Sunday, December 1, 2013

Nasi Kandar Best Punya - 28 November 2013

Hari ni patutnya puasa qada,  hrmmm tapi terponteng la pulak.  Semuanya sebab dah janji dengan anak-anak nak pergi Tanjung (orang Pulau Pinang sebut bahagian pulau/island sebagai Tanjung).  Sebab minggu depan semua nak mula bekerja, hari ni ajalah masa yang sesuai ... hehehehhe, ini mesti alasan nak selamatkan diri sebab ponteng puasa kan???

Anak-anak teringin sangat nak pekena Nasi Kandar Kampung Melayu yang famous tu.  Aku lagilah teringin. Punya lama tak pergi ke sana.  Kami pergi pukul 10.00 pagi, pengunjung dah berkurangan. Paling havoc kat kedai ni waktu pagilah. Semua orang nak sarapan.  Orang yang nak masuk pejabat pun terkejar-kejar nak beli nasi bungkus.  Orang pencen macam aku dan Abah akan elakkan masa-masa macam tu, kami nak relaks-relaks, enjoying the food ... kehidupan sebagai ladies of leisure.

Masa beratur nak ambil nasi,  hati dah kembang kuncup, dah telan air lior.  Bau kari yang menerpa keluar dari periuk-periuk besar tu cukup menggoda.  Aku ambil lauk daging, telur rebus dan bendi (tipikal lauk nasi kandar), Kak Ngah dengan ayam goreng dan sayur kacang panjang, Abah pulak kepala ikan dan bendi. Kuahnya melimpah macam banjir kilat.  Tak lupa papedom.

Alhamdulillah

Bismillah hirrahmanirrohim.  Suapan pertama ...  Subhanallah, heaven!!!! memang nikmat.

Kelebihan nasi kandar Kampung Melayu ialah rasa masakannya yang unik. Walaupun nampak kuahnya merah dan  pekat, tapi tidaklah sepedas mana.  Tapi memang kaya rasa rempahnya, cukup perisa pedas, masam dan masinnya.  Rasa masakannya memang berbeza dan lebih umphh dibandingkan dengan yang dijual di restoran-restoran nasi yang kandar terkenal tu.  Memang berbaloi datang pagi ni.  Alhamdulillah.

Deretan lauk-pauk yang marvelous
 (Tq klurbanite.com - saya share gambar ni) 
Restoran Nasi Kandar Kampung Melayu terletak di tingkat bawah Rumah Pangsa Kampung Melayu, Jalan Kampung Melayu, Ayer Itam, Pulau Pinang.  Waktu operasi pulak antara jam 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.  Selain nasi kandar ada juga roti canai .... kuahnya sedapppp!!!

Saturday, November 9, 2013

Pantai Teluk Senangin - 3 Nov 2013

Baru-baru ni aku bercuti lama di kampung.  Kebetulan Puteri Bongsu pun bercuti hujung minggu sempena Deepavali dan Maal Hijrah.  Tak mau pulang ke Penang, kami berkampung 4 hari 3 malam di rumah Emak di Perak.  Aku ambil kesempatan mengadakan kenduri doa selamat di rumah Emak pada hari Sabtu.  Hari Ahadnya aku dan adik ku, Pakcik Hazrin membuat rancangan untuk berkelah. Dah lama tak bawa Emak berkelah. Nak ke mana yer?

Teluk Batik pantainya memang cantik tetapi terlalu "crowded".  Kereta kena parking jauh dari pantai. Kesian pada Emak, dia dah tak mampu berjalan jauh.

Nak pergi berkelah di air terjun Chepor atau Ulu Kenas?  Memang cantik kedua-dua tempat ni tapi aku seram memikirkan sekarang ni musim hujan. Risau bila teringat kerapnnya berlaku kemalangan semasa musim hujan apabila berlaku kejadian kepala air bergerak deras dari hulu sungai.  No No No!!

Pakcik mencadangkan kami pergi ke Pantai Teluk Senangin.  Pantai ini terletak kira-kira 30 km dari pekan Setiawan dan berhampiran dengan Pantai Remis. Pantainya cantik dengan pasir halus memutih.  Pantai ini masih belum dikomersil sepenuhnya. Hanya ada beberapa buah chalet. Pusat penjaja yang teratur pun belum disediakan.  Memang agak selesa berada di pantai yang tidak terlalu ramai pengunjung ni.

Peta arah ke Teluk Senangin (Terimakasih ihsan gambar nasmizam.blogspot.com)

Ketenangan wajah Emak

Ada beberapa gerai menjual pakaian dan permainan
di sepanjang laluan ke pantai

Pakcik dan anak-anaknya

Pandangan arah ke utara

Pandangan arah ke selatan


Thursday, October 31, 2013

Cuti Panjang

Minggu depan cuti panjang.   Sabtu ni Deepavali.  Selasa pulak Awal Muharam.  Kalau sambungkan dah dapat 4 hari kan?  Jangan kata aku menyebuk pulak. Memanglah aku dah pencen, cuti pendek ker, cuti panjang ker, cuti am ker, cuti umum ker apa bezanya?  Tolong sikit yer, sapa kata cuti-cuti tak berkenaan dengan orang pencen??

cenderahati dari pengantin

Bila cuti ni mesti banyak jemputan kenduri.  Kadang-kadang jenuh nak atur nak pergi kenduri yang mana dulu. Nak ke utara dulu, atau ke selatan dulu?  Kalau yang jauh tu kadang-kadang terpaksalah kita menghampakan jemputan tuan rumah. Tak mampu nak kejar masa.

himpunan jajan kenduri kawan-kawan

Selain tu, masa cuti ni anak-anak nak balik ke rumah. Kena atur juga macam-macam jadual. Siapa nak ambil Kak Long. Nak ambil di mana?  Stesen bas, stesen keretapi atau airport?  Sapa  pulak nak ambil Puteri Bongsu, dia takut balik sendiri. Tiap kali cuti kena memandu ke Ipoh untuk ambil si bongsu ni. Mujurlah Ipoh dengan Penang dekat aje.  Bilalah dia nak mula berdikari ... hrmmm.

