Thursday, December 30, 2010

Syabas Syabas Syabas

arkitek kemenangan Msia kali ini - K Rajagobal

Barisan pemain Malaysia vs Indonesia : (Berdiri dari kiri) Mahalli, Safee, Nurshahrul Idlan, Amirulhadi, Fadlhi, Khairul Fahmi (GK), Muslim (Duduk dari kiri) Amar, Asharuddin Putra, S. Kunanlan, Safiq
(gambar pinjaman dari blog http://gazza-worlds.blogspot.com)

Bravo bravo ... sejak semalam sampai pagi ini mood begitu ceria. Rasa seronok yang teramat sangat. Kenapa tu? Apa lagi kalau bukan disebabkan kemenangan bergaya Malaysia ke atas Indonesia dengan agreget 4-2 dalam Piala Suzuki AFF 2010. Bukan aku seorang berperasaan begitu, tetapi satu Malaysia meraikannya. Malah PM Dato Seri Najib yang turut gembira dan bangga dengan kejayaan tersebut menghadiahkan cuti umum kepada rakyat Malaysia pada 31 Disember 2010. Woo .. hebat tu.

Buka sahaja TV, radio, akhbar, laman web, Facebook atau Twitter .. semua bercakap perkara yang sama. Kenapa begitu havoc sekali??? Bukan juara dunia, bukan juara Asia .. juara Asean je!!! Tak kiralah, juara apa pun. Kita meraikan kemarau 14 tahun tak pernah merasa menjadi johan. Malah untuk masuk final pun susah. Rakyat Malaysia merindui kegemilangan bolasepak kita pada era "Mokhtar Dahari and gang". Waktu itu Malaysia sentiasa duduk di tangga teratas bolasepak Asean .. malah dalam barisan pasukan Asia pun kita menjadi pasukan yang digeruni. Nama-nama pemain handalan Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Arumugam, Isa Bakar, Namat Abdullah dan lain-lain sentiasa basah di bibir peminat.

Jadi tidak hairan apabila sekian lama kita merindui pemain berwibawa seperti mereka. Apa yang diharapkan semangat tersebut tidak habis setakat ini sahaja tapi akan berkekalan. Yang penting pemain mesti fokus dan mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak begitu mendedahkan diri kepada dunia glamor yang mengganggu prestasi mereka. Pemberian ganjaran juga perlu dilakukan secara bijaksana supaya pemain tidak menjadi permainan bolasepak sebagai kerjaya komersial sehingga hilang jati diri untuk bermain sebagai rakyat Malaysia yang sejati.

Ucapan syabas yang tidak terhingga buat para pemain samada yang menyumbangkan gol, penjaga gol, penyerang atau pertahanan yang bermandi peluh mempertahankan maruah negara. Syabas juga kepada Jurulatih yang sentiasa mencari formula terbaik untuk berjaya dan sentiasa tabah menghadapi tekanan untuk memastikan kejayaan negara. Syabas kepada pemimpin negara yang sentiasa memberi sokongan moral dan semangat padu kepada semua pemain. Dan syabas kepada kita semua yang mempamirkan semangat patriotik yang begitu tinggi dan memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada pasukan negara.

Cuma ruginya bagi orang pencen seperti aku .. esuk cuti am .. tetapi aku memang sentiasa bercuti pun .. heheheh

Monday, December 27, 2010

Perlis Indera Kayangan

Sudah 2 tahun aku tidak menjejakkan kaki ke Perlis Indera Kayangan. Terasa rindu hati ini. Perlis umpama kampung halaman ku juga. 5 tahun bermastautin di sana sebagai pelajar menyebabkan aku jatuh sayang kepada negeri paling utara di Semenanjung Malaysia ini.

Aku pun tidak pasti apa yang menyebabkan hati ku tersangkut kepada negeri ini. Mungkin keindahan alam semulajadinya (Gua Kelam, Tasek Timah Tasoh, Tasek Melati, Kuala Perlis), kedamaian kehidupannya, makanan yang enak (mempelam pelbagai jenis, laksa, nasi ganja), penduduk yang peramah, tempat shopping barangan murah (Padang Besar dan Wang Kelian) atau mungkin juga nostalgia kenangan manis aku di sana dahulu. Tetapi yang amat pasti, setiap selang setahun .. aku akan ke sana semula.

Semalam aku ke sana bersama Abah dan Puteri Tengah. Cuaca amat baik, panas tetapi tidak begitu terik. Perjalanan kami melalui Lebuhraya Utara Selatan. Kami singgah di Changlon untuk minum cendul pulut dan makan cucur jagung. Nak makan tengah hari, masih terlalu awal .. baru jam 11 pagi.

Dari Changlon kami masuk pula ke Lebuhraya Changlon-Kuala Perlis. Di pertengahan jalan, kami kemudiannya mengambil laluan ke arah Padang Besar. Di sebelah kanan kelihatan kampus utama Universiti Malaysia Perlis yang sedang dalam pembinaan. Kampusnya kelihatan luas sekali. Banyak bangunan yang telah siap dan mungkin akan diduduki tidak lama lagi.

Jalan ini merupakan laluan yang paling aku sukai. Pemandangannya begitu indah. Dari kejauhan kelihatan bukit-bukit batu kapur yang berceracak membentuk lanskap yang sangat indah. Di satu bahagian lagi kelihatan ladang tebu Chuping yang menghijau saujana mata memandang. Tiba-tiba aku teringat drama bersiri "Little House On Prairie".

bukit batu kapur melatari bumi Perlis

panaih lit-lit - mata pun tak boleh nak buka

umpama kawasan prairie .. saujana mata memandang

Tiba di Padang Besar kami membelok ke arah Kangar. Kali ini kami tidak singgah di Padang Besar, kerana kebiasaannya semasa cuti sekolah begini pengunjung yang datang begitu ramai. Bersesak-sesak dan menyukarkan untuk membeli-belah. Kami menggunakan laluan Jalan Abi untuk ke Kangar. Di sepanjang jalan kami terpaksa memperlahankan kenderaan kerana terdapat lebihkurang 6 kenduri kahwin. Begitu meriah kenduri pada musim sekolah begini.

Kami singgah di Masjid Padang Melangit untuk solat. Kenapa namanya "Padang Melangit"? Aku akan cuba mencari jawapannya ... mesti ada cerita istimewa di sebalik nama tersebut. Masjidnya cantik dan bersih sekali.

Seterusnya kami menuju ke sekolah lamaku yang terletak di Behur Pulai (satu lagi nama yang agak pelik dan akan aku cari asal-usul nama ini). Kami berhenti di pintu masuk sekolah ini untuk bergambar. Di sekolah inilah dulu aku bermastautin selama 5 tahun menuntut ilmu. Sudah bagitu jauh berubahnya sekolah ini. Semasa aku mula belajar dulu, umur sekolah ini baru 3 tahun. Setelah 3 dekad, berbagai perubahan dapat dilihat. Tetapi aku masih kenal padang sekolah tempat kami bersukan, dewan tempat perhimpunan, bangunan sekolah tempat kami belajar dan makmal tempat kami menjalankan kajian sains. Ohhhh ... kenangan itu. Hampir saja gugur air mata aku bila terkenang semula perjalanan hidupku di sini. Memang indah!!!

Seterusnya kami mula mencari tempat makan. Hajat hati hendak bersantap di Anjung Keli yang terkenal dengan keenakan masakan ala kampungnya. Malang sekali restoran ini ditutup pada hari ini. Kami kemudiannya singgah makan di salah sebuah kedai yang terletak berhampiran kawasan tersebut. Memandangkan jam sudah pukul 3 petang, semua lauk yang enak telah habis. Jadi kami makan sahaja apa-apa lauk yang masih terdapat di situ.

tempat melahirkan anakbangsa cemerlang di bumi bertuah

Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis. Trafik ke arah pekan dan jeti Kuala Perlis begitu sesak dengan kenderaan. Tidak mahu mengambil risiko tersangkut dalam kesesakan tersebut, kami beredar memasuki jalan pantai ke arah Kuala Sanglang. Di sebelah kiri adalah kampung nelayan dan di sebelah kanan adalah lautan yang luas. Sungguh nyaman melalui jalan ini dengan memandu perlahan sambil menjamu mata.

pemandangan damai di Kuala Perlis

ketenangan jalanraya dari Kangar menuju Alor Setar

Dari Kuala Sanglang, kami bertolak ke arah Alor Setar. Di pertengahan jalan kami terlihat anak panah menunjuk ke arah Muzium Padi dan Pusat Sains Negara Wilayah Utara yang terletak di kawasan pelancongan Gunung Keriang, Kedah. Kami menuju ke Pusar Sains dahulu. Tidak begitu banyak barang dipamerkan dan masih banyak ruang kosong yang belum diisi. Pusat ini baru sahaja dirasmikan pembukaannya pada 1 Mac 2010.

beraksi dengan mural yang cantik - konon duduk dalam hutan

saintis dengan ujikajinya

Cadangan kami untuk ke Muzium Padi terbantut kerana waktu lawatan telahpun berakhir. Insyaallah, kami akan ke sini lagi pada masa akan datang ... banyak lagi tempat menarik yang belum sempat dilawati.

Sunday, December 26, 2010

Yang Ditunggu Dah Tiba


Tidak sangka sama sekali. Aku mendapat kereta ini dalam tempoh 2 bulan dari tarikh tempahan dibuat. Mulai 23 Disember 2010, Inspira 1.8E menjadi milik aku sekeluarga.

Pengalaman lalu menyebabkan aku berasa waswas semasa membuat tempahan tempoh hari. Pada tahun 2000, kami membuat tempahan untuk Waja 1.6 warna biru. Kami terpaksa menunggu 9 bulan sebelum kereta tersebut secara rasmi berada di "porch" rumah kami. Kalau mengandung, sampai selamat beranak barulah boleh memandu Waja tersebut.

Tetapi kali ini Proton menepati janjinya bahawa penghantaran akan dibuat sebelum akhir tahun 2010. Kereta ini dikatakan sebagai klon kepada Mitsubishi Lancer ini dilancarkan pada 14 Oktober 2010 dan tempahan kami buat pada 16 Oktober 2010. Anak-anak memilih warna merah untuk kereta kami yang keenam ini. Kereta sebelum ini berwarna putih dan biru sahaja. Biar nampak garang, kata mereka.

Alhamdulillah kerana kasih sayang Allah Ya Rahman Ya Rahim memberikan kami rezeki yang membolehkan kami mendapatkan kereta yang lebih baik dari sebelum ini. Aku juga berdoa semoga Inspira ini sebaik prestasi Waja sebelum ini yang tidak pernah memberi masalah yang memeningkan kepala dan merobek poket kami sekeluarga. Ameen.

Proton is very keen to point out that despite the visual resemblance with the Lancer, and the known fact that the Inspira's running gear is supplied by Mitsubishi, the car has received substantial R&D input from the folks at Shah Alam. As Managing Director Dato' Syed Zainal Abidin puts it, “We have further enhanced the car with several new features including the unmistakable Lotus DNA of exceptional ride and handling and now, what we present to you here, is a product that is more affordable for Malaysians.” (http://www.autoworld.com.my)

Thursday, December 23, 2010

Sedih Tapi Redha

Awal-awal lagi aku sudah dapat mengagak. Keputusannya pasti kurang memberansangkan. Sebabnya ... dia kurang fokus pada pelajaran. Selalu aje merungut .. penat belajar, meluat dekat subjek itu dan ini, tak suka pada cikgu itu dan ini. Malah keputusan peperiksaan percubaannya juga sangat teruk, hingga aku tak berselera menjamah makanan sehari-suntuk selepas melihat keputusan tersebut.

Tetapi aku tidak pernah putus asa. Aku usahakan juga agar dia meneruskan tusyen dengan guru yang tidak disukainya, kerana aku tahu guru ini mempunyai rekod mengajar yang bagus. Aku beri kata-kata semangat dan selalu mencabarnya untuk mendapat keputusan yang terbaik. Cuba atasi rekod Kak Long yang mendapat 7A semasa PMR. Aku terangkan betapa pentingnya pelajaran dalam hidup, untuk menjamin kecemerlangan masa depan.

Aku juga tidak berhenti menadahkan tangan kepada Allah memohon bantuanNya. Supaya anak ini menjadi anak yang sempurna hidupnya di dunia dan akhirat.

Hari ini keputusan PMR pun keluar. Hanya mampu aku menarik nafas lega dan bersyukur kerana dia lulus semua mata pelajaran. Tetapi sayang, keputusan peperiksaannya jauh dari memuaskan hatiku. tak ada yang dapat dibanggakan melihat huruf B dan C beratur pada slip PMR tersebut.

Semoga dibukakan pintu hati anak ini supaya berubah sikap apabila masuk ke Tingkatan 4 kelak. Aku tidak mahu dia kecundang dalam SPM kelak.

Wednesday, December 15, 2010

Hantu Kak Limah Balik Rumah


Mamat Khalid keluar dengan filem terbarunya. Aku, Abah dan anak-anak pergi menontonnya pada malam minggu yang lepas. Kami teruja apabila membaca akhbar yang memaparkan komen dari penonton dan wartawan yang mengatakan filem ini sangat menarik. Dikhabarkan juga filem ini berjaya mengutip RM2.25 juta dalam tempoh 5 hari tayangannya. Woow ... Hebat tu.

Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) .... panjang tajuk filem ni, merupakan filem genre komidi seram sekual kepada filem sebelumnya Zombie Kampung Pisang. Memandangkan kami semua telah menonton filem Zombie ini (di kaca TV beberapa kali) dan sangat terhibur dengannya, kami mengharap HKLBR juga mempunyai standard yang sama. Masih mengekalkan sebahagian besar pelakon yang sama seperti Awie, Soffi Jikan, Man Kadir, Zamie Ismail, Shy8 dan beberapa orang pelakon lain yang kurang kami kenali.

HKLBR mengisahkan seorang wanita pesakit jiwa yang disangka hantu dan telah mengganggu ketenteraman penduduk Kampung Pisang. Pelbagai usaha dilakukan oleh penduduk kampung untuk menghalau dan menghapuskan hantu tersebut, tetapi tidak berjaya. Filem ini menyajikan kritikan sosial terhadap semangat kejiranan, sikap mementingkan kebendaan, sikap percaya kepada tahyul dan kepada orang luar dari lingkungan masyarakat kita sendiri, sikap prejudis terhadap penjenayah yang cuba merubah diri, politik yang banyak hantu dan magik, campurtangan negara jiran dll. Tetapi semua mesej tersebut disampaikan secara sindiran dan penuh kelakar.

Memang kami semua terhibur sepanjang tempoh 1 jam 30 minit berada dalam panggung. Gelak ketawa penonton tidak berhenti dari mula tayangan sehingga ke akhirnya.

Apa pun, bagi aku filem ini sangat berjaya kerana dihidupkan oleh watak Hussin, hero kampong yang baru pulang dari Singapura(lakonan Awie), Abu Hurairah yang becok (Johan Raja Lawak), Pak Abu Ketua Kampung (Zamie Ismail) dan Usop bekas penari kebudayaan yang lumpuh (Shy8) yang berjaya membawakan watak dengan begitu berkesan. Aku juga terhibur mendengar celoteh mencuit hati oleh para pelakunnya dalam loghat Perak Tengah.

Cuma aku rasa agak kehilangan. Dalam filem Zombie dulu, AC Mizal yang berlakun sebagai Mat Karan bersama Que Haidar sebagai Derih adalah dua watak yang sangat menggelitik hati. Bayangkan kalau mereka berdua berlakun dalam HKLBR ... mungkin lagi meriah.

Dah Mula Rindu

Puteri Bongsu bersama kakak-kakaknya (gambar 12 tahun yang lalu)

Cuti sekolah kali ini aku tak ke mana-mana. Maklumlah, kereta dah kena jual ... nak tunggu yang baru, tak tau bila nak sampai. Dengan kereta comel tu, tak berani nak pergi jauh-jauh. Kurang selesa. Mana nak isi orang yang semua bersaiz montok, nak isi beg-beg pakaian yang besar dan berat. Jadi ... cuti kali ini cuma aku dan Abah cuma memenuhi undangan kenduri di sekitar Pulau Pinang dan Kedah sahaja.

Kak Ngah biasa aja. Setiap hujung minggu, dia akan memandu keretanya berjumpa teman-teman, lepak-lepak di Jusco atau Sunway Carnival. Semenjak jadi penganggur terhormat ni, setiap hari dihabiskan dengan membantu aku di rumah. Melipat kain, vacum karpet dan menggantikan tugas memasak bila angin malas ku datang (Chef pun nak cuti juga). Cuma hari minggu dia keluar, untuk menghilangkan tension, kononnya.

Tetapi Puteri Bongsu tidak boleh berbuat demikian. Pertama dia belum boleh memandu. Kedua dia belum cukup umur untuk keluar bersendirian dengan kawan-kawan. Kalau hendak ke mana-mana pun, mesti aku atau kakaknya yang akan menemankan. Sudah tentulah dia menjadi bosan sepanjang 40 hari cuti sekolah ini.

Aku dan adik ku, Mak Yang bersetuju menghantar anak-anak dara kami duduk di kampong menemani Emak. Puteri Bongsu memang rapat dengan sepupunya D. Kini telah seminggu si Bongsu ini berjauhan dariku. Terasa pula rindu padanya. Telah seminggu aku tidak mendengar suara lembutnya, jelingannya bila merajuk atau gelak ketawanya yang manja. Memang Puteri Bongsu ini bila bercakap suaranya lebih lembut dan perlahan berbanding kedua-dua kakaknya.

Memandangkan janji dengan Emak adalah untuk tempoh dua minggu "meminjamkan" cucu-cucunya, aku terpaksalah menahan rindu untuk 7 hari lagi. Adik ... tak rindu ke pada Mama di sini? Mujurnya ada telefon pengubat rindu mendengar suaranya.

Saturday, December 11, 2010

Walimatul-urus


Sekarang ini musim tidak menentu. Kadang-kadang hujan, kadang-kadang mendung, kadang-kadang panas. Alhamdulillah, setiap kejadian Allah ini mempunyai hikmahnya tersendiri. Bumi Malaysia subur, rakyatnya hidup makmur.

