Saturday, October 9, 2010

Roti Jala Kari Ayam

cubaan pertama.....

sedia untuk dimakan.......

Entah apa mimpi kami anak beranak. Tengah hari ini kami makan roti jala dengan kari ayam saja. Inilah pertama kali aku membuat sendiri roti jala. Walaupun resipinya cukup mudah, tetapi aku tidak pernah cuba membuatnya sendiri. Selalunya aku bungkus sahaja dari kedai.

Bersama Puteri Tengah, kami memulakan operasi masuk dapur pukul 11 pagi. Aku menyediakan gulai ayam dengan kentang. Ayam dan kentang aku potong kecil-kecil. Kuahnya pula pekat. Tetapi rasanya aku perlu melebihkan sedikit pedasnya, baru ada umph.

Resipi roti jala kami ambil internet saja :-

500 gm tepung gandum
setengah tin susu cair
2 tin (bekas susu cair tadi) air
2 biji telur ayam
sedikit garam dan serbuk kunyit

Gaulkan semua bahan hingga sebati. Putar dalam blender dan tapis. Lenserkan minyak atas kuali leper. Bila sudah cukup panas, dengan menggunakan acuan roti jala, putar-putarkan bancuhan mengikut arah bulatan. Roti jala yang nipis cepat masak dan tidak perlu diterbalikkkan. Apabila bahagian bawah roti berwarna kekuningan, lipatkan atau gulung roti tersebut. Jika terlambat, roti akan menjadi garing.

Memang mudah. Tetapi buat yang pertama kali mencuba, bentuk jalanya tidak begitu cantik. Kadang-kadang ianya kelihatan seperti lempeng, kadang-kadang pula seperti singlet koyak. Tetapi setelah berkali-kali mencuba, roti jala yang dihasilkan oleh Puteri Tengah menjadi semakin cantik.

No comments: