Wednesday, July 8, 2009

Kematian (2)

Inilah kematian yang sangat mendera perasaan aku.

Aku dan Arwah Apak tidak begitu rapat. Apak sangat pendiam orangnya. Susah nak mengagak samada dia gembira atau marah atau sedih. Selalunya Mak yang menjadi posmen bila kami memerlukan duit, bila kami nak membeli sesuatu barang.

Tapi satu yang pasti, aku tau Apak sangat penyayang orangnya. Aku tak pernah sekalipun dihampakan permintaan. Walaupun mungkin permintaan aku itu terlalu berat untuk Apak tunaikan, maklumlah dengan gaji sebagai Guru Penolong Kanan sekolah rendah dengan 7 anak yang sedang membesar. Apak tidak pernah merungut di depan kami, dia akan usahakan. Bila mengenang itu semua, aku jadi terkilan, sebak dan berdosa .. mungkin aku telah membebankan hidup Apak. Oh Tuhan, ampunkan dosa aku.

Aku sempat berada sepenuh masa dengan keluarga sehingga darjah 6 sahaja sebelum melanjutkan pelajaran ke sekolah berasarama penuh selama 6 tahun (sehingga Tingkatan 6 Rendah sahaja), UiTM selama 3 tahun dan seterusnya bekerja jauh dari kampung. Perpisahan ini menyebabkan aku jadi makin renggang dari keluarga, tambahan lagi sewaktu tahun 70an-80an dahulu hanya surat jadi penghubung aku dan keluarga. Telefon bimbit tidak ada, telefon rumah pun hanya ada pada tahun 1984.

Aku bekerja pada pertengahan tahun 1984. Gaji pertama aku serah pada Mak untuk dibahagi bersama Apak. Tapi Apak tidak mahu menerimanya, sebaliknya menyuruh aku menyimpannya untuk keperluan masa sesak. Cuma apabila didesak oleh Mak, barulah Apak menerima wang aku dan dibelikan baju batik dan kasut hitam untuk menghadiri Majlis Konvokesyen ku. Apak nampak segak berbaju batek lenga panjang. Itulah sahaja duit aku yang digunakan oleh Apak.

Pada 15 Februari 1985 aku dikejutkan dengan berita kematian Apak akibat serangan jantung yang pertama. Waktu itu Apak baru sahaja seminggu menamatkan perkhidmatan sebagai Guru Penolong Kanan. Allah memperkenankan hasrat Apak "lepas pencen ni nak berehat puas-puas, dah lama kerja berpuluh tahun". Tragik sekali Apak tak sempat langsung merasa hasil penat-lelahnya, tidak sempat menerima pencen, tidak sempat menerima gratuity, tidak sempat menunaikan hajat nak ke Tanah Suci selepas pencen.

Mak jadi orang yang paling menderita. Selama ini Mak begitu dimanjakan oleh Apak, tidak pernah ke pasar, tidak pernah membeli barangan dapur, tidak pernah tahu urusan membayar bil. Adik aku yang bongsu juga menerima kesan yang amat ketara. Pada usia 9 tahun, dia jadi begitu perengus dan asyik memberontak. Pertembungan emosi yang kacau antara Mak dan Adik menyebabkan kedua-dua sering makan hati. Aku dan adik-adik yang lain cuba untuk menjadi pendamai.

Apak...kami telah cuba menjadi anak Apak yang berbakti. Kami tidak hampakan usaha Apak. Alhamdulillah semua anak Apak menjadi manusia, berjaya dalam pelajaran. Semua mempunyai kehidupan yang stabil serta keluarga yang bahagia. Semua anak Apak nampaknya tidak lari dari pegangan Islam, sebagaimana teladan yang Apak tunjukkan. Dan kini kami berusaha terus membahagiakan Mak yang telah berusia 71 tahun.

Dan kami tidak pernah lupa Apak. Setiap solat, doa untuk Apak sentiasa kami titipkan. Semoga Apak bahagia di sana. Ameen.

No comments: