomato dan lauk-lauknya sahaja. Aidil Adha disambut secara kecil-kecilan sahaja. Tumpuan lebih kepada ibadah korban semata-mata. Berbeza dengan keluarga aku di Perak, Aidil Adha disambut hampir sama meriah dengan Aidil Fitri, lengkap dengan lemang dan rendang serta kuih-muih. Mungkin bilangan kuihnya lebih sedikit, tidaklah berbelas balang sampai penuh meja.

Anak-anak juga mahukan kuih raya. Aku dan Kak Ngah telah menyediakan biskut yang wajib dihidangkan setiap raya iaitu Biskut Cornflake Kurma. Sungguh mudah menyediakannya. Yang pasti .. rasanya memang sedap.

250 gm mentega
1 cmt esen vanila
200 gm kurma (dihiris secara dadu kecil-kecil)
200 gm chocolate chips
80 gm gula perang
320 gm tepung gandum
Cornflakes secukupnya (diramas hingga agak kecil)

Pukul mentega dan gula perang sehingga kembang. Campurkan esen vanilla. Apabila telah sebati, masukkan tepung, kurma dan chocolate chips. Gaul lagi sehingga sebati.

Ambil sejemput adunan dan bentukkan seperti biskut chocolate chips atau bentuk bentuk lain yang sesuai dan tekan-tekan dengan cornflakes yang telah diramas supaya agak bersalut. Bakar sehingga masak.

Mudah sekali.

Thursday, November 11, 2010

Estet - Mamat Khalid

sinopsis filem estet


Filem ini heboh diperkatakan apabila kalah dalam Festival Filem Malaysia (FFM) baru-baru ini. Hanya mampu membawa pulang Anugerah Khas Juri. Filem ini jadi heboh apabila Pengarahnya Saudara Mamat Khalid secara terus-terang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan FFM yang tidak berpihak kepadanya. Anugerah Filem Terbaik FFM dimenangi oleh filem Magika.

Estet menceritakan kisah dua sahabat baik iaitu Farid dan Shashi yang tinggal di sebuah estet. Kehidupan masyarakat di estet ini sungguh harmoni walaupun terdapat pelbagai bangsa mendiaminya. Walau bagaimanapun, kedamaian mereka tergugat oleh anasir-anasir luar yang mahu melihat estet tersebut bankrap dan dijual kepada pengurusan yang lain.

Ketika inilah semua pekerja estet yang terdiri daripada pelbagai kaum bersatu-padu menyelamatkan maruah estet tersebut. Mereka saling memberi sokongan moral. Semangat setiawan mereka sungguh kukuh tanpa mengenal batasan umur, kaum dan agama.

Secara keseluruhannya filem ini cuba menerapkan semangat 1Malaysia. Nama-nama besar dalam filem ini ialah Farid Kamil, Rosyam Noor dan Dato' Arumugam (Alleycat). Beberapa adegan menampilkan pemandangan estet yang sungguh menarik.

Walau bagaimanapun, penonton berhak memberi penilaian sendiri mengenai setiap filem yang mereka tonton. Bagi aku sendiri, filem ini biasa-biasa sahaja. Tiada yang "outstanding" berbanding dengan filem Magika yang sarat dengan teknik pengambaran menggunakan kepintaran komputer yang terkini, lengkap dengan unsur humor, sedih, suspens serta gembira.

Menurut Kak Ngah, menariknya Estet kerana ada Farid Kamil yang hensem.

Monday, November 8, 2010

Sawan Tangis Kak Ngah

Hilang sawan tangis, Kak Ngah jadi semakin montel

Kak Ngah anak yang ceria dan manja


Kak Ngah sejak hari pertama kelahirannya telah menangis. Biasalah semua bayi yang lahir akan menangis. Tangisan pertama yang pastinya menceriakan hati semua ibu. Tetapi tangisan Kak Ngah ini luar biasa, tangisnya melalak, seolah-olah sedang kesakitan. Apabila dipegang dan dipeluk dia akan diam dan tidur. Sebaik sahaja diletakkan ke atas tilam, serta-merta dia akan menyambung tangis.