Bila cuti ni Emak suka buat program kenduri doa selamat. Sabtu ni nak mula satu kenduri.  Emak dah minta aku balik tolong beli ayam di market nak buat rendang pedas untuk makan dengan lemang.  Apa lagi menu Emak yer? ohhh,  ala-lala hi-tea jer .. lemang dengan rendang, pulut kuning dengan daging pedas, bihun goreng, mee goreng dan kuih manis 3 jenis. Ok lah tu.  Tapi kawan-kawan emak di kampung ramai tau .... Emak memang seronok menjamu teman-teman dan ahli keluarga.

Selalunya kalau anak-anak bercuti panjang, aku suka merancang percutian keluarga.  Tapi harapan tinggal harapan.  Kak Long tak dapat bercuti panjang, cuti tahunan dah habis!!!  jadi kita cuti-cuti kat rumah ajer ye anak-anak, kita main masak-masak nak??

Tuesday, October 15, 2013

Selamat Menyambut Aidil Adha



Pagi-pagi lagi hujan dah turun dengan lebat sekali ... menderu-deru dengan angin kuat.  Dinginnya pagi Aidil Adha kali ini.

Selepas solat subuh dan bertakbir beberapa ketika, aku mulakan operasi di dapur. Kak Long jadi assistant chef pagi ni.  Kak Ngah diberi tugas mencuci dapur dan mengemop lantai dapur. Jadi, dia sambung buat tahi mata sampai ler chef-chef ni habih memasak.  Anak bertuah!!! Puteri Bongsu pulak ditugas mengemas ruang tamu yang comel tu.

Menu pagi ni nasi beryani dan ayam masak merah.  Semalam dah siap gulai tulang dengan kentang. Sekejap lagi nak buat acar timun.

Semalam juga dah siap mengukus ketupat (aku tak suka ketupat rebus) dan memasak "gu"nya rendang pedas daging.  Resipi turun temurun emak di Perak. Dah siap juga merebus nasi impit dan "gu" nya kuah kacang berdaging.  Hrmmm meriah juga sambutan Aidil Adha kali ni.  Maklumlah, ramai pembantu .... kerja pun dikongsi, tak lah terasa sangat penatnya.

Ok, semua dah siap, jom kita solat dulu.   Di luar hujan masih belum berhenti ... ujian untuk hamba-hambaNya,  nak pi ke dak? nak pi ker dak?

Saturday, October 12, 2013

Hati Berbunga-bunga

Pagi-pagi lagi dah mai semangat.  Bangun terus masuk dapur. Capai kuali, capai pisau, capai senduk .... siap mee goreng mamak dengan kopi O.  Anak-anak ku sayang,  mai kita makan sama-sama.  Kak Ngah dengan Puteri Bongsu apa lagi, tersengih-sengih merapat ke meja macam tuan puteri, bangun aje dari tidor, semua dah ready!!!

Pukul 11 masuk dapur semula.  Kali ni dua-dua anak dara tu turun menyinsing lengan.  Depa pun bersemangat juga.  Ada yang menyincang, ada yang memotong, ada yang menumis, ada yang menumbuk .... tumbuk dalam lesung ler. Tadaaaa .... siap nasi  daging (tapi aku gantikan dengan ayam), kari telur dengan kentang, air asam untuk makan dengan ayam rebus dan acar timun.  Kak Ngah terlebih rajin masak puding milo lagi.

Semua dah siap tapi pakat-pakat tak mau makan lagi, tunggu bagi lengkap. Kak long nak tiba sekejap lagi. Boleh makan sama-sama.  Tentu meriah sambil makan sambil dengar cerita Kak Long yang mulut becuk tu. Macam biasa Abah jadi pembaca doa.

Hati ibu mana yang tak berbunga-bunga bahagia apabila semua anak manja ada di depan mata.  Kali terakhir berkumpul begini masa Aidil Fitri bulan Ogos yang lalu. Hari ni semua akan berkumpul semula ... tapi tak lama mana pun. Hari rabu depan, mereka akan pulang ke tempat masing-masing semula.   Akan sunyi sepi lah kembali teratak kasih ni.  Jadi sementara semua ada di rumah, enjoy betul-betul. Curahkan kemesraan, limpahkan kemanjaan.

Thursday, October 3, 2013

Ronda Sampai Penat

Hujung minggu yang baru berlalu memang memenatkan.  Letih badan, kering kocek.  hehehehe .... bukan senang nak meninggalkan rumah hampir seminggu.  Terutama sekali Abah, cukup bimbang nak meninggalkan ikan dalam kolam dan pokok-pokok kesayangannya.

27 September 2013

Perjalanan bermula pukul 9 pagi.  Sepanjang jalan sungguh selesa, maklumlah kereta tak banyak.  Cuma semasa berada di sekitar Perak, hujan turun sepanjang highway, sesekali lebat dan sesekali pula renyai-renyai.  Cuaca yang redup menyebabkan perjalanan terasa nyaman.

Kami cuma singgah di RnR Tapah untuk menghirup minuman panas dan kuih-muih.  Nak makan tengahari, masih terasa awal.  Kak Ngah memandu dengan penuh berhemah sekali, sentiasa di bawah 110 km/jam. Haaa .... mata Abah asyik memantau speedometer.  Ada 2 saman belum dibayar Kak Ngah oii!!!

Tepat jam 2 petang kami tiba ke homestay yang terletak di Taman Samudera Batu Caves.  Seramai 21 orang adik-beradik dari Penang dan Kedah melepak-lepak di sini sebelum menghadiri kenduri keesukan hari.  Meriah. Rumah 3 tingkat ini mempunyai 5 bilik yang luas dan 2 ruang rehat yang luas. Setiap ruang dibekalkan dengan tilam dan bantal tambahan. Kiranya amat selesa untuk 30-40 tetamu bermalam.

Cuma yang teruknya bilik air cuma 3 buah. Salah satu bilik air ni tandasnya rosak dan tidak boleh digunakan. Semasa kami masuk rumah ini tidak dicuci.  Jenuh Pakcik Mat Nazari selaku tuanrumah rombongan bertengkar dengan pemilik homestay. Selepas 2 jam barulah 2 pekerja datang mencuci lantai, mencuci bilik air dan memasang sarung bantal dan tilam. Hrmm ... nak berbisnes tapi tak mau beri perkhidmatan terbaik!! Lagi satu yang amat menyulitkan ialah tempat meletak kereta.  Bayangkan di mana 6 buah kereta hendak dipark kerana porchnya kecil sangat. Terpaksalah kami mengambil risiko park di tempat lapang yang agak jauh dari homestay tersebut.

Di hadapan homestay Taman Samudera

28 September 2013

Kami check-out dari homestay pukul 12 menuju ke Mess Pegawai Bukit Aman.  Walimatulurus di pihak lelaki diadakan di sini memandangkan bapa Zodi bertugas sebagai seorang pegawai di Bukit Aman.  Majlis berjalan agak meriah dengan majlis persandingan, sesi memotong kek, sesi memberi gula-gula kepada kanak-kanak dan sesi bergambar berama-ramai.

Selesai sudah santapan ... wajah pun jadi ceria
Keluarga pengantin perempuan

Selesai majlis, rombongan kami berpecah membawa haluan masing-masing.  Ada yang bermalam di Kuala Lumpur, ada yang berangkat ke Melaka dan ada yang balik ke utara.

Aku dan keluarga (Abah, Kak Long dan Kak Ngah ... Puteri Bongsu tak dapat bersama kerana tidak boleh ponteng kuliah) bertolak ke USJ Sentral untuk bermalam di Hotel Smile.  Hotel bajet yang baru dibuka bulan Jun ini menawarkan harga yang amat berpatutan iaitu RM149 untuk bilik family 4 orang. Memandangkan hotel masih baru, memang tak geli menginap di hotel bajet ni sebab tilamnya masih keras, tuala masih puteh dan lantai pun sangat bersih  .... hehehhehehe.

Selepas maghrib kami bertemu Mak Yong dan keluarga di kedai tomyam Jasmine Restoran di Bukit Jelutong.  Angah Firdaus bermurah hati belanja kami makan malam dengan siakap 3 rasa, sotong celup tepung, tomyam campur, kerabu mempelam, kailan ikan masin, daging goreng kicap dan telur dadar. 

29 September 2013

Pagi ni kami breakfast di restoran Nasi Kandar Padang Kota yang terletak di hadapan Mydin USJ Sentral. Sedap juga makan roti canai banjir dengan teh tarik kurang manis.  Rasanya sama macam masakan mamak Penang juga.

Setelah itu kami menuju ke pejabat Hanan Cotton yang terletak di Putra Height.  Aku dan Kak Ngah akan menghadiri sesi taklimat perniagaan kain cotton yang diedarkan oleh Syarikat Hanan. Maklumlah dah hampir setahun berniaga,  masih tak pandai-pandai lagi, jadi kenalah menuntut ilmu.  Seramai hampir 30 rakan niaga Hanan hadir dalam sesi ini. Rasanya  akulah yang paling senior ... huhuhu.  Sementara menunggu sesi tamat pada jam 1 tengah hari, Abah dan Kak Long pergi ke Presint 2, Putrajaya untuk meninjau karnival usahawan desa. Macam-macam ada!!!

Setelah sesi taklimat tamat, kami kembali ke hotel untuk membersihkan diri dan solat sebelum meneruskan perjalanan ke Jasin, Melaka. Kami singgah di RnR Seremban untuk makan tengah hari.  Orang begitu ramai, nak duduk pun takder tempat kosong.  Makanan pun kurang menarik ... adehhh cerewet ler pulak.

Di Jasin kami menziarahi keluarga Mak Mah (sepupu Abah) yang ditimpa kemalangan pada pertengahan bulan Ogos yang lalu.  Kesian melihatkan mereka yang masih belum pulih sepenuhnya. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.

Kami seterusnya bersiar-siar di Bandar Melaka yang kelihatan sungguh meriah pada waktu malam dengan banyaknya beca yang memasang lampu berwarna-warni.  Seterusnya kami bergerak kembali ke Kuala Lumpur untuk menghantar Kak Long ke rumah sewanya. Esuk Kak Long kena masuk kerja. Dalam kereta dah start monday blues nya!!!.

30 September 2013

Kami check-out dari hotel pukul 12 tengah hari dan terus bergerak ke utara.  Sepanjang perjalanan aku tertidur.  Kak Ngah yang memandu kereta asyik berbual dengan Abah.  Sedar-sedar dah sampai ke RTC Gopeng.  Inilah tempat kegemaran kami.  Tandasnya yang banyak dan bersih. Surau yang luas dan selesa.  Tempat makan pun luas dengan pilihan makanan yang "not bad".

Setelah puas beristirehat di sini, kami pun menuju ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk menziarahi Aiman (anak kepada Mak Mah).  Semua anggota keluarga yang cedera telah kembali ke Melaka kecuali Aiman yang kecederaannya sangat serius.  Alhamdulillah keadaannya semakin pulih. Kini dia telah mula mampu bernafas sendiri.  Bapanya Pakcik Zul terpaksa berkorban cuti separuh gaji menemani anaknya di hospital ini.  Kami mendoakan semoga Aiman segera sembuh seperti sediakala dan Pakcik Zul pula diberikan keteguhan fizikal dan mental setelah lebih sebulan berumahtangga di hospital ini.

Kami kemudian pergi bertemu Puteri Bongsu di asrama yang terletak di Rapat Setia. Alahai, demam dan mendapat ketumbit ler pulak anak manja ni.  Terus kami ke farmasi membelikan ubat-ubatan yang sesuai. Memandangkan hari hampir malam, kami segera bergerak ke kampung Tanjung Belanja untuk bermalam di rumah Opah.  Bye bye adik ... I luv u !!!

2 Oktober 2013

Setelah berada 2 malam di kampung, kami meminta diri dari Opah untuk berangkat pulang ke Pulau Pinang. Walaupun ini dah rutin, setiap bulan bertemu dan berpisah dengan Opah, tetapi aku masih seperti itu. Amat sayu dan pilu bila berpisah. Tak sanggup rasanya memandang kesedihan dalam mata Opah. "Emak, Ja doakan kesejahteraan untuk Emak. Ja mengharapkan keredhoaan Emak. Ja takut berpisah dengan Emak.  Ja ......" macam-macam doa ku, yang tak termampu aku luahkan dengan kata-kata.

Kami singgah di Taiping untuk menzirahi Pakcik Amiruddin (sepupu Abah) yang ditimpa strok.  Keadaannya semakin pulih. Percakapan telah lebih teratut. Cuma kaki dan tangan sebelah kiri masih kaku dan memerlukan bantuan isterinya.

Setelah 1 jam di sana, kami meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir kami kembara panjang ini .. RUMAHKU SYURGAKU.

Wednesday, September 11, 2013

Makaroni Bakar - Favorite Nih

Dah lama tak main masak-masak mencuba resipi baru.  Sebenarnya aku ni peminat makaroni bakar. Dah berkali-kali buat ... ikut macam-macam resipi.  Masalahnya aku sorang jer yang suka makan ... kalau buat selalu parahlah. Boleh naik berkilo-kilo berat badan ni. Lebih kacau kalau cik kolesterol pun melonjak naik. So ... setahun sekali jer aku buat. Itu pun boleh simpan beberapa hari melainkan kalau sedap aku offer lah pada jiran atau ipar duai ku. Kalau rasanya ala-ala serba tak cukup ramuan, alamatnya aku simpan jer dalam peti ais. Bila nak makan, panaskan aje dalam microwave .... hrmmmm sampai ler aku rasa cemuih (bak kata orang Penang ... hihihihi).

Semalam aku mencuba versi baru pulak. Ini merupakan kacukan beberapa resipi yang aku pinjam dari Chef-chef hebat seperti Tokey Kek, Cik Mat Gebu dan MyResipi.  Bila dah  kacukan, rasanya pun jadi unik, tapi bagi aku sedap.  Malu ahhhh .... masuk bakul angkat sendiri pulak.  Apa-apa pun terima kasih kepada semua Chef yang bermurah hati berkongsi resipi-resipi yang mantop, dan nak minta maaf sebab suka-suki jer pergi kacukkan 3 resipi tu.

hasil setelah siap dimasak

Ok aku pun tak mau buang masa sebab resipi ni pun panjang lebar juga ... nah ini dia resipinya. Cubalah memang sedapp!!

****************************************************************

MAKARONI BAKAR 

BAHAN-BAHANNYA :-

300 gram makaroni, rebus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit mentega
Parutan keju mozarella secukupnya
White sauce secukupnya (resipi dibawah)
Inti secukupnya (resipi dibawah)
6 biji telur ayam, dipukul sedikit
Hiasan  -  hirisan cili hijau, cili merah, daun sup dan daun bawang


BAHAN-BAHAN INTI :-

400 gram daging cincang
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 tangkai daun kari, hiris halus
1 camca besar penuh rempah kari daging
1 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
1 batang karot diparut
1 batang celery dihiris1/2 cawan air
1/2 camca teh serbuk lada hitam
Garam dan gula secukup rasa


BAHAN-BAHAN SOS PUTIH :-

300 ml susu segar
2 camca besar tepung gandum
Lada hitam kisar secukupnya
Garam secukup rasa


CARA MEMBUATNYA :-

  1. UNTUK INTI :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga harum, masukkan daging kisar dan goreng hingga daging berubah warna. Tambah rempah kari, goreng sekejap dan tambah sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan biar mendidih. Masukkan serbuk lada hitam. Tuang sedikit air dan masak hingga pekat. Tambah sayur-sayuran, gula dan garam secukup rasa, masak hingga kuah agak kering. Ketepikan.
  2. UNTUK SOS PUTIH :- Panaskan susu segar, kemudian masukkan tepung gandum dan kacau hingga sebati. Masak dengan api kecil dan terus mengacau supaya tepung tak berketul. Tambah serbuk lada hitam kisar dan sedikit garam. Kacau rata dan masak hingga sos putih kelihatan pekat. Matikan api dan ketepikan.
  3. UNTUK MAKARONI BAKAR :- Panaskan oven pada suhu 180C, lenser bekas berukuran 10inci x 8inci x 2inci dengan mentega. Masukkan 1/2 bahagian makaroni, tuang 1/2 bahagian telur, lapiskan dengan 1/2 bahagian inti, ratakan, dan 1/2 bahagian sos putih, ratakan dan tabur parutan keju secukupnya.
  4. Lapis dengan baki makaroni, telur, inti, sos putih dan akhir sekali baki parutan keju mozarella. Tabur hiasan hirisan cili dan daun-daun. Bakar 40-45 minit atau hingga permukaan kelihatan perang keemasan. Keluar dan biar suam. Hidangkan bersama sos kegemaran anda.


Tuesday, September 10, 2013

Surah Al Mulk Dengan Terjemahan Bahasa Melayu


Surah Al Mulk wajar dijadikan bacaan amalan  kita semua.  Bukan sekadar membacanya, fahami juga terjemahan dan ajaran yang terkandung dalam surah  ini.

Sesungguhnya janji Allah itu pasti,  balasan azab bagi manusia yang mengingkari perintahNya dan menafikan kekuasaanNya.  Balasan nikmat berkekalan bagi hambaNya yang patuh kepadaNya.

Maha Suci Allah Tuhan Pencipta Alam.

Saturday, August 31, 2013

Selamat Pengantin Baru Zati dan Zodie

Dalam keluarga Abah sudah 5 anak buah mendirikan rumahtangga, sudah 5 kali kenduri. Semua anakbuah yang berkahwin sebelum ini adalah pengantin lelaki atau "mapelei" kata orang Penang.  Jadi perkahwinan Izzati pada 17 Ogos lalu merupakan yang pertama bagi anakbuah perempuan.  Pengantin perempuan atau "ponnu" bertemu jodoh dengan Zodie yang berasal dari Kota Damansara.

Majlis dimulakan dengan majlis akad nikah pada 16 Ogos di Masjid Salman Al Farishi, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.  Majlis bermula pada jam 5.30 petang. Dengan sekali lafaz sahaja Zati dan Zodie disahkan sebagai suami-isteri. Syukur alhamdulillah.