Naiklah kenderaan setiap hujung minggu, samada di sepanjang lebuhraya atau jalan kampung, dan lihatlah sekeliling kita. Terasa meriahnya. Kereta penuh dengan penumpang berwajah riang. Nak ke mana? Cuti-cuti Malaysia makcik. Oooo ... eloklah begitu. Inilah masanya untuk bercuti setelah setahun berpenat-lelah mencari rezeki. Dapat juga mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dapat juga menjana ekonomi para pemilik tempat penginapan, tempat menjamu selera dan tempat membeli-belah.

Atau ... kami ada jemputan kenduri kahwin makcik. Hari ini aje ada 4 jemputan, esuk 5 jemputan. Kenalah pergi, memenuhi jemputan itu wajib. Alhamdulillah, baguslah begitu. Hidupkanlah budaya kita, saling meraikan kegembiraan tuanrumah menerima menantu. Di samping itu dapat juga bertemu sahabat-handai dan saudara-mara yang sudah lama terpisah.

Sepanjang laluan samada di kawasan perumahan atau kampung, terdapat berbagai bentuk bunga manggar serta dengan nama mempelai terpacak di simpang-simpang jalan. Kereta berderetan di kiri-kanan jalan tempat kenduri diadakan. Selang beberapa kilometer lagi satu kenduri. Kadang-kadang dalam satu kawasan ada beberapa kenduri diadakan serentak. Maka terlihatlah betapa ramainya tetamu dengan wajah ceria dan pakaian yang indah belaka melintasi jalan ke sana ke mari untuk ke rumah kenduri berlangsung.

Memang sungguh meriah. Yang pasti rakyat Malaysia sentiasa hidup dalam kemakmuran, tanpa ada rasa takut keselamatan tergugat. Alhamdulillah.

Friday, December 10, 2010

Surah Rahman - Beautiful and Heart Trembling Quran Recitation


Allah hu Akhbar. Setiap kali aku mendengar bacaan surah ini atau setiap kali aku sendiri membacanya, tanpa dapat dielak, hati mesti menjadi sebak. Air mata gugur tanpa dapat ditahan-tahan. Begitu besar kesan kesucian ayat-ayat dari kitab Allah.

Dulu aku membaca sekadar membaca. Walau bagaimanapun, semasa berada di sebuah kedai CD di Tanah Suci Mekah, aku terpaut mendengar bacaan surah ini. Begitu menusuk hati walaupun aku sendiri tidak memahami maksud bacaannya ketika itu. Hati bergetar mendengar alunan bacaan ayat ini. Sekembali ke Malaysia, aku mula membaca terjemahannya. Masyaallah .... bertambah sayu dan gerun rasa hati ini. Betapa Pengasih dan Penyayangnya Allah kepada semua makhluk di bumi ini, dikurniakan pelbagai nikmat, ditunjukkan segala tanda kebesaranNya. Tetapi, masih ramai yang engkar dan enggan mengakui kekuasaan Allah.

Pelbagai tanda kebesaran Allah seperti air laut dan sungai yang terpisah secara misteri, peredaran bulan dan matahari yang sentiasa tepat, kehidupan dan rezeki di lautan dalam telah dinyatakan dengan jelas di dalam surah ini sebelum kajian saintifik mengesahkan kejadian-kejadian tersebut beberapa abad kemudiannya.

Maha Suci Allah Tuhan Yang Maha Agung.

Thursday, December 9, 2010

Kek Prune Sedap

Sangat semerbak semasa keluar dari oven

Kek ini terasa gebu dan agak lembab

Ini kek kegemaran keluarga. Resipi ini aku cilok dari Kak Jah, kakak iparku. Suami dan anak-anak suka sangat makan kek ni, sekali Kak Jah hidang, clear piring. Hidang lagi, clear lagi. Sampai aku naik malu. Jadi aku minta resipi, buat sendiri dan makan puas-puas.

Kek ini digemari sebab rasanya yang masam-masam manis, tak terasa muak untuk dimakan.

Bahannya

1 kotak mix fruit big sister
1 tin Goldenchurn butter (guna yang dalam tin. Tin akan digunakan semula sebagai penyukat bahan kering yang lain)
1 tin gula perang (aku kurangkan kepada 3/4 tin sahaja)
1 suku (1/4) tin tepung gandum } ayak bersama baking powder
2 camca teh baking powder }
1 peket (454 gm) prune tanpa biji (rebus sebentar dan lenyek hingga halus)
8 biji telur ayam (asingkan puteh dan kuning)
4 gm hirisan badam (jika suka)
4 gm hirisan halua kundur (jika suka)
1 camca besar susu pekat
1 camca teh esen vanilla

Cara Memasak

1. Sediakan loyang pembakar dan panaskan ketuhar
2. Pukul puteh telur dengan kelajuan tinggi sehingga ia menjadi ringan. Cara memastikan ianya telah sedia, terbalikkan mangkuk pemukul tadi, puteh telur tidak akan jatuh. Asingkan puteh telur ini ke dalam bekas lain.
3. Pukul mentega dan gula hingga kembang.
4. Masukkan telur kuning satu persatu dan pukul hingga sebati.
5. Masukkan susu pekat dan esen vanilla dan gaul lagi hingga sebati.
6. Masukkan tepung sedikit demi sedikit berselangseli dengan buah-buahan. Gaul lagi hingga sebati. Waktu ini juga boleh dimasukkan puteh telur tadi.
7. Setelah sebati, masukkan ke dalam loyang dan bakar untuk tempoh antara 1 jam hingga 1 jam 15 minit. Untuk pastikan kek telah masak, ianya akan melekang dari tepi loyang pembakar. Gunakan lidi untuk memeriksa bahagian tengah kek samada telah masak. Sekiranya lidi itu bersih berminyak, itu tandanya kek telah cukup masak.

Semasa proses membakar ini, baunya ... fuhhhh, sungguh semerbak.

Apa lagi, semua bersedia untuk nyam-nyam.

Saturday, December 4, 2010

Penyeri Hidup




Wajah-wajah nakal kedua permata hatiku

Kehidupan mereka penuh gelak ketawa. Seingat aku, Kak Long dan Kak Ngah amat jarang bergaduh dan bermasam muka. Perbezaan umur 2 tahun menyebabkan mereka begitu rapat. Ke mana sahaja mereka bersama. Kehidupan ketika itu tertumpu hanya kepada mereka berdua sebelum kelahiran Puteri Bongsu 5 tahun selepas kelahiran Kak Ngah.

Mereka berdua merupakan anak yang sangat aktif, nakal dan bijak. Pelbagai telatah mereka mencuit hati aku dan Abah. Setiap hari, aku memang tidak sabar untuk pulang dari pejabat untuk bertemu kedua-dua permata hati ku ini. Mulut becok Kak Long akan bercerita apa saja. Baginya tiada istilah rahsia. Aku dan Mak Midah (pengasuh mereka) sering berkata, "Kalau benda-benda rahsia ... jangan cakap depan budak-budak ni. Sekejap je cerita rumah Mak Midah sampai rumah Mama, cerita rumah Mama sampai rumah Mak Midah". Itulah sumber keceriaan kami setiap hari. Kak Ngah pula menyampuk dengan pelatnya, yang kadang-kadang sangat menggelikan hati kami yang mendengarnya.

Tetapi kadang-kadang kenakalan mereka juga boleh mencabar kesabaranku. Pernah sebotol shampoo dihabiskan dalam masa sehari apabila mereka berdua mandi bersama. Aku terhidu bau shampoo yang kuat dan terdengar gelak ketawa mereka berdua di dalam bilik air. Pintu bilik air dikunci dari dalam dan mereka enggan membukanya walau berkali-kali disuruh. Apabila Abah menggertak mereka dengan suara yang kuat, baru Kak Long membuka pintu. Alangkah terkejutnya aku, bilik air penuh dengan buih. Lantai pula begitu licin. Apa lagi, Abah buat pertama kalinya memukul kedua-dua puteri kesayangannya dengan rotan. Aku pula kepenatan mencuci bilik air yang licin. Bukan senang membuang shampoo yang pekat melekat di atas lantai dan di dinding.

Pernah sekali aku dan Abah teralit menonton TV. Dua beradik ini bergelak ketawa di dalam bilik. Aku mula rasa tidak sedap hati. Seperti biasa bilik dikunci dari dalam. Puas aku meminta mereka membuka pintu, tetapi mereka enggan. Menggunakan kunci pendua, Abah membuka pintu bilik tersebut. Ya Allah .... bertaburan rambut di atas lantai bilik. Rupanya Kak Long membuat projek memotong rambut Kak Ngah. Aku hanya mampu mengurut dada. Keesukan harinya aku membawa Kak Ngah ke kedai gunting rambut untuk membetulkan semula bentuk rambutnya. Amoi kedai tersebut ketawa terbahak-bahak sambil menggelengkan kepala. "Manyak susah le, sini sudah botak, sini pun botak, macam mana mau alter. Sikit-sikit kita try buat le". Mujurnya rambut Kak Ngah jenis kerinting, kecacatan stail rambutnya tidak begitu ketara. Cuma apabila rambutnya basah, botak-botak tersebut jelas kelihatan.


