Sebenarnya sudah 2 minggu aku pulang dari lawatan ke Indonesia. Entah kenapa semenjak dua menjak ni, aku terlalu sibuk hingga langsung tak ada masa nak menjenguk blog ni. Tapi hari ini aku paksakan diri. Sebelum semua cerita itu basi, sebelum semua rentetan peristiwa itu pudar .... elok aku coret-coretkan untuk kenangan.
15 Disember 2011
15 Disember 2011
Tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta jam 11.15 pagi atau 10.15 pagi waktu Indonesia. Kami disambut oleh Rendra, seorang anak muda berusia 32 tahun yang menjadi pemandu pelancong kami sepanjang tempoh kunjungan ke Indonesia. Seramai 25 orang warga Pulau Pinang mengikuti rombongan yang diatur oleh Al Jannah Travel Agencies.
Dari lapangan terbang kami dibawa ke restoran untuk makan tengah hari. Walaupun jarak antara lapangan terbang dengan restoran ini tidak jauh, kami perlu menempuh kesesakan jalanraya hampir 1 jam untuk menjamu selera. Hidangan pertama kami di Indonesia adalah masakan Sunda. Masakan agak sedap cuma rasa kurang puas kerana masakannya tidak berkuah. Hampir kesemuanya masakan kering.
Setelah solat kami meneruskan perjalanan memasuki Jakarta Pusat. Waduh pak .... sesaknya jalanraya. Kesesakan jalanraya ini memberi peluang aku memerhati persekitaran. Jakarta memang padat dengan anggaran penduduk seramai 10 juta orang. Tidak hairan sepanjang laluan di kiri kanan lebuhraya kelihatan banyak penempatan setinggan. Aku terharu melihat di celah-celah kesesakan penempatan tersebut, banyak berceracak menara-menara masjid, menunjukkan ramainya umat Islam di kota ini.
Setelah mengharungi kesesakan tersebut, akhirnya kami memasuki kawasan di mana banyak bangunan tinggalan Belanda. Semasa era pemerintahan Belanda, Jakarta dikenali sebagai Batavia. Tempoh pemerintahannya lebih 300 tahun ... hrmmm, patut pun ramai artis Indonesia berwajah cantik. Mungkin hasil perkahwinan campur warga tempatan dengan orang Belanda.
Balai Bomba |
Memang rambang mata. Blaus, beg tangan, kasut, telekong, busana muslimah, pakaian kanak-kanak .... semua cantik dan murah. Menurut Rendra, Mangga 2 merupakan tempat shopping kegemaran artis Malaysia. Tetapi yang peliknya kebanyakan penjualnya adalah berbangsa Cina. Ohhh, mereka menguasai ekonomi semua negara. Barangan yang dijual pun banyak yang Made In China.
Kompleks Mangga 2 - syurga kaki shopping |
Setelah puas shopping, kami bertolak ke hotel. Jalanraya penuh sesak. Semasa kenderaan berhenti dalam kesesakan tersebut, para penjaja mengambil peluang mempamirkan barangan jualan mereka. Anak-anak jalanan pula menadah tangan meminta rupiah. Terasa sedih sangat, tapi aku tak mampu nak melayannya. Kalau diberi pada seorang, yang lain pun akan menyerbu bas kami.
Di sepanjang jalan juga aku melihat pelbagai jenis kenderaan awam yang digemari rakyat. Antaranya bas kota, teksi, van, ojek (motosikal disewa membawa penumpang), bajaj (teksi roda tiga) dan beca. Semuanya saling menyelit di celah kereta milik persendirian. Pemandu di Jakarta tinggi tahap toleransinya. Jarang kedengaran mereka membunyikan hon dan selalu memberi laluan kepada kenderaan lain yang mahu menyelit. Kalau di Pulau Pinang, ada pemandu yang akan menunjuk penumbuk atau membunyikan hon panjang kalau ada yang suka menyelit.
Anak jalanan mencari rezeki |
MONAS - mercutanda kebanggaan Indonesia |
Kami check-in di Trinity Hotel yang terletak di Jalan Pembangunan, Jakarta Pusat. Semua tidak sabar membersihkan tubuh dan melabuhkan badan di katil setelah seharian di jalanan.