Sunday, August 28, 2011

28 Ramadhan ... Sehari Aje Lagi

Hari ni dah 28 Ramadhan. Semangat untuk berhariraya semakin terasa.

Semalam aku ke Sungai Petani. Sepanjang perjalanan dari Butterworth ke Sungai petani jalan telah mula sesak. Anak perantauan berduyun-duyun dalam perjalanan kembali ke kampung masing-masing di Seberang Perai, Kedah dan Perlis. Lebuhraya ke utara dipenuhi kereta yang kebanyakannya dengan nombor plet pendaftaran Selangor dan Kuala Lumpur.

Semalam semasa melalui Bandar Sungai Petani berlaku kesesakan teruk. Ramai yang keluar membeli-belah pada saat-saat akhir. Semasa memasuki kawasan perkampungan di sekitar Pekan Darat, Permatang Tok Gelam dan Maklom terasa kemeriahan rumah-rumah yang dihiasi pelita panjut dan lampu warna-warni. Cuma tak terlawan kemeriahan semasa zaman aku kecil dulu. Di luar rumah tidak kelihatan anak-anak bermain keriangan di depan rumah. Agaknya semua berehat di depan TV. Ibubapa pun tak berani membiarkan anak-anak bermain di luar rumah, lebih banyak bahayanya.

Ohhh ... sebenarnya aku ke Sungai Petani kerana berbuka puasa bersama-sama keluarga Abah. Penuh sesak ruang rumah dengan 24 orang (11 lagi tidak dapat datang) dan terasa kemesraan bersama ipar-biras, anak saudara dan cucu saudara sambil duduk bersila menjamu selera. Sebelum berbuka puasa kami beramai-ramai membalut ketupat pulut, pulut campur kacang dan pulut campur jagung. Ketupat ini dibuat awal dan disimpan di tempat beku. Pada pagi raya nanti baru direbus untuk santapan. Hmmm sedapnya.

Kemeriahan untuk menyambut Aidilfitri menyebabkan kita seakan terlupa akan sambutan Hari Kemerdekaan. Cuma sesekali teringat apabila terdengar lagu patriotik Allahyarham Sudirman ... "Tanggal 31, bulan lapan 57 ... merdeka, merdeka ....." Semoga negara kita semakin aman dan makmur untuk generasi yang akan ditinggalkan.

Apabila tiba di penghujung Ramadhan ini, tazkirah yang disampaikan di masjid membuatkan hati terasa sayu. Rasanya tidak cukup sempurna ibadat kali ini. Rasanya masih banyak yang perlu dibaiki dan ditingkatkan. Adakah aku berkesempatan lagi menyambut Ramadhan pada tahun hadapan. Berpeluangkah aku merebut peluang yang kurniakan Allah Ya Rabbul Alamin di bulan yang penuh barakah ini sekali lagi. Ya Allah .... aku memohon kepada Mu untuk menerima amalan yang telah, sedang atau akan aku lakukan semata-mata kerana Mu Ya Allah. Kurniakan aku, Abah dan anak-anak kami usia yang panjang, tubuh badan yang sihat, iman yang teguh, ilmu yang tinggi dan kemudahan yang luas untuk terus melakukan ibadah kepada Mu Ya Allah. Hidupkan kami dalam keberkatan dan matikanlah kami dalam iman. Ameeen

Friday, August 19, 2011

Ya Nabi Salam Alaika Haddad Alwi



Hari ini merupakan hari ke-19 Ramadhan. Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk melakukan ibadat ini dengan sempurna, tanpa sebarang keuzuran atau musibah ... masih diberi nikmat hidup di dunia ini. Subhanallah.

Semalam semasa sesi tazkirah, ramai yang menitiskan airmata mengenangkan betapa besarnya nikmat kita sebagai Melayu yang dilahirkan sebagai seorang Islam. Tidak perlu bersusah payah menunggu datangnya hidayah untuk memeluk Islam, tidak perlunya bergaduh dengan emak bapa sebab nak memeluk Islam meninggalkan agama lama, tak perlu memulakan pengenalan kepada Islam bermula dari asas.

Tetapi bersyukurkah kita? Betapa ramai yang mensia-siakan nikmat tersebut. Malah lebih teruk lagi memalukan Islam itu sendiri dengan pelbagai tindakan yang tak sepatutnya dilakukan seorang mengaku diri sebagai Muslim, umat Muhammad SAW. Sungguh menyedihkan.

Dan pastinya kita semua perlu amat berterima kasih kepada Nabi Junjungan, Nabi Muhammad SAW kerana menyebarkan Nur Islam untuk kita anuti. Begitu kasihnya kita kepada Baginda, kasih lagi Baginda kepada umatnya. Sehingga ke saat akhir hayat Baginda, tidak henti-henti kerisauan Baginda terhadap nasib umatnya.

Sebagai tanda kasih kepada Baginda, marilah bertekad melaksanakan semua perkara kebaikan dan kebajikan yang diajar kita untuk melakukan dan menjauhi perkara-perkara dimurkai Allah. Semoga Baginda akan berbangga dengan kita sebagai umatnya yang patuh. Perbanyakkan berselawat untuk Baginda, semoga kita tergolong sebagai insan yang diakui umatnya di akhirat kelak. Insyaallah.

Friday, August 12, 2011

12 Ramadhan Berlalu


Hari ini dah pun masuk 12 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan 1432. Semuanya masih tabah mengharungi dugaan di bulan yang mulia ini. Masing-masing berlumba-lumba mengutip bonus pahala yang Allah kurniakan, yang ganjaran amalannya lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. Melakukan pelbagai amalan sunat sebagai melengkapkan amalan yang wajib dengan bertarawih, mengikuti majlis ilmu, membaca Al Quran, bersedekah wang dan makanan dsbnya. Peluang beramal luas terbuka dan pastinya kita tidak mahu melepaskannya.

Masjid masih penuh dengan jemaah samada lelaki atau wanita, tua muda atau kanak-kanak, tidak luak langsung bilangan saf kecuali pada hujung minggu. Agaknya masing-masing balik kampung berpuasa dengan ibu-bapa. Menziarahi ibu-bapa juga amalan yang dituntut dan tentunya besar sekali ganjaran membahagiakan hati mereka.

Majlis ilmu yang diubah jadualnya dari sesi petang kepada sesi pagi juga berjalan lancar. Kaum ibu masih setia memenuhi taman syurga bagi menambah ilmu. Syukran.

Selama berpuasa ini aku tidak berminat pun pergi ke pasar Ramadhan. Anak-anak juga begitu. Dengan harga jualan yang begitu mahal dan citarasa yang tidak menentu, menyebabkan kami seakan melupakan niat untuk berkawad dalam panas petang di pasar Ramadhan yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Walaupun letih terpaksalah aku masuk dapur. Kalau terlalu malas, aku dan Abah akan membeli lauk-pauk di Restoran Hussein Nasi Kandar, dah memang terjamin keenakannya.

Mujurlah Abah dan anak-anak tidak begitu cerewet. Aku boleh masak apa saja asalkan mesti pedas. Kari, sambal tumis, masak merah, lemak cili padi semua boleh. Ironinya aku sendiri tidak boleh makan pedas, nanti perut pedih dan terasa asid gastrik menolak ke anak tekak. Terpaksalah aku makan moi atau bubur lambuk yang aku olah resipinya setiap hari. Ada masa berencah daging, atau udang, udang kering, ikan bilis atau ayam. Macam orang sakit le pulak. Tidak mahu jemu dengan moi kosong aku sediakan lauk sampingan sotong goreng kunyit, sayur goreng, udang goreng mentega atau ayam masak kicap .... masih mewah walaupun sekadar moi.

Bab kuih ni yang paling leceh. Semua kuih yang aku buat simple aje seperti ketayap, puding sagu, cucur udang atau karipap aje. Sesekali Abah akan membeli kuih lapis atau tepung talam di gerai berhampiran rumah kami. Kuih-kuih tu tidak mendapat sambutan dari anak-anak ku dan aku pun tak pandai nak memasaknya. Huhuhuhuu!!!!

Friday, August 5, 2011

Ramadhan Hari Ke 5


Masyaallah cepatnya masa berlalu. Hari ni dah 5 hari kita berpuasa. Memang tak terasa pun berpuasa kecuali mata rasa mengantuk lebih dari biasa. Maklumlah masa tidur dah jadi pendek. Tak apa, Ramadhan dianugerahkan kepada Umat Islam selama sebulan sahaja daripada 12 bulan yang kita ada dalam setahun. Jadi jangan sia-siakan masa yang begitu singkat ini. Lebih menggetarkan, mungkinkah ini Ramadhan "terakhir" untuk aku?? Tak dapat aku menjawabnya, cuma kita perlu sentiasa bersedia. Jadi baik dan semakin baik ... samada pekerti, amalan, pegangan atau tindakan kita. Kemudian kita berdoa memohon kepada Allah SWT semoga amalan kita diterima sebagai bekalan di sana kelak. Selebihnya kita berserah kepada Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Solat tarawih di Masjid Jamek kali ini bertukar wajah. Jika dulu hanya sembahyang tarawih 20 rakaat, diikuti dengan witir 3 rakaat. Selepas 8 rakaat, separuh dari jemaah telah meninggalkan masjid. Samada mereka hanya melakukan 8 rakaat atau menyambungnya di rumah .. wallahhualam. Tidak perlu pertikaian mengenai jumalah rakaat. Yang penting keikhlasan hati mencari keredhaan Allah SWT.