Semasa menghadiri majlis konvokesyen adikku Pakcor di UTM Sekudai, sekali lagi mereka membuat darahku naik. Sedang kami bersiap-siap untuk bergambar, aku dapati kedua-duanya telah hilang. Kami terpaksa berpecah mencari mereka. Aku ke hulu, Abah ke hilir, adikku Maksu ke baruh. Huh ... ketika itu cuaca begitu panas, orang pula begitu ramai. Bukan senang nak nampak si kecil 2 orang yang terselit di celah-celah orang ramai begitu. Setelah kami terduduk kepenatan mencari mereka dan sedang berkira-kira untuk meminta pihak sekretariat konvokesyen membuat pengumuman kehilangan kanak-kanak, tiba-tiba kedua-duanya muncul dengan gelak ketawa dan senyum manis. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Rasanya mahu sahaja aku memulas telinga kedua-duanya tetapi dilarang keras oleh emak aku yang ada bersama ketika itu. Nasib baik ada Opah menyelamatkan mereka.

Moralnya ... jangan sesekali tinggalkan mereka berduaan tanpa dipantau.

Monday, November 22, 2010

Selamat Jalan Sayang

Saat sebelum berpisah

Kehilangan atau perpisahan dengan orang tersayang memang menyedihkan. Apa lagi sekiranya orang itu begitu rapat dengan kita, terlalu baik dan tidak menyakiti hati kita. Itu perasaan yang normal sesama insan .... fitrah hidup.

Tetapi macamana kasih-sayang dengan benda tidak bernyawa. Sama juga. Cuma kita tidak akan mendapat respon dari benda yang kita sayang itu. Begitu juga aku. Pada 16 November 2010 yang lalu, aku berpisah secara rasmi dengan kereta kesayangan ku ... sebuah Proton Waja. Kereta ini aku beli pada tahun 2001. Aku merupakan antara kumpulan pertama pemilik kereta ini. Dan setelah 9 tahun digunakan, aku terpaksa mengucapkan selamat jalan kepadanya. Dan aku agak emosional semasa memandangnya kali terakhir semasa Waja dibawa pergi dari rumahku. Perasaan sedih yang bukan dibuat-buat.

Kenapa aku sayang sangat dengan Waja ini. Banyak sebabnya. Pertama sekali jasanya begitu banyak membawa aku 5 beranak ke seluruh pelusuk negara tanpa meragam. Dari Pulau Pinang kami telah dibawanya sehingga ke Perlis di utara dan di Johor di selatan dan Kelantan serta Trengganu di Timur. Sepanjang tempoh 9 tahun ini tidak pernah sekali pun enjinnya meragam. Seingat aku wang ku belanjakan hanya untuk tujuan "wear and tear" sahaja seperti menukar bateri, servis berkala, menukar absorber dan mengecat semula tubuhnya pada tahun 2007.

Macamana tidak timbul sayang ku kepadanya. Dia begitu baik untuk kami sekeluarga dan tentu sekali poket kami. Aku berharap pemilik baru kereta ini akan menjaga Waja dengan sebaik mungkin sebagaimana kami menjaganya selama 9 tahun yang lalu.

Tuesday, November 16, 2010

Al Fatihah - Jasa Cikgu Tetap Dikenang


Di atas ialah surat yang dikirimkan oleh Allahyarham Cikgu Md Hashim yang tidak dapat menghadirkan diri untuk Majlis Makan Malam SMTSP pada akhir tahun lepas. Airmata aku mengalir membaca setiap baris surat tersebut. Sayu sekali.

Allahyarham Cikgu Md Hashim lebih dikenali sebagai Mr Cannon di kalangan kami semasa bersekolah di SMTSP dulu. Mr Cannon tidak pernah mengajarku, justeru tidak banyak kenangan antara aku dengan Arwah.

Walau bagaimanapun, kehidupan kami di asrama cukup akrab samada sesama rakan sekelas atau sebilik ataupun dengan guru-guru. Bagi kami pelajar sekolah berasrama, guru adalah pengganti watak ibu-bapa kami. Maklumlah pada tahun 70an dulu, ketiadaan media hubungan yang canggih menyebababkan hubungan dengan ibu-bapa kandung agak renggang. Kami hanya dapat berhubung melalui surat atau bertemu apabila tiba cuti penggal sahaja (3 kali setahun). Dengan itu, kepada gurulah tempat kami bermanja dan mengadu masalah, mereka jugalah yang mendisiplinkan kami sehingga menjadi insan berguna.

Penderitaan Arwah hanya diketahui pada tahun lepas. Di sinilah facebook menjadi penyambung silaturrahim kami bekas pelajar. Beberapa pelajar yang tinggal di sekitar Kelantan dan Trengganu telah mengunjungi beliau untuk bertanya khabar. Menurut mereka, Arwah masih kekal dengan sikap cerianya walaupun sedang menanggung penderitaan. Daya ingatannya juga masih kuat, malah boleh mengingati nama bekas pelajarnya. Album kenangan semasa mengajar di SMTSP masih disimpan oleh Arwah dengan rapi.

Pada tahun ini penyakit Arwah semakin kritikal dan Persatuan Bekas Pelajar telah menubuhkan tabung untuk membantu meringankan beban kewangan keluarga arwah. Namun, janji Arwah telah tiba, bila tiba masa yang ditetapkan, dia kembali mengadap Penciptanya. Arwah kembali ke Rahmatullah pada bulan Oktober yang lepas. Semoga roh Arwah bahagia di alam barzah. Segala ilmu yang dicurahkan kepada kami bekas pelajar adalah amal jariah yang tidak terhitung nilainya.

Al Fatihah buat cikgu.

Sunday, November 14, 2010

Biskut Raya Wajib

Kuih ini rangup dan manis - manis kurma dan chocolate chips

Dua hari lagi umat Islam akan menyambut Aidil Adha. Walaupun ramai orang tidak begitu membuat persiapan untuk hari raya ini, keluarga kami tetap meraikannya. Keluarga sebelah Abah di Pulau Pinang kebiasaannya tidak menyediakan sebarang juadah untuk Aidil Adha kecuali nasi tomato dan lauk-lauknya sahaja. Aidil Adha disambut secara kecil-kecilan sahaja. Tumpuan lebih kepada ibadah korban semata-mata. Berbeza dengan keluarga aku di Perak, Aidil Adha disambut hampir sama meriah dengan Aidil Fitri, lengkap dengan lemang dan rendang serta kuih-muih. Mungkin bilangan kuihnya lebih sedikit, tidaklah berbelas balang sampai penuh meja.

Anak-anak juga mahukan kuih raya. Aku dan Kak Ngah telah menyediakan biskut yang wajib dihidangkan setiap raya iaitu Biskut Cornflake Kurma. Sungguh mudah menyediakannya. Yang pasti .. rasanya memang sedap.

250 gm mentega
1 cmt esen vanila
200 gm kurma (dihiris secara dadu kecil-kecil)
200 gm chocolate chips
80 gm gula perang
320 gm tepung gandum
Cornflakes secukupnya (diramas hingga agak kecil)

Pukul mentega dan gula perang sehingga kembang. Campurkan esen vanilla. Apabila telah sebati, masukkan tepung, kurma dan chocolate chips. Gaul lagi sehingga sebati.

Ambil sejemput adunan dan bentukkan seperti biskut chocolate chips atau bentuk bentuk lain yang sesuai dan tekan-tekan dengan cornflakes yang telah diramas supaya agak bersalut. Bakar sehingga masak.

Mudah sekali.

Thursday, November 11, 2010

Estet - Mamat Khalid

sinopsis filem estet


Filem ini heboh diperkatakan apabila kalah dalam Festival Filem Malaysia (FFM) baru-baru ini. Hanya mampu membawa pulang Anugerah Khas Juri. Filem ini jadi heboh apabila Pengarahnya Saudara Mamat Khalid secara terus-terang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan FFM yang tidak berpihak kepadanya. Anugerah Filem Terbaik FFM dimenangi oleh filem Magika.

Estet menceritakan kisah dua sahabat baik iaitu Farid dan Shashi yang tinggal di sebuah estet. Kehidupan masyarakat di estet ini sungguh harmoni walaupun terdapat pelbagai bangsa mendiaminya. Walau bagaimanapun, kedamaian mereka tergugat oleh anasir-anasir luar yang mahu melihat estet tersebut bankrap dan dijual kepada pengurusan yang lain.

Ketika inilah semua pekerja estet yang terdiri daripada pelbagai kaum bersatu-padu menyelamatkan maruah estet tersebut. Mereka saling memberi sokongan moral. Semangat setiawan mereka sungguh kukuh tanpa mengenal batasan umur, kaum dan agama.

Secara keseluruhannya filem ini cuba menerapkan semangat 1Malaysia. Nama-nama besar dalam filem ini ialah Farid Kamil, Rosyam Noor dan Dato' Arumugam (Alleycat). Beberapa adegan menampilkan pemandangan estet yang sungguh menarik.

Walau bagaimanapun, penonton berhak memberi penilaian sendiri mengenai setiap filem yang mereka tonton. Bagi aku sendiri, filem ini biasa-biasa sahaja. Tiada yang "outstanding" berbanding dengan filem Magika yang sarat dengan teknik pengambaran menggunakan kepintaran komputer yang terkini, lengkap dengan unsur humor, sedih, suspens serta gembira.

Menurut Kak Ngah, menariknya Estet kerana ada Farid Kamil yang hensem.

Monday, November 8, 2010

Sawan Tangis Kak Ngah

Hilang sawan tangis, Kak Ngah jadi semakin montel

Kak Ngah anak yang ceria dan manja


Kak Ngah sejak hari pertama kelahirannya telah menangis. Biasalah semua bayi yang lahir akan menangis. Tangisan pertama yang pastinya menceriakan hati semua ibu. Tetapi tangisan Kak Ngah ini luar biasa, tangisnya melalak, seolah-olah sedang kesakitan. Apabila dipegang dan dipeluk dia akan diam dan tidur. Sebaik sahaja diletakkan ke atas tilam, serta-merta dia akan menyambung tangis.

Lebih hebat lagi tangisnya tidak mengira waktu, siang malam, pagi dan petang. Semua jiran tertanya-tanya, maklumlah tangisan pada malam hari tentu sekali jelas kepada pendengaran jiran sekeliling. Masing-masing memberi petua dan menyarankan kami berjumpa bomoh itu dan ini. Kerana sudah tidak tertahan, semasa dalam pantang aku terpaksa melanggar segala pantang-larang keluar rumah. Aku pergi ke Klinik Pakar Kanak-kanak. Doktor menyatakan Kak Ngah mendapat "3 months colics" sini (angin dalam perut), yang kebiasaannya akan hilang sendiri setelah bayi berusia 3 bulan. Aku disaran menukarkan susu yang diminum daripada susu lembu kepada susu kacang soya. Kak Ngah kurang berminat menghisap susu badan, tidak seperti Kak Long yang menyusu sehingga berusia setahun 6 bulan.

Kami juga membawa Kak Ngah berjumpa bomoh yang kononnya pandai mengubat sawan tangis. Abah diminta memakan sirih dan menyemburkan air sirih ke luar rumah. Seumur hidup Abah tidak pernah memakan sirih. Terpaksa sirih itu ditumbuk dulu dalam lesung batu sebelum di kunyah. Air sireh yang berwarna merah bersemburan pada dinding rumah yang berwarna putih (yang kemudiannya kami cat semula setelah Kak Ngah berusia 2 tahun).

Apabila gagal menunjukkan sebarang perubahan, kami menemui bomoh yang lain pula. Tetapi semua usaha kami tidak berjaya. Ketika itu semua orang merasa tertekan. Aku dan Abah tidak cukup rehat dan tidur untuk bekerja keesukan hari. Kak Long selalu menjadi mangsa kemarahan kami kerana kenakalannya. Pengasuh mereka, Emak Midah pula merungut tidak dapat memasak dan membuat kerja rumah kerana ragam Kak Ngah. Aku merayu belas-kasihannya dan ketika itu aku sering mengambil cuti kecemasan.

Alhamdulillah, apabila umur Kak Ngah semakin bertambah, tangisannya semakin reda. Benar kata doktor, ketika umurnya menjangkau 4 bulan, Kak Ngah menjadi anak yang semakin ceria. Tangisannya diganti gelak ketawa. Berat badannya juga makin bertambah dan dia menjadi bayi yang comel dan montel.

Kak Long sangat menyayangi adiknya. Aku perlu sentiasa memerhatikan gerak-gerinya kerana dia suka meniru perlakuan aku dan Emak Midah. Sesekali dia akan cuba untuk mengangkat adiknya, menyumbat susu ke mulut adiknya, menyapu bedak ke muka, memukul-mukul belakang adiknya (meniru aksi menepuk bayi tidur).

Mereka berdua membesar bersama-sama dengan penuh kasih-sayang dari aku, Abah dan emak-emak saudara mereka. Kedua-dua Permata Hati ku ini membesar dengan penuh ceria, gelak ketawa dan kenakalan yang aku kenang sehingga kini. Alhamdulillah, keakraban mereka dua beradik kekal sehingga kini dan aku aku harap ianya berpanjangan. Ameen.

Wednesday, November 3, 2010

Black Magic Woman by Santana


A curious blend of blues, rock, jazz, 3/2 afro-Cuban sonclave, and "Latin" polyrhythms, Santana's arrangement added conga, timbales and other percussion, in addition to organ and piano, to make complex polyrhythms that give the song a "voodoo" feel distinct from the original.[

Begitu sebahagian sedutan dari Wikipedia mengenai jenis musik dan peralatan yang digunakan untuk menghasilkan melodi indah lagu Black Magic Woman. Keindahan melodi serta kemerduan vokal Santanalah yang menyebabkan aku tidak pernah jemu mendengar lagu ini walaupun secara berulang-ulang kali. Walau bagaimanapun, lirik lagu ini tidaklah seindah mana.



Tuesday, November 2, 2010

Kelahiran Kak Ngah (1)

Aku sudah menulis tentang Kak Long sebelum ini. Kak Ngah dan Puteri Bongsu mula merungut, kenapa tak ada cerita tentang mereka. Ohhh ... anak-anak ini mula cemburu. Aku kena berhati-hati, tidak boleh kelihatan ada kes pilih kasih.

Semuanya aku sayang, tak ada beza samada anak sulung, anak tengah atau anak bongsu. Tidak ujud istilah anak kesayangan, anak emas atau anak emak sorang. Aku percaya kalau kita menyayangi anak kita tanpa ada pilih kasih, mereka akan membalas kasih-sayang kita itu tanpa ada sempadannya.

***********************************************************************************

Ok ... aku disahkan mengandung anak kedua pada tahun 1990. Ketika itu Kak Long telah berumur 2 tahun. Aku pula telah berumur 28 tahun. Peringkat awal kehamilan ini sama seperti semasa aku mengandungkan Kak Long dulu. Untuk 3 bulan pertama aku mengalami alahan yang menyebabkan aku merasa lemah semasa ke pejabat. Rasanya tidak larat untuk aku berulang-alik menaiki feri dari Butterworth ke Pulau Pinang setiap hari untuk ke tempat kerja. Pada masa yang sama juga Arwah Bapa Mertua dan Ibu Mertua sedang sakit kuat. Aku melihat Abah selalu berada dalam keadaan tertekan, melayan aku yang mengada-ngada sering keletihan, Kak Long pula nakalnya menjadi-jadi dan semakin manja serta perlukan perhatian. Pada masa yang sama Abah perlu selalu bekejar ke rumah mertua apabila mereka sakit.

Arwah Bapa Mertua ku meninggal ketika kandungan ku masuk usia 3 bulan akibat sakit lama yang berpanjangan. Setelah kematian Arwah, kesihatan Ibu Mertua yang mengidap kanser tekak semakin serius. Arwah Ibu Mertua semakin lemah dan tidak lagi mampu bergerak. Sesekali dia hanya tersenyum memandangku. Aku sedih .. tiada lagi nasihat dan petua yang keluar dari tekaknya yang sakit.

Pada peringkat akhir kehamilan, doktor mengesahkan kandunganku dalam keadaan melintang. Atas nasihat emak-emak saudara Abah, aku telah berjumpa bidan kampung untuk cuba membetulkan kedudukan kandungan. Pelbagia petua dan isyarat perlu aku patuhi.

Setelah kandungan ku melebihi 10 hari dari tarikh jangkaan bersalin, aku dimasukkan ke hosp[ital. Menurut doktor, bayi telah berada pada kedudukan yang betul tetapi aku masih belum mempunyai tanda-tanda akan bersalin. Doktor menyatakan untuk "induce" sekiranya aku masih belum bersalin dalam tempoh 24 jam. Waktu ini Kak Long ditinggalkan di rumah pengasuh. Kasihan anak Mama.

Pada pukul 11 malam aku mula merasa sakit yang berulang-ulang. Air ketubanku dipecahkan. Kali ini kesakitan paling ketara pada tulang belakangku. Contraction yang tak berhenti-henti ini menyebabkan aku lemah dan menderita kesakitan. Aku hanya mampu menyebut perkataan "Ya Allah" sahaja. Doktor yang bertugas di Bilik Bersalin juga hairan kerana bukaan rahim ku begitu perlahan dan tidak membolehkan aku bersalin dengan cepat. Dia menasihatkan aku bersabar dan memberikan aku gas entonox (campuran oksigen dan nitrous oxide) untuk dihidu bagi mengurangkan rasa sakit. Sesekali aku hampir terlelap kerana keletihan dan kesan hiduan gas tersebut.

Setelah hampir 6 jam bertarung dengan kesakitan, tepat jam 6.05 minit pagi 12 Oktober 1990, aku selamat melahirkan Kak Ngah yang seberat 2.73 kg.

Thursday, October 28, 2010

Kasihan Jiran Ku

View Image
Gunung Merapi kini sedang mengganas

Setiap hari hati merasa sedih dan pilu. Samada membaca akhbar atau menonton TV, aku rasa terganggu. Kasihan sungguh melihat jiran ku, tanpa henti ditimpa musibah. Di Sumatera dengan tsunaminya, di Jawa dengan letupan Gunung Merapi. Ramai telah menjadi korban dan ramai juga yang menderita cedera parah dan kehilangan ahli keluarga tersayang dan harta benda.

Walaupun sebelum ini hati panas melihatkan gelagat pendek akal penyokong kumpulan Bendera yang menghina Malaysia, tetapi mereka yang ditimpa musibah ini tidak harus dibiarkan sendirian. Biarkan saja Bendera dengan agenda bodoh mereka. Mungkin kini mereka pun sudah pulang ke kampung masing-masing setelah tiada lagi menerima dana untuk melakukan demontrasi bodoh mereka.

Tetapi jangan dihukum mereka yang tidak bersalah yang menjadi mangsa bencana alam ini. Marilah kita bantu mereka. Jika tidak dapat memberi bantuan tenaga, kita boleh menderma melalui tabung-tabung yang kebiasaannya akan dibuka oleh syarikat-syarikat media utama Malaysia atau NGO. Atau seringan-ringan bantuan, berdoalah untuk kesejahteraan mereka.

Kita bermohon kepada Allah supaya memberi perlindungan kepada mereka, menyelamatkan mereka dari sebarang musibah lain, memberi kekuatan iman kepada mereka yang beragama Islam dan menyelamatkan kita juga dari menerima musibah yang sama. Ameen

Thursday, October 21, 2010

Spaghetti Taruh Belacan

Timun dipotong bulat dan nipis

Kemudian dihiris halus-halus

Sedia untuk dimakan...yummy

Aku suka makan spaghetti. Begitu juga dengan Abah dan Puteri Bongsu. Tetapi kami tak begitu gemar spaghetti yang dijual di restoran-restoran, tidak memenuhi citarasa kami. Citarasa kami citarasa Melayu, nak yang terasa pedas. Masin serta manis dan masamnya secukup rasa. Bukan yang penuh dengan rasa masam tomato.

Tapi bukannya aku berniat mempertikaikan rasa bolognese spaghetti. Sudah sememangnya resipi asalnya dari Itali penuh dengan tomato paste, tomato soup, parmesan cheese, olive oil dll bahan yang asing dalam masakan Melayu.

Tetapi resipi aku ini penuh dengan citarasa Melayu. Mungkin orang Itali akan terbeliak mata atau pengsan menjamahnya.

Bahannya mudah didapati di pasar basah :-

500 gm Ayam atau daging cincang (atau isi ayam tanpa tulang dipotong kecil-kecil dan dimasukkan ke dalam blender)
2 senduk Cili kering kisar
3 senduk kisaran bawang merah/besar dengan bawang putih (nisbah bawang merah dengan bawang putih tu kenalah agak-agak sendiri)
2 tin besar kacang panggang
1 tin besar sup tomato
1/2 tin susu cair
belacan
garam
gula
lada hitam kisar kasar
minyak masak
1 paket spaghetti
air mengikut keperluan, sekiranya mahu kuah pekat guna sedikit sahaja air, sekiranya suka banyak kuah guna air lebih, asal tidak jadi cair beroi-beroi, tidak sedap beb)

Hiasan

telur rebus
daun sup + daun bawang
bawang goreng
bawang besar warna kuning
timun
cili merah

Cara memasak

Panaskan minyak. Bila sudah panas, tumiskan cili kering, bawang kisar dan belacan hingga garing. Masukkan sedikit air supaya tidak melekat pada periuk. Bila telah garing, masukkan kisaran daging atau ayam dengan sedikit air. Kacau rata supaya daging tidak berketul2. Biarkan hingga daging benar-benar masak dan sebati.

Masukkan sup tomato, kacang panggang, susu cair dan air sekiranya perlu. Boleh diperisakan dengan gula, garam dan lada hitam. Masak hingga kuahnya pekat dan sebati dan sesuai rasanya.

Sementara itu rebus spaghetti mengikut peraturan yang tertulis pada pembungkus, sejatkan dan dihidangkan dalam bekasnya.

Telur dipotong empat. Cili merah serta daun sup dan daun bawang dipotong halus. Bawang kuning dibelah 2 dan dihiris nipis-nipis (seperti bawang untuk laksa). Timun dibuang kulit. Potong bulat-bulat mengelilingi timun dan seterusnya dihiris halus-halus (bijinya tidak diperlukan).

Letakkan spaghetti dalam mangkuk. Tuangkan kuah secukupnya. Hias dengan timun, bawang kuning, telur, cili merah, daun sup + daun bawang dan bawang goreng. Sedia untuk dimakan. Slurrrrrp

Wednesday, October 13, 2010

Anak Dara 20 Tahun

satu babak filem Magika

12 Oktober 2010 merupakan hari jadi ke-20 buat Puteri Tengah. Sayang ... Mama doakan agar anak Mama sempurna hidupnya di dunia danm akhirat, supaya perjalanan hidup anak Mama dipermudahkan dan penuh dengan keberkatan. Mama doakan juga anak Mama jadi anak yang solehah yang akan berbakti kepada Mama dan Abah apabila kami tua kelak dan mendoakan setelah kami tiada di dunia nanti. Mama ... ooo begitu banyak sekali doa untuk Puteri Tengah serta kakak dan adiknya. Setiap kali lepas menunaikan solat, aku tidak berhenti mendoakan ketiga-tiga Permata Hati kesayangan Mama.

Sempena hari berbahagia ini, Mama membawa anak-anak Mama dan Hanis (anak arwah Emak Midah) keluar untuk menonton wayang. Cerita Magika sentuhan KRU sungguh menarik. Filem yang dilakonkan oleh nama-nama besar dalam industri seni Malaysia seperti M. Nasir, Jalaluddin Hassan, Fauziah Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Maya Karin dll merupakan filem muzikal berunsur fantasi yang mempunyai teknik fotografi yang sungguh menarik. Selama 90 minit menonton filem tersebut tidak langsung terasa bosan.

Selepas selesai menonton, kami makan tengahari di Kenny Rogers Roaster. Akibat terlalu kenyang, semuanya tidak mahu menjamah sebarang makanan pada waktu malam. Kesian Abah, terpaksalah aku menemankannya makan.

Saturday, October 9, 2010

Roti Jala Kari Ayam

cubaan pertama.....

sedia untuk dimakan.......

Entah apa mimpi kami anak beranak. Tengah hari ini kami makan roti jala dengan kari ayam saja. Inilah pertama kali aku membuat sendiri roti jala. Walaupun resipinya cukup mudah, tetapi aku tidak pernah cuba membuatnya sendiri. Selalunya aku bungkus sahaja dari kedai.

Bersama Puteri Tengah, kami memulakan operasi masuk dapur pukul 11 pagi. Aku menyediakan gulai ayam dengan kentang. Ayam dan kentang aku potong kecil-kecil. Kuahnya pula pekat. Tetapi rasanya aku perlu melebihkan sedikit pedasnya, baru ada umph.

Resipi roti jala kami ambil internet saja :-

500 gm tepung gandum
setengah tin susu cair
2 tin (bekas susu cair tadi) air
2 biji telur ayam
sedikit garam dan serbuk kunyit

Gaulkan semua bahan hingga sebati. Putar dalam blender dan tapis. Lenserkan minyak atas kuali leper. Bila sudah cukup panas, dengan menggunakan acuan roti jala, putar-putarkan bancuhan mengikut arah bulatan. Roti jala yang nipis cepat masak dan tidak perlu diterbalikkkan. Apabila bahagian bawah roti berwarna kekuningan, lipatkan atau gulung roti tersebut. Jika terlambat, roti akan menjadi garing.

Memang mudah. Tetapi buat yang pertama kali mencuba, bentuk jalanya tidak begitu cantik. Kadang-kadang ianya kelihatan seperti lempeng, kadang-kadang pula seperti singlet koyak. Tetapi setelah berkali-kali mencuba, roti jala yang dihasilkan oleh Puteri Tengah menjadi semakin cantik.

Wednesday, October 6, 2010

PMR Untuk Puteri Bongsu

Hari ini hari ke-2 PMR. Puteri Bongsu nampak bersemangat untuk menghadapi peperiksaan ini. Semua pakaian dan perkakasan peperiksaan telah siap semenjak hari Ahad lagi.

Semalam hari pertama adalah peperiksaan bagi kertas Bahasa Melayu dan Pengajian Islam. Hari ini Bahasa Inggeris dan Geografi. Aku berdoa siang dan malam semoga Puteri Bongsu dapat menghadapi peperiksaan ini dengan tenang dan dapat menjawab semua soalan dengan baik. Dia telah berusaha, aku dan Abah juga telah berusaha sebagai ibu dan bapa, selebihnya kami serahkan kepada Allah swt.

Semalam, Puteri Bongsu buat perangai. Dia mengeluarkan semua kertas soalan Bahasa Melayu dan Pengajian Islam dan meminta aku dan kakak-kakaknya menyemak jawapan. Kami enggan berbuat demikian. "Jangan adik .. yang dah lepas biarkan lepas, kita tunggu aje keputusannya nanti. Sekarang ini .. adik tumpu untuk peperiksaan esuk , lusa dan seterusnya. Nanti kalau adik tengok banyak jawapan betul, adik jadi over-confident. Kalau banyak jawapan salah, nanti adik jadi frust dan tak ada mood nak jawab kertas yang lain". Aku berhujah memujuknya. Mukanya masam saja, tentunya marah kepada aku dan kakak-kakaknya kerana tidak mahu bekerjasama menyemak jawapannya.

Ya Allah Ya Tuhan ku, aku memohon bantuanMu Ya Allah, peliharalah zuriat ku ini. Berikanlah dia kemudahan menghadapi peperiksaan ini, terangkanlah hatinya, kurniakan dengan kepintaran berfikir. Semoga dia berjaya mendapat keputusan cemerlang. Jauhilah dia dari rasa cemas dan resah menghadapi peperiksaan ini. Semoga dia menjadi anak cemerlang hidupnya di dunia dan akhirat. Ameen

Tuesday, October 5, 2010

Haji Menuju ALLAH - Raihan

Labbaikallah hummalabbaik ... hambaMu datang menyahut panggilanMu Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu. yang tiada sekutu bagiMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu.

Setiap kali mendengar lafaz Talbiah ini, hatiku merindui Baitullah dan Raudhah. Selesai menunaikan ibadah haji pada tahun 2003, sehingga kini aku masih belum berkesempatan untuk ke sana lagi.

Ya Allah Ya Tuhan ku ... engkau murahkanlah rezeki untuk ku, engkau kurniakanlah kesihatan yang baik untuk ku, engkau permudahkan laluan aku untuk kembali ke tanah suci Mekah dan Madinah. Hanya Engkau Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mendengar doa ku.


Monday, October 4, 2010

Badi Mayat

View Image

Seminggu selepas kematian Arwah Midah, aku mula jadi tidak keruan. Fikiran aku kusut, hati aku sentiasa berdebar-debar. Aku selalu berfikir, adakah ini petanda aku akan mati. Setiap masa hati aku mengingati mati, bagaimana sakratul maut untuk ku, sakit kah, lemas kah, panas kah??? Segera pernafasan ku terasa terhenti .... aku jadi ketakutan. Sesungguhnya mengingati mati itu baik, tetapi tekanannya menyebabkan aku jadi sasau. Mungkin aku takut mengingatkan persiapan bertemu Allah masih belum lengkap, masih banyak dosa yang belum dicuci, masih banyak amalan yang tidak dilaksanakan. Ya Allah, berilah aku kesempatan untuk memperbaiki diriku sebelum bertemu dengan Mu.

Aku cuba melawan perasaan ini dengan pelbagai cara. Solat hajat dan membaca Al Quran terutama Surah Yaasin menjadi amalan ku. Setiap kali aku bersendirian aku cuba membaca ayat Kursi an 3 Qul sebanyak mungkin. Tetapi dugaan ini tidak berkurangan. Malah kadang-kadang amat menyesakkan dada.

Paling menyiksaku adalah waktu malam apabila mata ini enggan tidur walaupun aku sebenarnya mengantuk. Aku habiskan malam ku dengan solat-solat sunat Tahajud, Taubat dan Hajat dan seterusnya membaca Al Quran. Aku menangis merayu supaya Allah melepaskan aku dari siksaan batin ini. Aku memohon keampunan Allah atas segala dosa-dosa yang aku lakukan.

Apabila tidak tertahan lagi, aku meminta Abah membawa aku berjumpa pakar bagi rawatan alternatif. Aku bertemu Ustaz Ahmad Meh dari ANM Penawar di pusat rawatannya yang terletak di Bertam Golf Resort. Di sana Ustaz telah merawatku dan menyatakan daripada penelitiannya aku terkena "Badi mayat".

Badi merupakan suatu penyakit yang mempunyai hubungan khusus dengan spiritual dan roh manusia. Kesan daripada penyakit ini akan menyebabkan seseorang itu hilang kestabilan diri, perasaan yang tidak menentu dan berubah-ubah, rasa lemah, takut, fikiran bercelaru, tidak dapat tidur dan sebagainya yang membawa kepada perubahan tingkahlaku dan perwatakan seseorang. Antara jenis badi adalah seperti badi mayat dan badi binatang buas seperti badi ayam hutan, rusa, pelanduk, ular dan lain-lain.(rujukan dari Blog persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam darussyifa').


Aku diminta untuk meminum air penawar dan mandi menggunakan limau purut bercampur lada hitam, sintuk dan air penawar selama 3 petang berturut-turut. Alhamdulillah dengan izin Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang, perasaan ku semakin pulih dengan nyatanya. Seleraku makan ku kembali dengan tiba-tiba, dan sekaligus menyebabkan gastrik yang menyerangku selama seminggu menjadi pulih. Perasaan ku menjadi semakin damai dan yang penting aku sudah mula mampu tidur dengan lebih tenang.


Walaupun sesekali perasaan tersebut muncul kembali, tetapi segera aku tepis dengan menyibukkan diri dan sentiasa berinteraksi dengan suami dan anak-anak. Sokongan mereka amat banyak membantu aku mengatasi rasa murung dan sepi. Aku teruskan meminum air penawar di samping sentiasa membaca ayat penawar dan pendiding diri seperti ayat Kursi, 3 Qul dan Surah Yaasin. Benarlah ... nikmat paling utama dalam sebuah kehidupan adalah ketenangan hati. Semoga Allah sentiasa memelihara aku, Abah dan anak-anak dari segala mara bahaya. Ameen

Saturday, September 25, 2010

Ungu-Para Pencari-Mu

Sebenarnya aku bukanlah peminat sinetron Indonesia.

Tetapi semenjak Ramadhan kali ini, aku jadi penanti setia Sinetron "Para Pencari Tuhan". Setiap malam selesai sahaja tarawih, aku dan Abah akan duduk di hadapan TV untuk menontonnya. Sinetron yang diadun dengan mudah dan bersahaja dipenuhi unsur dakwah, komedi dan sesekali kesedihan.

Walaupun sebenarnya agak sukar memahami bahasa Indonesia yang pekat, tetapi rasanya aku masih boleh memahami jalan cerita setiap siri yang ditonton.

Dan lagu Para Pencari Mu oleh kumpuln Ungu ini merupakan lagu tema untuk sinetron tersebut. Indah lagunya.

AS

Tekanan Perasaan

Sesekali aku takut ... membayangkan bagaimanakah aku mengakhiri hayatku, dalam kesakitankah, kelemasankah, kepanasankah?? Perasaan ini amat menakutkan .. nafas ku seakan-akan mahu semput, ada jerutan pada pertengahan dadaku, berpeluh-peluh rasa tubuh.

Aku jadi gelisah!!! Bayangan Allahyarhamah Midah di saat akhir hayatnya dalam keadaan lemas bernafas masih terbayang-bayang di mata. Aku jadi murung ... tak ada mood nak makan, tak ada mood nak berbual, tak ada mood segalanya. Sesekali aku menangis terkenangkan Allahyarhamah .. terasa rindu pada suara dan gelak ketawanya. Lebih parah, setiap malam tidurku terganggu. Aku sukar melelapkan mata apabila perasaan cemas melanda semula.

Abah cepat mengesan perubahanku. Dia meminta aku jangan terlalu mengikut perasaan. Aku mesti menerima kenyataan bahawa yang pergi telah pun pergi. Kita yang masih bernafas ini perlu meneruskan hidup dengan memandang ke hadapan.

Aku mula mendapat kesan fizikal dari tekanan tersebut. Seluruh kepala ku berat dan berdenyut-denyut. Bahu, belakang dan dadaku sakit. Ohhh Tuhan ... janganlah aku mendapat penyakit jantung pulak. Aku mesti segera bertindak. Aku segera bertemu doktor. Bacaan tekanan darah kali pertama 160/100, hari ke-2 menurun kepada 145/100. Doktor turut risau dan memberi aku pelbagai ubat. Aku dinasihatkan untuk belajar mengawal emosi.

Apabila tidut tertanggu, aku melakukan qiamulail dengan mendirikan solat tahajud, taubat dan sunat. Aku membaca surah Yaasin. Aku membaca pelbagai doa dari buku-buku agama yang selama ini jarang ku sentuh. Aku berdoa bersungguh-sungguh memohon bantuan Allah untuk menenangkan semula hatiku, melapangkan dadaku, menguatkan imanku, menjauhi aku dari keluh-kesah, melindungi aku dari gangguan syaitan yang dilaknatkan.

Aku juga mengaambil langkah keluar dari rumah dan bergaul dengan teman-teman. Aku pergi ke pejabat lama berjumpa bekas rakan pejabat. Aku ke masjid bertemu rakan-rakan jemaah. aku bertemu dengan jiran-jiran wanitaku. Dengan berbual meluah perasaan dan bergelak ketawa, sebahagian dari beban tekanan perasaan ku melurut jatuh. Teman-teman banyak memberi peransang.

Kini setelah genap seminggu kehilangan Allahyarhamah, aku telah semakin pulih. bacaan tekanan darah ku menurun kepada 130/90 sahaja. Aku telah dapat menikmati tidur malam yang tidak terganggu. Walau bagaimanapun, aku bertekad untuk meneruskan amalanku. Mungkin pemergian Allahyarhamah membawa hikmahnya tersendiri .. untuk aku mengingati mati dan bersedia ke arahnya dan berusaha untuk lebih hampir kepada Allah untuk mendapatkan bantuan dan memohon rahmatNya.

Tuesday, September 21, 2010

Kematian Seorang Sahabat, Jiran dan Saudara Yang Dikasihi

Kenangan bersama Arwah (kanan sekali) sebelum aku berangkat ke Tanah Suci

Pagi itu aku dan Abah kalut di dapur. Abah mengeluarkan mangkuk dan gelas dari kabinet dapur dan membersihkannya. Aku pula sibuk menumis di kiri - rempah untuk mi kari dan di kanan - ramuan untuk spaghetti. Selepas Zohor nanti tetamu akan datang untuk rumah terbuka. Hari ini 18 September 2010, genap 9 Syawal.

Sebentar kemudian Puteri Tengah dan Puteri Bongsu ku meminta izin untuk pergi ke Klinik Bersatu. Emak Midah meminta mereka membelikan ubat penat untuknya dari klinik tersebut. 20 minit kemudian mereka pulang dan menyerahkan ubat tersebut kepada Hanis, anak bongsu Emak Midah.

Kira-kira 10 minit kemudian Hanis menelefon semula dan meminta aku segera ke rumahnya. Segera aku menyalin memakai abaya (sebelumnya aku memasak dgn memakan baju tidor sahaja) dan bertudung sebelum melangkah ke rumah jiranku itu.

Alangkah terperanjatnya aku melihat Midah, badannya bermandi peluh dan sedang kepayahan menyedut ubat penat. Aku segera menyarankannya ke hospital. Dia hanya menyebut "ambulan ... panggil ambulan". Aku panik dan segera menuju ke pintu. Tetapi berpatah balik menuju ke telefon di rumah tersebut. Tangan aku terketar-ketar mendail 911 .. tiada jawapan. 999 - panggilan ku dijawab. Operator tersebut mengambil semua maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon dan maklumat pesakit sebelum menyambungkan aku kepada seorang lagi petugas. Sekali lagi aku diminta memberi semua maklumat tadi. Hati aku mula berang. Disertai rasa risau dan panik melihatkan Midah yang semakin tenat.

Dalam kelamkabut itu, kedua-dua anak Midah yang ketika itu berada di luar kembali ke rumah. Farah seorang guru di Kelantan sedang berada berhampiran pusat servis kereta sebagai persiapan untuk perjalanan pulang ke Kelantan selepas solat Zohor kelak. Safwan seorang anggota keselamatan pelabuhan tiba dengan kenderaan Polis Pelabuhan.

Aku segera memutuskan talian yg sedang dibuat dan menggesa Farah dan Safwan segera membawa emak mereka ke hospital. Sewaktu itu, Midah telah menepis peralatan pernafasannya dan duduk menyembamkan wajahnya ke sofa. Kami segera mengangkatnya ke dalam kenderaan Polis Pelabuhan dan bergegas menuju ke Bagan Specialist Hospital.

Tanpa sempat memberitahu Abah atau membawa telefon bimbit, aku turut sama ke hospital tersebut. Aku pegang kepala Midah, aku tak mampu memangkunya kerana berat badannya yang tidak bermaya. Aku bisikkan kata-kata, "Midah ... bertahan Midah. Ingat Allah. Allah hu Akbar, Allah hu Akhbar, Allah hu Akhbar". Itulah perkataan yang ku ulang-ulang aku berharap Midah mendengarnya. Aku juga cuba mententeramkan diri sendiri dengan kalimah Allah itu. Tubuh Midah begitu dingin, wajahnya putih pucat. Ya Allah ... janganlah kau ambil nyawa sahabatku ini. Allah hu Akhbar, kasihanilah kami, Allah hu Akhbar.

Setiba di hospital, pasukan penyelamat dari Emergency Unit segera berkejar dan menbawanya ke bilik kecemasan. Aku, Safwan, Farah dan Hanis menunggu di luar bilik rawatan. Aku cuba tenangkan anak-anak ini ... yang telah kehilangan ayah mereka 7 tahun yang lalu. Aku minta mereka mendoakan yang terbaik untuk ibu mereka.
Penantian ini amat menyiksakan. Dengan telefon bimbit Farah, aku menelefon Abah meminta menghantar keperluan peribadiku seperti telefon bimbit, seluar panjang (aku tidak memakai seluar di dalam abaya terbelah yang sering terselak semasa kelamkabut tadi - semoga Allah mengampuni aku).

Setelah 30 minit, Doktor memanggil kami masuk ke bilik rawatan. Aku lihat Midah terbaring kaku, beberapa wayar bersambung di mulut dan tangannya. Dengan berhemah dan penuh simpati, Dr Tan memberitahu kami Midah tidak dapat diselamatkan. Allah hu Akhbar .. hampir sahaja aku terduduk tetapi aku perlu kuat berbanding ketiga-tiga anak Arwah yang sedang menangis penuh dukacita. Aku meminta mereka bersabar dan sedekahkan Fatihah kepada Arwah. Perlahan-lahan aku hampiri jasad Midah, selamt jalan sahabatku ... semoga engkau ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Aku lurut matanya agar tertutup rapat.

Waktu itu Puteri Tengah dan Puteri Bongsu tiba menbawa telefon bimbitku. Anak-anak ini juga tidak dapat menahan sedu kehilangan orang yang mereka kasihi. Segera aku hubungi Abah meminta melakukan persiapan sewajarnya. Menguruskan van jenazah, membersihkan rumah Arwah dan menguruskan tempat pengkebumian. Ku arahkan kedua-dua puteriku membawa balik kunci rumah Arwah untuk persediaan menyambut jenazah.

Setengah jam kemudian jenazah dibenarkan dibawa pulang dan kereta jenazah tiba dari Masjid Perai. Aku gunakan kesempatan yang ada menghantar SMS memaklumkan berita kematian ini kepada semua kenalan Arwah. Jenazah selamat dibawa pulang ke rumah pada jam 11 pagi.

Begitu beruntungnya Arwah, semua jiran tetangga turun memberikan bantuan. Ada yang mengemas rumah, memasangkan katil, membentangkan tikar, menyediakan peralatan mandi dan membawa ayat-ayat Al Quran. Saudara-mara dan sahabat handai datang beramai-ramai untuk memberikan penghormatan terakhir.

Tepat jam 4 petang, jenazah selesai diuruskan dan dibawa ke Masjid Perai untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Perkuburan Islam Bagan Dalam, berhampiran dengan kubur Arwah suaminya, Allahyarham Hamdan Firdaus yang meninggal pada malam 27 Ramadhan tahun 2003.

*********************************************************************************

Allahyarhamah Siti Saodah binti Harun (atau lebih mesra dipanggil MIDAH) telah menjadi jiranku semenjak tahun 1987. Arwah suami isteri amat berjasa besar kepada aku dan keluarga. Dialah yang menjaga anak-anakku selama aku berkerja, bermula dari kelahiran Kak Long pada tahun 1988 sehinggalah semasa aku berhenti kerja pada tahun 2009 - 21 tahun. Bayangkan betapa akrabnya anak-anak ku dengan Arwah. Sehingga mereka memanggilnya EMAK.

Aku amat terhutang budi kepada Arwah suami isteri. Tanpa jasabaik mereka, tidak mungkin aku dapat bekerja dengan tenteram. Mereka berdua juga begitu ikhlas menjaga anak-anak ku semasa aku dan Abah menunaikan haji ke Mekah pada tahun 2003. Dapatlah kami melakukan ibadah dengan tenang tanpa ada rasa risau akan keselamatan dan kebajikan anak-anak yang ditinggalkan.

Arwah Midah juga terkenal dengan sikap pemurahnya. Bersedekah makanan adalah menjadi amalannya. Sepanjang bulan Ramadhan beberapa kali kami disedekahkan dengan juadah yang dimasak atau dibeli. Semoga Allah menempatkan rohnya bersama orang-orang yang solehah.

Aku juga kehilangan teman yang mesra. Selama aku berkerja dulu, hubungan kami tidak begitu rapat. Setelah aku berhenti kerja, kami menjadikan aktiviti berjalan kaki di sekitar kawasan taman perumahan ini sebagai rutin harian bermula jam 8.30 pagi. Setiap hari Rabu pula, kami akan ke market Seberang Jaya untuk membeli barangan basah untuk kegunaan mingguan. Semasa tempoh inilah, pelbagai rahsia kehidupan kami kongsi bersama. Pelbagai luahan perasaan Arwah dapat aku dengar. Aku sering memberikannya kata-kata semangat, meminta nya bersabar dengan apa sahaja dugaan yang mendatang. Kini aku benar-benar terasa kehilangannya.

Yang selalu menjadi kerisauan Arwah ialah nasib anak bongsunya Hanis sekiranya ditakdirkan nyawanya diambil Allah sekarang. Hanis baru sahaja berumur 12 tahun. Kasihan anak ini. Dia kehilangan bapa pada usia 6 tahun dan kehilangan ibu pada usia 12 tahun. Lebih tragik lagi, dia akan menghadapi peperiksaan besar Ujian Penilaian Sekolah Rendah 4 hari selepas kematian ibunya. Semoga Allah memberikan jiwa yang besar pada anak ini. Insyaallah .. aku tidak akan membiarkan anak ini teraniaya .. dia adalah amanah dan dugaan dari Allah untuk saudara-mara dan jiran tetangga yang ditinggalkan.

AL FATEHAH