Lebih hebat lagi tangisnya tidak mengira waktu, siang malam, pagi dan petang. Semua jiran tertanya-tanya, maklumlah tangisan pada malam hari tentu sekali jelas kepada pendengaran jiran sekeliling. Masing-masing memberi petua dan menyarankan kami berjumpa bomoh itu dan ini. Kerana sudah tidak tertahan, semasa dalam pantang aku terpaksa melanggar segala pantang-larang keluar rumah. Aku pergi ke Klinik Pakar Kanak-kanak. Doktor menyatakan Kak Ngah mendapat "3 months colics" sini (angin dalam perut), yang kebiasaannya akan hilang sendiri setelah bayi berusia 3 bulan. Aku disaran menukarkan susu yang diminum daripada susu lembu kepada susu kacang soya. Kak Ngah kurang berminat menghisap susu badan, tidak seperti Kak Long yang menyusu sehingga berusia setahun 6 bulan.

Kami juga membawa Kak Ngah berjumpa bomoh yang kononnya pandai mengubat sawan tangis. Abah diminta memakan sirih dan menyemburkan air sirih ke luar rumah. Seumur hidup Abah tidak pernah memakan sirih. Terpaksa sirih itu ditumbuk dulu dalam lesung batu sebelum di kunyah. Air sireh yang berwarna merah bersemburan pada dinding rumah yang berwarna putih (yang kemudiannya kami cat semula setelah Kak Ngah berusia 2 tahun).

Apabila gagal menunjukkan sebarang perubahan, kami menemui bomoh yang lain pula. Tetapi semua usaha kami tidak berjaya. Ketika itu semua orang merasa tertekan. Aku dan Abah tidak cukup rehat dan tidur untuk bekerja keesukan hari. Kak Long selalu menjadi mangsa kemarahan kami kerana kenakalannya. Pengasuh mereka, Emak Midah pula merungut tidak dapat memasak dan membuat kerja rumah kerana ragam Kak Ngah. Aku merayu belas-kasihannya dan ketika itu aku sering mengambil cuti kecemasan.

Alhamdulillah, apabila umur Kak Ngah semakin bertambah, tangisannya semakin reda. Benar kata doktor, ketika umurnya menjangkau 4 bulan, Kak Ngah menjadi anak yang semakin ceria. Tangisannya diganti gelak ketawa. Berat badannya juga makin bertambah dan dia menjadi bayi yang comel dan montel.

Kak Long sangat menyayangi adiknya. Aku perlu sentiasa memerhatikan gerak-gerinya kerana dia suka meniru perlakuan aku dan Emak Midah. Sesekali dia akan cuba untuk mengangkat adiknya, menyumbat susu ke mulut adiknya, menyapu bedak ke muka, memukul-mukul belakang adiknya (meniru aksi menepuk bayi tidur).

Mereka berdua membesar bersama-sama dengan penuh kasih-sayang dari aku, Abah dan emak-emak saudara mereka. Kedua-dua Permata Hati ku ini membesar dengan penuh ceria, gelak ketawa dan kenakalan yang aku kenang sehingga kini. Alhamdulillah, keakraban mereka dua beradik kekal sehingga kini dan aku aku harap ianya berpanjangan. Ameen.

Wednesday, November 3, 2010

Black Magic Woman by Santana


A curious blend of blues, rock, jazz, 3/2 afro-Cuban sonclave, and "Latin" polyrhythms, Santana's arrangement added conga, timbales and other percussion, in addition to organ and piano, to make complex polyrhythms that give the song a "voodoo" feel distinct from the original.[

Begitu sebahagian sedutan dari Wikipedia mengenai jenis musik dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan melodi indah lagu Black Magic Woman. Keindahan melodi serta kemerduan vokal Santanalah yang menyebabkan aku tidak pernah jemu mendengar lagu ini walaupun secara berulang-ulang kali. Walau bagaimanapun, lirik lagu ini tidaklah seindah mana.



Tuesday, November 2, 2010

Kelahiran Kak Ngah (1)

Aku sudah menulis tentang Kak Long sebelum ini. Kak Ngah dan Puteri Bongsu mula merungut, kenapa tak ada cerita tentang mereka. Ohhh ... anak-anak ini mula cemburu. Aku kena berhati-hati, tidak boleh kelihatan ada kes pilih kasih.

Semuanya aku sayang, tak ada beza samada anak sulung, anak tengah atau anak bongsu. Tidak ujud istilah anak kesayangan, anak emas atau anak emak sorang. Aku percaya kalau kita menyayangi anak kita tanpa ada pilih kasih, mereka akan membalas kasih-sayang kita itu tanpa ada sempadannya.

***********************************************************************************

Ok ... aku disahkan mengandung anak kedua pada tahun 1990. Ketika itu Kak Long telah berumur 2 tahun. Aku pula telah berumur 28 tahun. Peringkat awal kehamilan ini sama seperti semasa aku mengandungkan Kak Long dulu. Untuk 3 bulan pertama aku mengalami alahan yang menyebabkan aku merasa lemah semasa ke pejabat. Rasanya tidak larat untuk aku berulang-alik menaiki feri dari Butterworth ke Pulau Pinang setiap hari untuk ke tempat kerja. Pada masa yang sama juga Arwah Bapa Mertua dan Ibu Mertua sedang sakit kuat. Aku melihat Abah selalu berada dalam keadaan tertekan, melayan aku yang mengada-ngada sering keletihan, Kak Long pula nakalnya menjadi-jadi dan semakin manja serta perlukan perhatian. Pada masa yang sama Abah perlu selalu bekejar ke rumah mertua apabila mereka sakit.

Arwah Bapa Mertua ku meninggal ketika kandungan ku masuk usia 3 bulan akibat sakit lama yang berpanjangan. Setelah kematian Arwah, kesihatan Ibu Mertua yang mengidap kanser tekak semakin serius. Arwah Ibu Mertua semakin lemah dan tidak lagi mampu bergerak. Sesekali dia hanya tersenyum memandangku. Aku sedih .. tiada lagi nasihat dan petua yang keluar dari tekaknya yang sakit.

Pada peringkat akhir kehamilan, doktor mengesahkan kandunganku dalam keadaan melintang. Atas nasihat emak-emak saudara Abah, aku telah berjumpa bidan kampung untuk cuba membetulkan kedudukan kandungan. Pelbagia petua dan isyarat perlu aku patuhi.

Setelah kandungan ku melebihi 10 hari dari tarikh jangkaan bersalin, aku dimasukkan ke hosp[ital. Menurut doktor, bayi telah berada pada kedudukan yang betul tetapi aku masih belum mempunyai tanda-tanda akan bersalin. Doktor menyatakan untuk "induce" sekiranya aku masih belum bersalin dalam tempoh 24 jam. Waktu ini Kak Long ditinggalkan di rumah pengasuh. Kasihan anak Mama.

Pada pukul 11 malam aku mula merasa sakit yang berulang-ulang. Air ketubanku dipecahkan. Kali ini kesakitan paling ketara pada tulang belakangku. Contraction yang tak berhenti-henti ini menyebabkan aku lemah dan menderita kesakitan. Aku hanya mampu menyebut perkataan "Ya Allah" sahaja. Doktor yang bertugas di Bilik Bersalin juga hairan kerana bukaan rahim ku begitu perlahan dan tidak membolehkan aku bersalin dengan cepat. Dia menasihatkan aku bersabar dan memberikan aku gas entonox (campuran oksigen dan nitrous oxide) untuk dihidu bagi mengurangkan rasa sakit. Sesekali aku hampir terlelap kerana keletihan dan kesan hiduan gas tersebut.

Setelah hampir 6 jam bertarung dengan kesakitan, tepat jam 6.05 minit pagi 12 Oktober 1990, aku selamat melahirkan Kak Ngah yang seberat 2.73 kg.