Debar menunggu tangan digoncang oleh Tok Kadhi

Sah sudah ikatan sebagai suami dan isteri

Pada sebelah malam, kami bertolak ke Hotel Amanpura yang terletak di bandar Sungai Petani. Semua adik-beradik berkumpul dibilik khas untuk mengisi "goodies" yang akan diedarkan kepada tetamu esuk hari serta menyiapkan bunga pahar untuk pelamin. Dalam suasana santai dan penuh gurau-senda, sekejap sahaja semua kerja dapat dilaksanakan.

Dalam kotak ada BOH Tea dan butter cake

Si kecik ni pun turut sibuk menyusun hadiah

Majlis walimatul-urus di Perdana Ballroom, Hotel Amanpura mula berjalan pada jam 12 tengahari pada 17 Ogos.  Seperti biasa, majlis ini amat bererti dalam mengukuhkan ikatan silaturrahim sesama sahabat handai, jiran tetangga dan saudara mara.  Inilah masanya dapat "update" pelbagai maklumat mengenai siapa yang sudah dapat cucu, siapa yang nak dapat menantu, siapa yang sihat, siapa yang sakit, siapa yang nak tunaikan haji, siapa yang dah balik umrah, siapa yang nak berpindah rumah dan sebagainya.  Memang seronok sangat suasana berhimpun beramai-ramai begitu.

Pertemuan 3 generasi ... datuk nenek, ibu dan cucu ... tapi semua
 nenek ni ganteng lagi

Sepupu pengantin perempuan ... giliran siapa  pulak selepas ini

Nenek saudara pun turut hadir meraikan perkahwinan cucu ...
walaupun semua sedang uzur

Buat Zati dan Zodie, Makda ucapkan selamat pengantin baru.  Bersedialah melayarai bahtera perkahwinan. Jadikan hukum agama sebagai pedoman untuk membentuk kehidupan bekeluarga yang harmoni. Semoga jodoh kalian berkekalan sehingga ke syurga. Ameen

Sunday, August 25, 2013

Riang Ria Aidil Fitri - Perak

Pada hari raya ke-3, 4 dan 5 aku sekeluarga berkumpul di rumah Emak di Perak.  Seronoknya berhimpun 7 beradik dengan pasangan dan anak  masing-masing.

Dapur tak pernah kosong, sentiasa berfungsi.  Bangun pagi dengan sarapannya,  pukul 10 dah berkumpul untuk persediaan lunch pulak. Pukul 3 dah sibuk memikir juadah untuk minum petang pulak. Cuma malam agak selesa kerana memanaskan semula baki lauk tengah hari tadi. Semua dah tak mau makan lemang atau makanan khas untuk hari raya. Semua dah rindu sambal tumis petai, ikan masin, sambal dan ulam, asam pedas, gulai tempoyak.  Hrm tetapi kerana rakyat jelatanya ramai, jumlah dimasak macam nak kenduri ... huhuhuhu.

Tetapi jumlah kami semakin berkurang apabila ada yang mula berangkat pulang pada hari ke-3 dan ke-4. Ada yang nak beraya di rumah sendiri, ada yang perlu mula bekerja, ada yang nak ke rumah mertua.  Apa pun pertemuan yang sekejap sudah cukup mengubat kerinduan lama tak bertemu.

Halaman rumah emak sentiasa terjaga rapi - itulah terapi bagi
Emak,  bermanja dengan pokok bunga pelbagai jenis

Makan-makan, sembang-sembang ... makan lagi dan seterusnya

Pakcik Hazrin  jadi tuan rumah untuk menu Kelantan ...
nasi kerabu biru yang lazat.  Terimakasih Makcik Ida, memang superb



Wednesday, August 21, 2013

Riang Ria Aidil Fitri - Pulau Pinang

8 - 9 Ogos 2013

Aidil Fitri ini disambut 2 hari di Pulau Pinang.  Kami sekeluarga menziarah keluarga Abah di Jelutong dan Sungai Ara serta menerima pula kunjungan tetamu yang terdiri dari ipar-duai, sepupu dan teman pejabat bersama keluarga masing-masing. Memang seronok bertemu sesekali begitu. Banyak cerita nak dikongsi, banyak pula makanan nak disuap.  Mujurnya sepanjang 2 hari tersebut trafik di Pulau Pinang agak terkawal, jambatan pun tak jammed.   Agaknya ramai perantau balik ke kampung masing-masing.

Tema tahun ini - warna keemasan. Diharap tahun-tahun yang mendatang
hidup kita semua dilimpahi dengan rahmat Allah

Berkunjung ke rumah satu-satunya bapa saudara Abah yang masih hidup -
Tok Din.  Ini merupakan agenda wajib setiap tahun kami membawa
anak-anak melawat  saudara tua yang dikasihi dan dihormati

Puteri Bongsu sibuk menyediakan minuman untuk tetamu

Kunjungan sepupu dari Melaka yang kembali berhariraya ke Pulau Pinang

Kunjungan teman sepejabat

Kunjungan pak penakan sulong dari Sungai Petani


Kerinduan Pun Bertandang


Baru aja aku selesai membaca buku ni.  Buku yang ditulis oleh Dr Asordin Ramli Al-Farid ini memaparkan kisah-kisah silam sekitar tahun 60an yang penuh nostalgik, lucu, ilmiah dan berunsur sejarah.  Dalam buku setebal 112 mukasurat ini turut diselitkan dengan pelbagai ilustrasi yang menggambarkan suasana ketika itu.

Apa yang amat menariknya, buku ini ditulis dalam lenggok bahasa orang daerah Perak Tengah atau orang Parit yang sangat pekat. Pembaca yang berasal dari luar daerah ini mungkin menghadapi kesukaran memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis.

Sepanjang membaca buku ini aku asyik tergelak, tersenyum dan sesekali menangis mengingati keindahan masa lalu.  Memandangkan aku juga dilahirkan di persekitaran yang dinyatakan dalam buku ini, membacanya seolah-olah membawa aku menonton cerita flashback.  Aku diingatkan semula dengan Sungai Perak yang indah, Pekan Parit yang dulunya meriah, zaman kenakalan anak-anak kampung yang kini menjadi manusia yang berjaya, hubungan kemanusiaan yang erat sesama masyarakat setempat dan sebagainya.