Tahun ini solat tarawih di Masjid Jamek dijalankan 8 rakaat rakaat, kemudiannya witir 3 rakaat dikuti majlis tazkirah. Pengerusi Masjid telah siap memaklumkan kepada penceramah, tazkirah mesti sepenuhnya tentang pengisian Ramadhan .... tidak mahu melencong kepada perkara berkaitan politik. Nanti masjid akan kehilangan jemaah apabila hal politik dibangkitkan.

Benar sekali kerana setakat 5 malam berlangsung, topik sepenuhnya menyentuh tentang hakikat puasa di bulan Ramadhan, amalan harian di bulan Ramadhan dan menghidupkan malam-malam Ramadhan oleh beberapa Ustaz Muda mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Sebahagian besar jemaah setia menunggu sehingga selesai majlis tazkirah yang mengambil masa 45 minit. Cara penyampaian oleh ustaz-ustaz tersebut juga menarik, santai dan mudah difahami.

Semoga suasana seperti ini akan berterusan hingga ke akhir Ramadhan kelak. Insyaallah.

Tuesday, August 2, 2011

Takziah Buat Emma dan Anak-anak

Penganalisis menang kes saman Hospital Pusrawi

2010/07/10

KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis komputer yang mengalami kerosakan otak selepas menjalani pembedahan empat tahun lalu, semalam menang kes samannya terhadap Hospital Pusrawi Sdn Bhd dan tiga doktor.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Patail, membenarkan saman difailkan Roslan bagi mendapatkan ganti rugi kerana kecuaian sehingga tidak sedarkan diri kerana kecederaan otak selepas pembedahan tulang belakang. Abdul Wahab memerintahkan Hospital Pusrawi, pakar anesthesia, Dr Ainy Md Aris; pakar ortopedik, Dr Mohd Ismail Maulud dan pakar ortopedik dan trauma, Dr Didi Indra Tiahya membayar RM20,000 setiap defendan sebagai kos guaman.Ganti rugi teladan, punitif dan lain-lain kos akan ditaksirkan Timbalan Pendaftar kemudian,” katanya. Roslan, 47, juruanalisis kanan Bank Simpanan Nasional (BSN) diwakili peguam Cheow See dalam penyataan tuntutannya 1 September 2006 mendakwa menjalani pembedahan akibat sakit belakang yang menurut doktor mengambil masa dua jam.Beliau mendakwa ketiga-tiga doktor itu secara bersama dan/atau berasingan cuai menjalankan tugas sehingga menyebabkan tiub ‘endotracheal’ yang membekalkan oksigen kepadanya tersasar keluar dari saluran pernafasan ketika membetulkan kedudukannya kepada meniarap mengakibatkan pernafasannya terhenti.

Saman itu difailkan pada 2 Februari 2007 dan plaintif mendakwa ujian EEG (electroencephalogram) yang dibuat terhadapnya mengesahkan dia mengalami kerosakan otak akibat kekurangan bekalan oksigen sehingga menyebabkan dia dirawat di Unit Rawatan Rapi selama 22 hari.Plaintif mendakwa akibat kecuaian itu otaknya tidak berfungsi dengan normal dan menjadikannya seperti ‘bangkai bernyawa’. Roslan menuntut ganti rugi teladan dan punitif RM500,000 serta ganti rugi khas iaitu kehilangan pendapatan RM5,687 sebulan bermula 2 Februari 2007 dan berterusan, ganti rugi khas berserta faedah pada kadar empat peratus setahun, dan kos lain.
************************************************************************************

Begitulah dilaporkan di akhbar-akhbar setahun yang lalu. Genap setahun selepas itu (31 Julai 2011), Roslan menghembuskan nafas yang terakhir setelah bertahun-tahun menderita kesakitan. Innalillah hiwainnalillah hirrajiun. Allahyarham pergi meninggalkan isteri yang setia, Emma Ibrahim dan anak-anak yang baik yang memahami penderitaan bapa mereka dan pengorbanan ibu mereka.

Aku tidak mengenali secara peribadi Roslan dan Emma. Menerusi FB, rakan-rakan alumni USM menyambungkan silaturahim aku dengan Emma. Dari situ aku sering mengikuti perkembangan keluarga ini. Aku sering mengalirkan airmata membaca luahan hati Emma yang begitu belas melihat penderitaan suaminya. Hanya kata-kata dorongan dan semangat mampu aku berikan kepada Emma.

Kini sekali lagi Emma menghadapi dugaan yang maha berat. Tetapi aku yakin Emma cukup tabah. Aku hanya mampu memberi kata-kata semangat buat Emma untuk meneruskan kehidupan bersama cahayamatanya bersama Allahyarham Roslan. Semoga Allahyarham berbahagia di alam barzah dan semoga kehidupan Emma dan anak-anak mendapat perlindungan dari Allah. Ameen