Aku amat merindui masa lalu yang indah. Apakan daya, masa itu tak akan berulang kembali, ramai kenalan sekapung sudah menghilang diri atau kembali menemui Ilahi.  Kita yang masih hidup ini perlu meneruskan kehidupan,  memanafaatkan setiap detik dengan sebaik-baiknya.

Sekarang aku menunggu Siri Ke-2 Labun-Labun Oghang Paghit diterbitkan.  Bila agaknya yer??

Tuesday, August 6, 2013

Wali Band ~ Ya Allah



Setiap kita pernah, sedang atau akan ditimpakan ujian.  Tak kiralah ujian dalam bentuk apa sekalipun, samada ujian malapetaka, penyakit berat, krisis rumahtangga, kehilangan sumber rezeki atau diuji dengan harta melimpahruah, pangkat tinggi melangit, kuasa dalam genggaman atau macam-macam lagi. Kadang-kadang tak terfikir pun adanya ujian yang pelik-pelik untuk kita hadapi.

Tapi perlukah kita mengeluh?  Memang sebagai manusia biasa hati kita lemah, iman kita tipis. Kadang-kadang hati akan jadi gundah, lidah akan bertanya kenapa, mata akan menangis tak berhenti.  Tetapi cepat-cepatlah beistifar.  Allah tidak akan menguji kita melainkan kerana Dia amat mengasihi kita.  Mungkin sebelum ini kita lalai, lalu ditimpakan sedikit musibah supaya kita tersedar. Supaya kita cepat-cepat muhasabah diri, bertaubat atas keterlanjuran dan memohon keredhoanNya.  Kita jadi semakin dekat dengan Allah, kita tumpahkan semua airmata dan kegelisahan hati kita hanya kepada Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.

Mungkin dengan ditimpakan musibah kita cepat menginsafi kekurangan diri. Kita makin mendekatkan diri kepada Allah, melipatgandakan amalan kita. Bukankah janji Allah, orang-orang yang bersabar menerima dugaanNya akan dikurniakan ganjaran pahala yang tinggi dan digugurkan dosa-dosa?  Bukankah itu tanda Allah amat menyayangi kita?

Semoga kita semua tabah menghadapi apa jua dugaan yang mendatang.

Abah dan anak-anak ku ... Mama sedang memujuk hati sendiri, begitu juga Mama harapkan pada kalian.

Sunday, August 4, 2013

Iftar Keluarga - 2 Ogos 2013

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, acara berbuka puasa bersama-sama memang menjadi agenda penting keluarga Abah.

Pada malam 24 Ramadhan kami berkumpul lagi.  Seperti biasa di rumah abang sulung Abah,  Encik Abdul Ghani atau  sinonim dengan panggilan Pak Tua.  Kami cuba mengumpul seramai yang mungkin kecuali anak buah yang berada jauh di perantauan.

Apabila dah berkumpul, suasana jadi riuh rendah. Semua nak buka cerita, semua nak menyampuk.  Suasa di dalam dan di luar rumah penuh dengan hilai ketawa.  Kaum ibu masing-masing menunjuk bakat dengan juadah buatan sendiri dan juadah dari pasar Ramadhan... hehehhehhe.  Yang pasti semua senang hati dapat menyumbang.

Dengan bacaan doa Cikgu Danial kami mejamu selera mensyukuri rezeki yang Allah kurniakan.  Nikmat makan berjemaah begini memang tiada tandingannya.  Tentu roh arwah ibu-bapa Abah bahagia melihat ikatan ukhuwah yang erat kalangan anak cucu mereka.  

Dalam keriangan itu rasa sayu dalam hati memikir dan mengharap bahwa ikatan silaturahim yang indah ini akan dipanjangkan oleh anak-anak dan cucu-cucu kami kelak .... ameen.

Hidangan berbuka - macam-macam ada
Mulakan dengan bismillah, akhiri dengan alhamdulillah ... nikmati rezeki Allah

Sesi membalut ketupat pulak
Sambung makan kuih dengan kopi kampung pulak

Adam ... cucu yang jadi tumpuan 

Thursday, July 18, 2013

Selamat Pengantin Baru -2


4 Mei 2013

Minggu berikutnya majlis kenduri pihak lelaki pula diadakan di Dewan PERDA, Bukit Mertajam.  Majlis yang bermula jam 12 tengah hari berjalan dengan meriahnya sehingga jam 5 petang.  Walaupun besuk adalah hari mengundi, tetapi tetamu jauh dan dekat tetap hadir meraikan mempelai.

Keluarga Fiza  dari Keratong 2 tiba dengan sebuah bas dan 2 buah kereta.  Alhamdulillah, selesai sudah majlis yang dirancang begitu lama dengan pelbagai dugaan dan rintangan.  Semoga Amirul dan Fiza telah bersedia untuk memegang tanggungjawab besar sebagai suami isteri. Sentiasa kembali kepada hukum Allah bila berlaku sebarang pertikaian, insyaalalh akan ada jalan keluar dan akan mendapat keberkatan dan kebahagian sehingga ke akhir hayat. Ameen

Selamat pengantin baru

Sepupu pengantin lelaki - Penang mari
Buah tangan untuk tetamu

Senyum gembira pak saudara bersama Ustaz Marzuki (Tanyalah Ustaz)

Menu mami tanjung - nasi beriyani + dalca ayam + daging hitam + ayam goreng rempah
+ acar buah  + bubur kacang + mee udang

Keluarga pengantin lelaki - tersenyum lega majlis selesai dengan jayanya

Wednesday, July 17, 2013

Selamat Pengantin Baru -1

Maaf Amirul dan Fiza.  Dah berbulan-bulan hangpa berkahwin, baru hari ni Makda jadi rajin nak tulis kat blog ni. Tak tau ler, penyakit malas yang luar biasa.  Apa pun, kita catit ringkas-ringkas jer perjalanan Makda sekeluarga  menghadiri walimatulurus kedua-dua belah pihak.

27 April 2013

Kami 5 beranak memulakan perjalanan dari Puchong melalui Lebuhraya Utara-Selatan terus keluar exit Senawang.  Dari Senawang perjalanan kami melalui beberapa pekan kecil di Negeri Sembilan. Pukul 12 kami berhenti makan tengah hari di pekan Kuala Pilah.  Sedap juga keli masak lemak cili padi, sambal tumis udang petai,  pucuk paku lemak cili padi dan ikan masin.  Kebanyakan menunya lemak cili padi ... ayam, udang, paru, beberapa jenis ikan dan sayur semua dimasuk lemak cili padi.  Hrmm tapi sedap, alhamdulillah.

Seterusnya kami melalui pekan Bahau dan Serting sebelum memasuki jalanraya yang lurus menuju Bandar Tun Razak dan Bandar Muazam.  Mujurnya kami dah mengisi minyak dan perut di Kula Pilah kerana sepanjang jalanraya lurus itu tidak kelihatan pun stesen minyak dan kedai menjual makanan. Di kiri-kanan jalan hanyalah ladang kelapa sawit yang luas melaut.  Walaupun jalan lurus tetapi Kak Ngah (pemandu kami sepanjang perjalanan ini) perlu  berhati-hati sebab banyaknya lori yang dipandu laju di laluan ini. Fuhhh tak berhenti-henti aku mengurut dada dan beristifar kerana cemas melihat lori yang larinya bagai dikejar hantu.

Kami tiba di Bandar Muazam Shah tepat jam 2 petang dan terus check-in di sebuah homestay. Gerombolan dari Pulau Pinang menyewa 3 buah homestay untuk 7 buah kereta.  Ada yang tiba awal dan ada yang tiba lewat petang sebab datang tidak berkonvoi.

Semoga jodoh berkekalan hingga ke Syurga ... ameenn


Rombongan wanita Penang

Selepas maghrib kami bertolak ke Masjid Keratong 2 untuk majlis akad nikah.  Majlis berjalan secara mudah dan teratur. Dengan sekali lafaz saja Fiza sah menjadi isteri Amirul ... alhamdulillah.  Seterusnya jamuan makan malam diadakan di hadapan rumah Fiza, Aku perhatikan warga Keratong 2 bergotong-royong menyajikan juadah malam itu yang terdiri dari gulai ikan, ikan goreng, buncis goreng, masak lemak labu, sambal dan ulaman serta bubur kacang.

28 April 2013

Pagi-pagi aku dan Abah keluar mencari makan pagi. Jumpa gerai jual nasi lemak berhampiran stesen bas Bandar Muazam. Lepas tu kami pusing-pusing Bandar Muazam, tak banyak kedai dan bangunan komersil pun. Tapi infrastruktur lengkap dengan Balai Polis, Bomba, JPJ, hospital, sekolah menengah dan rendah, sekolah teknik, MRSM, Politeknik dan kampus cawangan UNITEN.

Pukul 12 kami bertolak ke Keratong 2 untuk majlis kenduri dan bersanding.  Memandangkan perut lapar dan lauk pun sedap-sedap tengah hari ni, kami makan dengan penuh selera. Sempat lagi minta nasi dan air minuman tambah. Aduh pelahap betul rombongan dari Penang ni ... hehehheh.

Tidak sabar untuk menjamu selera

Selepas makan, bersanding dan bergambar, rombongan kami berpecah mengikut progranm masing-masing. Ada yang balik terus ke Penang, ada yang menetap semalam lagi, ada yang bertolak ke Kuala Lumpur. Kami sekeluarga bertolak ke Gambang.

renjis-renjis dipilis, duduk bersanding atas pelamin

Perjalanan dari Bandar Muazam ke Gambang juga dipenuhi oleh lori-lori yang bergerak laju.  Aku tak suka betul laluan ni.  Alhamdulillah setelah 1 jam perjalanan yang memenatkan, kami tiba Bukit Gambang Resort City untuk menginap malam ini.

Setelah berehat, mandi-manda dan solat,  kami bertolak pula ke Kuantan. Destinasi kami ialah ke Pantai Telok Chempedak.  Sepanjang jalan banyak sungguh poster pilihanraya.  Yang kreatifnya ada poster yang dibentuk seperti  struktur kapalterbang, kapal selam, kereta kebal dan paling sadis seperti cincin First lady .... whoaaaa!!!

Sebetulnya hari ni amat tidak sesuai untuk masuk ke Kuantan, maklumlah hari minggu. Jalanraya sesak, Pantai Teluk Chempedak penuh dengan manusia. Nak lepak-lepak pun tak ada tempat kosong.

Di Pantai Teluk Chempedak, banyak batu-batu besar bersusun berbentuk macam biji cempedak

Setelah hari gelap, kami menuju ke Tanjung Lumpur untuk makan malam. Punyalah banyak kedai menjual seafood, tak tau nak pilih yang mana satu.  Akhirnya kami singgah di sebuah kedai yang tidak begitu ramai pelanggan.  Menu malam ni siakap kukus, kailan ikan masin, sup cendawan seafood, sotong celup tepung dan telur masak bistik. 

28 April 2013

Pukul 11 kami check-out dan bergerak menuju ke Karak.  Satu insiden memualkan berlaku. Satu konvoi motosikal besar bergerak di highway tersebut dan mengarahkan semua orang memberi laluan dengan bergerak rapat ke kiri jalan.  Ramai yang memberi laluan dengan masuk ke laluan kiri. Masih tak puas hati, kami suruh memandu rapat sampai ke gigi jalan. Ini sudah lebih. Siap toleh-toleh macam marah dekat kita pulak. Kalau ambulan ke, bomba ker layaklah diberi layanan VIP. Ini entah sapa-sapa, tol pun tak pernah bayar, nak eksyen. Astagafirrullah hal azim, berilah kami semua petunjuk agar tidak menjadi manusia yang bongkak.

Bukit Gambang Resort City, setakat bermalam aja, tak sempat bermain di water park

Kami singgah ke Kampung Janda Baik untuk makan tengah hari. Banyak kedai makan yang ditutup.  Udara di sini sangat dingin. Tetapi keinginan untuk melihat rumah-rumah cantik seperti resort yang sering ditunjukkan di kaca TV tak  kesampaian, mungkin rumah-rumah tersebut dibina agak jauh dari jalanraya.

Setelah puasa makan dan berehat, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghantar Kak Long ke rumah sewaannya.

Friday, July 12, 2013

Akhirnya Berpisah Jua

Puteri Bongsu dah berumur 18 tahun. Tapi bagi aku dia tetap baby. Tetap aku nak pantau apa dia buat. Dah makan ker? dah mandi ker? dah solat ker? buat apa dalam bilik sorang-sorang?  Aku tau memang dia rimas dilayan begitu. Abah pun selalu ingatkan aku supaya beri ruang privasi pada dia. Dia dah besar, dah remaja. Beri dia peluang atur perjalanan hidup seharian selari tak lari dari norma hidup seorang muslimah. Tak perlulah nak kepung dia macam baru bertatih dulu.

Mama doakan yang terbaik untuk adik ... luv u so much


Fine!! memang aku terbawa-bawa melayan dia begitu. Agaknya sebab dia yang bongsu, perhatian aku kepadanya over sikit. Aku cuba tarik nafas panjang-panjang,  lepas pelan-pelan, dan ingatkan diri aku supaya relaks sikit.  Bukan ajer Puteri Bongsu yang rimas, kakak-kakak dia pun naik jeles. Ohhh!! ini tidak baik untuk perhubungan kami sekeluarga .... ingat tu Mama!!!, aku mengingatkan diri sendiri.

Tapi aku terpaksa terima kenyataan bahawa aku terpaksa biarkan dia berdikari 100% apabila Puteri Bongsu ditawarkan melanjut pelajaran ke Kolej Poly-tech MARA di Ipoh pada 24 Jun lalu.  Mula-mula tu tak terasa sangat. Tetapi semakin hampir tarikh tersebut, semakin sayu rasa hati.  Aku yang pack barang-barang dia. Aku yang check semua dokumen dia. Malahan sehari sebelum mendaftar aku potong kuku tangan dan kakinya.  Dia pun apa lagi,  memang ambil peluang keemasan ni. Kakngah mencebik mulut aje tengok perangai kami.

Kami tiba di KPTM Ipoh yang terletak di Greentown pada pukul 10 pagi.  Tatacara pendaftaran mengambil masa kira-kira sejam sebelum kami bertolak ke asrama yang terletak di Rapat Setia. Jauh juga rasanya. Tetapi aku tak risau sangat sebab KPTM menyediakan bas untuk pelajar berulang-alik.

Setelah makan tengah hari, kami bantu Puteri Bongsu mengemas locker.  Dorm yang luas didiami oleh 20 orang pelajar (10 katil double decker).  Setiap pelajar diberi katil, tilam, locker, meja dan kerusi untuk study. Tandas dan bilik air terletak dalam dorm. Ada 3 tandas dan 6 bilik air dan dapur (kosong jer dapurnya).

Pukul 5 petang tibalah masa untuk kami bertolak balik.  Puteri Bongsu memeluk aku erat dan lama sekali sambil nangis  tersedu-sedu. Dah tentulah Mama ni sama naik sedunya.  Tinggallah sayang. Belajarlah bersungguh-sungguh. Capai kejayaan tertinggi dalam pelajaran.  Berkawanlah dengan orang yang baik-baik. Jangan sesekali ponteng solat.  Jaga pekerti dan tingkahlaku.  Macam-macam doa dan pesanku. Semasa kereta bergerak meninggalkan asrama aku lihat Puteri Bongsu dah berlari masuk ke dorm. Pandangan mata aku sendiri kelam digenangi airmata.


Sunday, June 30, 2013

Setelah 3 Bulan

Ya ampunnn ... mungkin itu kata Bibik Rukiah kalau dia tau aku dah begitu lama buat pekasam blog aku ni.  Bukan tak ada cerita, bukan tak ada kisah, tapi aku berat sungguh nak ngadap blog ni.  Kadang-kadang dah buka laptop, termenung lama-lama tengok skrin kosong tu, terus tutup balik.  Esuk pun macam tu juga.

Senang cakap tak ada MOOD!!!

Hari ni aku tekadkan hati.  Mulai hari ni aku akan tulis balik semua cerita yang dah tertinggal sejak 3 bulan lepas, sebelum memori hilang .... astagafirullahhal azim.

Bukannya apa, esuk-esuk blog ni ler nak jadi rujukan anak-cucu nak mengenali aku. Dari blog ini la mereka boleh tau cerita-cerita yang melibatkan ibu-ibu mereka.  Jadi aku tak boleh berhenti setakat ini saja.

JANJI AKAN DITEPATI!!!!!

Wednesday, March 27, 2013

Kalaulah Ada Di Depan Mata ....

Panas seminggu ni memang terik yang amat.  Kipas berputar tahap maksimum. Air-cond tua tu pulak mengaum bila suhu diturunkan ke tahap terendah.  Wooo ... tak tahan lor,  siang hari suhunya 34 celcius, malamnya 31 celcius.  Waktu subuh pun air keluar dari paip terasa suam.

Bila solat, masuk rakaat ketiga, peluh dah mula meleleh. sSelesai aje solat, baju basah lencun.  Itu belum buat kerja rumah. Kalau mengemop lantai, kira aku jenuh mop peluh yang menitik. Kalau memasak, risau pulak peluh jatuh menitik dalam periuk.

Kiranya bulan ni, Abah memang mengeluh tengok bil letrik dan bil air yang naik mencanak.  Nak buat macamana, kalau dulu mandi 3 kali sehari, sekarang dah 6 kali sehari.

Subhanallah ... Engkau Yang Berkuasa atas segalanya, mengatur kejadian alam seperti kehendakMu.  Bersyukurlah kita tidak diduga musibah yang lebih teruk seperti gempa bumi, kemarau panjang, ribut taufan mega, wabak penyakit dsbnya. Semoga Allah melindungi kita semua.

Bila panas-panas begini, mulalah teringat pada keenakan berikut :-

Air sarbat selasih atau sarbat tingkat Penang Road (kredit gambar http://orangkecilorangbesar.blogspot.com)

Ais kacang spesel  (kredit gambar http://www.hanshanis.com)

jus mangga (kredit gambar pemilik blog di atas)
laicikang sejuk (kredit gambar http://belogkelasiku.blogspot.com)
Ais limau asam boi (kredit untuk pemilik gambar  blog di atas)